Wednesday, May 30, 2012

ILMU TARIQAH/TASAWWUF


Kepentingan dan keutamaan ilmu dan amalan tasawwuf/tariqah adalah sesuai dan selaras dengan kejadian manusia yang terdiri daripada jasad dan roh, juga selaras dengan ilmu agama, ada yang zahir dan ada yang rohani/akidah atau ada bahagian syariat dan bahagian hakikat. Oleh itu kita memerlukan ilmu dan amalan tariqah untuk membersihkan nafsu dan membaiki penyakit-penyakit hati yang merupakan aspek batin/akidah pada diri kita. Begitulah sebaliknya, bagi menyempurnakan jasad atau syariat kita memerlukan ilmu yang zahir seperti ilmu tauhid, ilmu feqah, ilmu tajwid, ilmu tafsir, ilmu hadis, ilmu tamadun Islam, sirah Nabi SAW, ilmu politik, ilmu ekonomi dan sebagainya. Alat yang diperlukan ialah guru yang mengajar, akal (yang waras), penglihatan atau pendengaran, kitab-kitab, pen dan buku. Sebaliknya, tarbiyyah terhadap aspek hati/roh itu tidak  akan dapat dicapai dengan kaedah mendengar dan mempelajari seperti ilmu syariat, bahkan ianya hanya diperolehi dengan zawq (berzikrullah terus menerus) dan amalan beruzlah/ bersuluk.

Imam Al-Ghazali menjelaskan tentang ilmu dan amalan tasawwuf/tariqah adalah  ilmu rasa yang dicapai dengan amalan bersuluk. Katanya:
“Ilmu dan amalan tasawwuf/tariqah adalah ilmu rasa (zawq) yang hanya dapat dicapai dengan cara  merasa (berterusan berzikrullah) dan suluk sahaja. Ianya tidak akan dapat dicapai dengan jalan mendengar dan ta’lim (mempelajari) seperti ilmu hadis, ilmu kalam, ilmu tauhid, ilmu tafsir dan lain-lain.”

Amalan tariqah merupakan tarbiyyah keimanan melalui amalan zikrullah. Didokong oleh amalan sentiasa berzikrullah dan bermujahadah memerangi nafsu di dalam suasana beruzlah/bersuluk dalam tempoh tertentu. Riyadah atau latihan  kerohanian  yang berat ini dipimpin oleh pembimbing rohani atau shaikh mursyid melalui kesungguhan dan kegigihan usaha menentang kehendak-kehendak nafsu jahat, sifat-sifat tercela serta akhlak yang rendah dan hina supaya terhias diri kita dengan sifat-sifat yang terpuji dan akhlak yang mempesonakan.

1. Definisi Ilmu dan amalan tasawwuf/tariqah   

Tariqah didefinisikan oleh para tokoh tasawwuf sebagai jalan mujahadah dari aspek pencapaian akidah melalui berbagai-bagai halangan dan mengharungi berbagai-bagai tingkatan di jalan Allah SWT itu. Oleh itu seseorang yang mengamalkan tariqah itu akan mendapat natijah bersih dan suci hati dari berbagai kekotoran dosa dan berbagai-bagai unsur syirik, yang jaliy dan yang khafiy, maka orang tersebut akan mencapai hakikat tasawwuf. Dalam hubungan ini, sampai kepada hakikat Allah SWT dan keredaan-Nya itu adalah tasawwuf (ihsan), sedangkan jalannya adalah tariqah. Seseorang yang beramal dengan ilmu dan amalan tariqah belum pasti ia dapat mencapai hakikat tasawwuf, dan seorang sufi itu adalah seorang ahli tariqah. Tegasnya, tariqah digunakan untuk merujuk kepada sesuatu aliran zikrullah yang meliputi bai’ah yang mesti dilaksanakan oleh seseorang murid/salik yang mahu mengamalkan sesuatu aliran tariqah. Bai’ah bermaksud talqin atau asuhan dan pengajaran oleh seseorang guru (mursyid) kepada murid/salik itu cara-cara berzikrullah dan adab-adabnya. Prinsip ini adalah berdasarkan kepada apa yang telah dilakukan oleh Nabi SAW ketika baginda mengajarkan zikrullah kepada Sayyidia Ali bin Abi Talib r.a.

Mawlana Zakariyya al-Kandahlawi menegaskan pendapat- nya tentang tariqah dengan katanya:
“Tariqah itu yang sebenarnya merupakan nama (istilah) yang kedua bagi ihsan yang disebutkan (dalam hadis) itu, atau tariqah itu ialah jalan yang dengannya membolehkan seseorang itu mencapai sifat ihsan. Ihsan itulah (juga) yang disebutkan (dengan istilah) tasawwuf atau suluk, atau namakanlah ihsan itu dengan apa nama sekali pun. Nama-nama itu merupakan perkataan-perkataan yang berlainan (sebutannya) namun maksudnya adalah satu sahaja (serupa sahaja).”

Ahli-ahli tasawwuf memang menganggap bahawa kedua-dua istilah itu adalah serupa maknanya. Shaikh Abd. Al-Samad al-Palimangi menyebutkan:
“Dari hasil perkataan Imam Al-Ghazali dalam kitabnya yang bernama Jawahir Al-Quran bahawasanya ilmu tariqah dan suluk itu dinamakan ilmu tasawwuf.”
     
Menurut Shaikh Muhammad Amin al-Kudry yang menjelaskan tentang ilmu dan amalan tasawwuf/tariqah ini dengan berkata;
“Tasawwuf/tariqah adalah satu bidang ilmu yang dapat mengenali kebaikan dan penyakit hati, cara membersihkannya dari  sifat-sifat keji dan menghiasi- nya dengan cara beruzlah/bersuluk untuk mencapai keredaan Allah SWT dengan meninggalkan segala laranganNya dan melaksanakan segala suruhan-Nya.” 
    
Ilmu dan amalan tasawwuf/tariqah  merupakan jalan atau wasilah yang menyampaikan keredaan Allah SWT. Jika tanpa tariqah (jalan atau wasilah), syariat tidak akan dapat memberikan manfaat yang diharapkan kerana ia akan hanya menjadi kerangka atau tubuh badan yang tidak bernyawa. Dr Halim Mahmod,  bekas Naib Canselor Universiti al-Azhar, Mesir menjelaskan fakta ini dengan berkata;
“Sebaliknya tariqah/tasawwuf itu adalah satu bahagian agama yang penting/berharga. Kerana agama tanpa tasawwuf/tariqah  akan menjadi kurang, agama kekurangan bahagiannya yang sangat terpenting dan berharga iaitu dari aspek dasarnya yang asas sekali.”

Seorang ulama tasawwuf yang terkenal di kota Baghdad iaitu al-Imam Shaikh Abu Qasim Junaid al-Baghdadi (w. 291 H.) menegaskan tentang keutamaan berzikrullah terus menerus bagi golongan tasawwuf/tariqah berbanding dengan tarbiyyah keimanan golongan mazhab fuqaha melalui hujah-hujah atau bacaan kitab-kitab agama semata-mata dengan katanya;
“Ketahuilah, bahawa jalan tasawwuf/tariqah adalah terlebih hampir kepada Allah SWT kerana mereka memperbanyakkan berzikrullah, sedangkan golongan fuqaha  lebih banyak membicarakan masalah-masalah agama.”     

Shaikh al-Jurjani (w. 816 H) telah mendefinasikan tariqah dengan katanya:
“Tariqah itu ialah sirah (jalan kerohanian) yang khusus bagi orang-orang yang berjalan menuju Allah yang (pasti) mengharungi berbagai-bagai rintangan dan melalui peningkatan (rohani) dalam berbagai-bagai maqam.

Shaikh Najm al-Din Kubra (w. 618 H) pula memberikan definasi tariqah dengan katanya:
“Dan tariqah itu ialah melakukan taqwa dan pekara-pekara yang dapat menghampirkan diri anda kepada Allah yang pasti melalui berbagai rintangan dan berbagai makam.”

Beliau menegaskan tentang kedudukan dan hubungan tariqah dengan syari’ah dan hakikat dengan katanya:
“Shari’ah seperti kapal, tariqah seperti lautan dan hakikat itu seperti mutiara. Sesiapa yang mahukan mutiara itu, ia (mesti) menaiki kapal, kemudian ia belayar (mengharungi) lautan itu. Kemudian  barulah  ia sampai kepada mutiara tersebut. Sesiapa yang meninggalkan urutan (perjalanan) ini maka ia tidak akan sampai ke mutiara itu.”
   
Dengan tujuan supaya dapat memperjelaskan lagi konsep ketiga-tiga istilah shari’ah, tariqah dan hakikat tersebut Shaikh Najm al-Din Kubra telah memberikan beberapa contoh. Antaranya ialah mengenai ibadat  solat. Menurut beliau ibadat solat  dapat dibahagikan kepada tiga peringkat tersebut. Solat di peringkat syariat ialah khidmat dengan mujahadah dan melakukan rukun qawli dan fi’li; di peringkat tariqah ialah rasa hampir (al-Qurbah) kepada Allah SWT dengan melupakan yang lain dari Allah dan menumpukan seluruh hati kepada Allah SWT semata-mata sambil melakukan munajat pada setiap masa,  solat pada peringkat hakikat ialah sentiasa musyahadah kepada keagungan dan kesempurnaan Allah SWT semata-mata. Oleh sebab itulah maka Shaikh Najm al-Din Kubra menyebutkan ringkasan pandangan setengah-setengah ulama mengenai ketiga-tiga istilah tersebut. Katanya:
“Adalah dikatakan bahawa syariat ialah anda memperhamba- kan diri kepada Allah, tariqah ialah anda menghadirkan Allah di hati (sentiasa ingatkan Allah) dan hakikat ialah anda saksikan (hakikat Allah) dengan mata hati.”
     
Dari kata-kata Shaikh Najm al-Din Kubra di atas dapat kita lihat bagaimana tariqah itu menjadi wasilah atau jalan atau jambatan yang menghubungkan antara syariat dengan hakikat. Ini bermakna tanpa tariqah, maka syariat tidak akan dapat dilaksanakan dengan sempurna. Syariat yang dilakukan tanpa hakikat/akidah ibarat tubuh badan manusia tanpa roh atau nyawa.

Mengenai hal ini Ibn ‘Ata‘illah menegaskan dengan kata hikmahnya:
“Amalan-amalan (ibadat) itu sebagai kerangka yang tegak sedangkan rohnya ialah adanya rahsia ikhlas (zikrullah) dalam amalan-amalan itu sendiri.”

Al-Imam Shaikh Abu Qasim Junaid al-Baghdadi menegaskan bahawa sumber ilmu dalam tasawwuf/tariqah hanya dua sahaja, Al-Quran dan sunnah. Beliau menegaskan pekara ini dengan katanya:
“Bahawa sesungguhnya ilmu kami (tasawwuf/tariqah) adalah terikat kuat dengan kitab Al-Quran dan sunnah. Orang yang mencela bahawa ilmu dan amalan tasawwuf/tariqah tidak berasal dari syariat sebenarnya mereka itu memang kurang mendalam ilmu syariatnya. Ini bukti menunjukkan dustanya orang yang mengira ilmu kami itu terkeluar daripada batas syariat, baik pada masa sekarang atau yang lain.”

Shaikh Abdul Wahab al-Sya’rani seorang tokoh besar tasawwuf terkenal di kurun ke 10 menjelaskan bahawa tarbiyyah ilmu dan amalan tasawwuf/ tariqah lebih menumpukan pada ibadat yang berbentuk fardu dan sunnah dengan katanya:
“Ilmu tasawwuf adalah asas pengisian hati para wali Allah dan mereka sebagai wadah sinarannya kerana pengamalan terhadap Al-Quran dan sunnah. Siapa saja yang mengamalkan keduanya, maka hatinya akan tertuang ilmu-ilmu, etika-etika, misteri-misteri dan hakikat-hakikat yang tidak mampu diungkap dengan kata-kata. Tasawwuf tidak lain merupakan intisari pengamalan seorang hamba terhadap hukum-hukum syariat.”
   
2. Keutamaan Ilmu dan Amalan Tasawwuf/Tariqah

Ilmu dan amalan tasawwuf/tariqah merupakan kepasrahan terus menerus untuk beribadat. Kepasrahan ritual ini menjadikan golongan tasawwuf  mampu menggali jenis-jenis etika yang memperindahkan jiwa mereka. Mereka terus melaksanakan peribadatan itu dengan memperbanyak- kan  berzikrullah bagi mencapai maqam-maqam kerohanian di dalam amalan beruzlah/bersuluk untuk mencapai darjat yang tertinggi (darjat ihsan). Semua itu telah terbiasa dalam diri mereka, sehingga terasa cinta atau sudah mendarah daging dengan memperbanyakkan zikrullah dan istiqamah berqiyamullail di dalam kehidupan seharian mereka. Mereka juga mewajibkan diri mereka sendiri kezuhudan khusus yang menjadikan mereka memiliki rasa yang memancar rasa rohani (zawq) yang memunculkan ilham di dalam jalan-jalan peribadatan. Ini adalah kerana mereka mahukan kesempurnaan dalam peribadatan (syariat dan batin/akidah). Mereka berkeyakinan bahawa hal (darjat ihsan) itu merupakan sasaran hidup yang tertinggi.
   
Shaikh Abdul Qadir al-Jailani, seorang tokoh tasawwuf yang terkenal di kota Baghdad (w. 565 H.) menjelaskan betapa sukarnya menjalani tarbiyyah (asuhan hati) yang harus dilalui terhadap ungkapan ‘akidah’, sebagaimana Nabi SAW mengambil masa 13 tahun untuk menyempurnakan batin/akidah para sahabat r.a  dengan katanya:
“Akidah adalah suatu ungkapan yang sederhana. Tetapi pengamalan (tarbiyyah)  itu adalah suatu kerja yang amat kompleks.”

Kepentingan dan keutamaan ilmu dan amalan tasawwuf/tariqah adalah sesuai dan selaras dengan kejadian manusia yang terdiri daripada jasad dan roh, juga selaras dengan ilmu agama, ada yang zahir dan ada yang batin/ akidah atau ada bahagian syariat dan bahagian hakikat. Oleh itu kita memerlukan ilmu dan amalan ini untuk membersihkan nafsu dan membaiki penyakit-penyakit hati yang merupakan aspek batin/akidah pada diri kita. Begitulah sebaliknya, bagi menyempurnakan jasad atau syariat kita memerlukan ilmu yang zahir. Alat yang diperlukan  ialah guru yang mengajar, akal (yang waras), penglihatan atau pendengaran, kitab-kitab, pen dan buku.

Allah SWT menjanjikan perubahan kepada mana-mana kaum yang terlebih dulu mengubah apa yang ada dalam diri kaum itu iaitu hati (akidah). Allah SWT menjanjikan kejayaan dan keagungan umat Islam apabila bersungguh-sungguh membuat perubahan pada hati seperti yang Allah SWT nyatakan dalam firman-Nya. Maksudnya:
“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah sesuatu kaum itu sehingga kaum itu mengubah apa yang ada dalam diri mereka.” ( Surah Ar-Ra’d: Ayat 11)

Maka perubahan yang terpokok, utama dan yang terpenting ialah membaiki diri iaitu roh (hati). Membaiki diri iaitu hati supaya mampu  berzikrullah terus menerus supaya hijab hati dibukakan oleh Allah SWT, melalui jalan bermujahadah memerangi nafsu atau memusnahkan segala kekejian (mazmumah) diri hingga benar-benar terbakar hangus dan musnah hingga tiada lagi saki bakinya yang tinggal pada diri seseorang.

Bentuk dakwah keimanan yang dilaksanakan  Nabi SAW ke atas para sahabat r.a adalah menumpukan perhatian terhadap usaha memperbetul dan memperbaiki hati mereka berasaskan kepada amalan zikrullah dan bermujahadah memerangi nafsu (beruzlah/bersuluk). Baginda juga menjelaskan bahawa baiknya seseorang manusia itu bergantung kepada baik hatinya dan jahat hatinya dari berbagai-bagai penyakit batin yang tersembunyi itu. Baginda bersabda yang bermaksud:
“Ketahuilah bahawa sesungguhnya ada segumpal daging di dalam jasad (manusia) itu, apabila ia itu baik maka baiklah seluruh jasad, bila ia rosak maka rosaklah jasad keseluruhan. Ketahuilah, itulah hati.”

Seterusnya baginda menjelaskan bahawa tempat tumpuan dan tilikan Allah SWT terhadap hamba-hambaNya ialah hati. Baginda SAW telah bersabda yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah tidak memandang kepada jasad kamu, tidak pula kepada rupa (zahir) kamu tetapi Allah memandang terhadap hati-hati kamu.”

Oleh sebab baiknya keadaan manusia lebih banyak bergantung kepada baik hatinya itu sendiri yang mana hati itulah asal atau sumber bagi berbagai-bagai amalan zahir. Maka wajiblah manusia berusaha memperbaiki hati mereka dengan membuang sifat tercela yang dilarang oleh Allah SWT, di samping menghiaskan hati itu dengan berbagai-bagai sifat terpuji yang sememangnya diperintahkan oleh Allah SWT. Apabila hati telah bersih dari berbagai-bagai sifat tercela (mazmumah) dan dipenuhi pula dengan berbagai-bagai sifat terpuji (mahmudah) serta berzikrullah terus menerus tanpa lalai, maka baharulah hati itu menjadi baik, sihat sejahtera. Orang yang mempunyai hati yang serupa inilah yang beroleh kejayaan yang sebenar dan abadi. Memang benarlah firman Allah SWT. 
  يَوْمَ لَا يَنفَعُ مَالٌ وَلَا بَنُونَ   إِلَّا مَنْ أَتَى اللَّهَ بِقَلْبٍ سَلِيمٍ
Maksudnya:
“Iaitu pada hari di mana harta dan anak-anak tidak berguna, kecuali orang yang mengadap Allah dengan hati yang sejahtera.”             
                                                          (Surah al-Shu’ara’: Ayat 88-89)

Ayat Al-Quran tersebut menunjukkan bahawa di akhirat nanti manusia yang mempunyai penyakit hati tidak akan beroleh kejayaan dan malah tidak diterima oleh Allah SWT. Mungkin orang tersebut amalan zahirnya banyak, tetapi kerana berbagai-bagai penyakit hatinya maka amalan-amalannya itu tidak diterima Allah SWT. Oleh sebab itulah maka para ulama tasawwuf berpendapat bahawa berusaha mengubati penyakit-penyakit hati itu adalah fardu ain. Al-Imam Jalal al-Din al-Sayuti, misalnya menegaskan dengan katanya:
“Adapun mengetahui hati dan mengenali berbagai-bagai macam penyakitnya, seperti hasad, ujub, riak dan sebagainya lagi. Imam Ghazali menegaskan bahawa mengenal dan mengetahui hati dan bermacam-macam penyakitnya itu adalah fardu ain.”

Sememang tepat benarlah pandangan para ulama tasawwuf bahawa mengenal dan mengetahui masalah hati dan berbagai-bagai penyakit itu fardu ain, kerana terdapat banyak ayat Al-Quran dan hadis Nabi SAW yang menunjukkan kewajipan seseorang untuk membersihkan hati dari berbagai-bagai penyakit dan pekara-pekara yang mengotorinya.

Allah SWT berfirman. Maksudnya:
“Dan janganlah kamu dekati kejahatan-kejahatan yang zahir dan yang batin.

Para ahli tafsir menjelaskan bahawa kejahatan-kejahatan yang batin itu ialah seperti hasad dengki, riak, munafik, syirik, ujub, buruk sangka dan sebagainya lagi. Berbagai-bagai penyakit batin atau hati itu sahaja sudah cukup untuk menggugurkan pahala amalan soleh seseorang, meskipun amalan-amalan soleh itu terlalu banyak. Nabi SAW bersabda yang bermaksud:
“Allah tidak akan menerima amalan yang ada di dalamnya riak sebesar atom sekalipun.”

Allah juga menjelaskan bahawa orang-orang yang mengerjakan solat yang lalai dan yang riak merupakan orang-orang yang mendapat kecelakaan dengan dimasukkan ke neraka (maksud Surah al-Ma’un: Ayat 4-6).

Pencapaian darjat ihsan atau memiliki kesempurnaan hati itu memang diperintahkan oleh Allah SWT. Kerana itulah maka kita dapati Nabi SAW dan umat Islam yang awal seperti para sahabat r.a, tabi’in, salafussoleh dan ulama khalaf telah berjuang bersungguh-sungguh berqiyamullail sebagai amalan yang sudah mendarah daging, biasa dan menyeluruh di dalam kehidupan seharian untuk mencapai darjat yang tertinggi (darjat ihsan) itu. Inilah golongan umat Islam yang merupakan umat yang telah benar-benar berjaya menghayati jalan agama Islam itu dan sampai ke darjat ihsan. Ternyatalah, inilah golongan orang-orang yang terbaik, yang hampir kepada Allah SWT dan mendapat keredaan-Nya. Al-Quran telah menyaksikan hakikat keadaan itu seperti firman Allah SWT:
وَالسَّابِقُونَ الأَوَّلُونَ مِنَ الْمُهَاجِرِينَ وَالأَنصَارِ وَالَّذِينَ اتَّبَعُوهُم بِإِحْسَانٍ رَّضِيَ اللّهُ عَنْهُمْ وَرَضُواْ عَنْهُ                               
Maksudnya:
“Orang-orang Islam yang dahulu dan yang mula-mula (beriman) dari kalangan Muhajirin dan Ansar serta mereka yang mengikut jalan itu dengan ihsan (kesempurnaan akidah), Allah redha terhadap mereka dan mereka redha terhadap Allah.”                        (Surah At - Taubah: Ayat 100)
      
 Al-Imam al-Bajuri menyebutkan:
“Sesungguhnya wujudnya berbagai-bagai sifat kedaifan batin yang disertai dengan usaha-usaha memperbaiki amalan zahir adalah seperti memakai pakaian yang cantik di tubuh badan yang berlumuran dengan berbagai-bagai kekotoran.”

Tentulah baju yang bersih dan cantik yang dipakai oleh orang itu turut tercemar. Dengan itu bermakna amalan-amalan zahir turut rosak dan tidak diterima oleh Allah SWT.

Menurut pandangan Shaikh Ibn Abidin bahawa kedua-dua pekara iaitu mengetahui berbagai-bagai penyakit jiwa atau hati seperti ujud, hasad, riak, takbur, kedekut, menipu daya, marah, bermusuh-musuhan, tamak, khianat, keras hati, buruk sangka, panjang angan-angan keduniaan dan sebagainya lagi, dan merawatnya adalah fardu ain hukumnya yang mesti dilakukan oleh seseorang Islam. Kedua-dua aspek tersebut terdapat di dalam tasawwuf/ tariqah. Imam Al-Ghazali menyebut di dalam kitabnya Ihya ‘ulumal-Din’ bahawa tidak ada seorangpun yang sunyi dari berbagai-bagai sifat-sifat yang merosakkan jiwa tersebut. Menghapuskan berbagai-bagai sifat tercela tersebut adalah fardu ain. Untuk menghapuskannya pula tidak mungkin dapat dilakukan kecuali dengan jalan mengetahui hakikat sifat-sifat tersebut, sebab-sebab (wujudnya), tanda-tandanya dan cara merawatnya. Sesungguhnya orang yang tidak mengetahui kejahatan itu ia akan (mudah) terjerumus ke dalam lembah kejahatan itu sendiri. Shaikh al-Tantawi pula berkata:
“Kebersihan zahir tidak akan berfaedah kecuali disertai oleh kebersihan batin iaitu sifat ikhlas, bersih daripada sifat tipu daya, hasad dengki, irihati dan bersih hati dari sesuatu yang lain daripada Allah. (Dengan keadaan suci zahir dan batin itu) maka seseorang itu akan dapat mentaati Allah (kerana kasihkan) Allah semata-mata, bukan disebabkan sesuatu tujuan atau sebab-sebab lainnya. Malahan, ia akan menjadi orang yang benar-benar bergantung kepada Allah, kerana Allahlah yang mengurniakan segala keperluannya yang sangat dihajati sebagai belas kasihan Allah terhadap dirinya. Ia tidak akan diperhambakan sesuatu yang lain daripada Allah dan tidak akan dikuasai oleh hawa nafsunya.”         

Beberapa petikan mengenai pandangan beberapa tokoh tasawwuf yang disebutkan di atas sudah cukup untuk meyakinkan kita tentang kedudukan dan kepentingan ilmu dan amalan tariqah itu dalam Islam. Dapat kita simpulkan bahawa ilmu dan amalan tariqah itu merupakan asas yang terpenting bagi Islam, sebagai nyawa bagi tubuh badan manusia layaknya. Jika tubuh badan manusia tidak bernyawa ia tidak akan dapat hidup dan bergerak, maka begitulah juga keadaannya orang beragama tanpa beramal dengan tariqah, sudah pasti ia tidak akan mendapat hakikat penghayatan Islam yang sebenar (darjat ihsan).

Untuk membakar hangus segala mazmumah itulah maka perlu bermujahadah memerangi  nafsu melalui amalan beruzlah/bersuluk yang didokong oleh amalan zikrullah dan dibimbing oleh shaikh mursyid. Jalan mujahadah ini memerlukan kesungguhan dan keyakinan yang kental, kegigihan usaha dan daya juang yang tinggi dalam usaha menentang dan mengikis kehendak-kehendak nafsu jahat, sifat-sifat tercela dan akhlak yang rendah serta hina.

Berhubung dengan fakta ini, Shaikh Abu al-Hasan al-Busanji (w. 348 H.) menegaskan dengan katanya bermaksud:
“Tasawwuf/tariqah pada hari ini ada namanya tanpa ada hakikatnya, padahal pada masa sebelumnya (pada zaman Nabi SAW, sahabat r.a. dan salafussoleh) ada hakikatnya tanpa ada namanya.

3. Sejarah Ilmu dan Amalan Tasawwuf/Tariqah

Bidang ilmu dan amalan  ini di peringkat awal dakwah Nabi SAW lebih dikenali sebagai ilmu makrifah, ilmu kalbu, ilmu al-qayin, ilmu khusyuk atau ilmu al-iman. Istilah tariqah pada zaman Nabi SAW dan para sahabat r.a tidak digunakan dalam displin ilmu tasawwuf. Bagaimanapun, doktrin ilmu tasawwuf/tariqah, prinsip-prinsip, amalan-amalan kerohanian  dan aspek-aspek lain yang penting dari ilmu tersebut telah pun wujud. Oleh sebab pada zaman awal Islam itu (zaman Nabi SAW, zaman para sahabat r.a, tabi’in dan salafussoleh segala-galanya masih utuh, lengkap dan unggul, baik ilmu mahupun amalan yang zahir dan yang batin/rohani, maka zaman tersebut tidak memerlukan berbagai-bagai istilah bagi menghurai dan mem- perincikan ilmu dan amalan-amalan tersebut. Orang-orang Islam pada zaman awal itu faham dan mengamalkan ilmu dan amalan Islam yang zahir dan yang batin/akidah (sentiasa  berzikrullah) itu secara keseluruhan dalam bentuk dan konsepnya yang paling sempurna dan ideal sekali.

Kefahaman dan amalan mereka mereka itu meliputi hakikat Islam yang mudah dan juga hakikat-hakikat Islam yang sukar dan sulit. Misalan amalan yang paling mudah ialah pertanyaan seseorang apabila bertemu dengan seorang sahabat r.a yang lain: “Apa khabar tuan?”  yang merujuk kepada kesempurnaan akidah atau celik mata hati ataupun darjat ihsan. Pada zaman kemudian, misalnya pada zaman hidupnya Shaikh Abu Talib Makki (w. 386 H.), umat Islam sudah tidak dapat memahami maksud pertanyaan seumpama itu, mereka sudah menghubungkannya dengan berbagai-bagai masalah kehidupan dunia. Oleh sebab itulah Shaikh Abu Talib Makki menegaskan bahawa sesiapa yang bertanya kepada seseorang bermaksud untuk mendapat tahu hal-hal keduniaan maka hukumnya adalah haram.

Dengan kata-kata lain, umat Islam di zaman awal Islam itu, terutamanya para sahabat r.a, lebih sempurna taqwa mereka, kerana lebih memahami hakikat Islam, samada yang tersurat mahupun yang batin/akidah. Oleh sebab itu tidak hairan jika para sahabat r.a pernah mengingatkan para tabi’in dengan kata-kata mereka yang bermaksud:
“Sesungguhnya kamu mengetahui benar-benar amalan-amalan maksiat yang kamu pandang kecil, sehalus rambut sahaja, tetapi kami pada zaman Nabi SAW menganggapnya sebagai dosa besar yang boleh membawa kecelakaan ke neraka.”

Kata-kata para sahabat r.a itu bukanlah bermaksud bahawa maksiat-maksiat yang membawa dosa kecil itu menjadi dosa besar, tetapi mereka bermaksud bahawa hakikat iman kepada Allah SWT yang sebenarnya mestilah sentiasa membesarkan atau mengagungkan perintah-Nya, apabila seseorang mukmin benar imannya, maka  mereka akan sentiasa memandang semua perintah dan larangan Allah SWT penting dan besar belaka, kerana keagungan Allah SWT yang memerintah dan melarang itu. Hakikat fakta ini dapat kita lihat dalam firman Allah SWT:
ذَلِكَ وَمَن يُعَظِّمْ شَعَائِرَ اللَّهِ فَإِنَّهَا مِن تَقْوَى الْقُلُوبِ
Maksudnya:
“Sesiapa yang mengagungkan syiar-syiar Allah, maka sesungguhnya (amalan itu) adalah lahir dari sifat taqwa hati.”                                              
                                                                 (Surah al-Hajj: Ayat 32)

4. Nafsu Sebagai Musuh Utama Kepada Ummah  

Umat Islam perlu menyedari dan memahami hakikat ini. Lebih-lebih lagi perlu menerima hakikat bahawa musuh paling utama dalam pertarungan ini bukanlah Amerika atau Yahudi atau musuh lahiriah lain. Musuh lahiriah ini hanya mengancam sekali-sekala dan boleh dilihat dengan nyata. Itupun seringkali terjadi gagalnya menghadapi musuh lahiriah dan putar belit serta umpanan mereka itu, segala-galanya berpunca dari umat Islam yang sentiasa tewas kepada kerakusan nafsu sendiri terlebih dahulu. Banyak masa telah terbuang kepada berbagai dakwah atau aktiviti ataupun program yang tidak praktikal dan tidak dapat memberi manfaat kepada aspek hati. Begitulah situasi umat Islam apabila gagal memerangi kerakusan nafsu. Inilah yang dimaksudkan dengan tumpas atau kecundang di gelanggang sendiri. Tewas kepada kerakusan nafsu. Kalah kepada pujuk rayu syaitan. Jatuh terjelepak bila berhadapan dengan tarikan dan tipu daya kelazatan dan kesenangan duniawi yang sementara. Oleh sebab itulah Allah SWT berfirman. 
وَمَنْ أَضَلُّ مِمَّنِ اتَّبَعَ هَوَاهُ بِغَيْرِ هُدًى مِّنَ اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ
Maksudnya:
“Dan siapakah yangg terlebih sesat dari orang yang mengikuti hawa nafsu dengan tiada mendapat petunjuk dari Allah.”
                                                              (Surah Al - Qasas: Ayat 50)

Mengapa salahkan musuh yang memang itulah kerja mereka? Menyalahkan musuh tidak membawa umat Islam ke mana-mana. Menyalahkan musuh tidak mendatangkan sebarang kesan kepada mereka. Mengapa tidak salahkan diri kerana gagal membina benteng kesempurnaan hati/akidah melalui jalan tarbiyyah ilmu dan amalan zikrullah (tariqah) yang menekankan jalan mujahadah memerangi kerakusan nafsu, sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah SWT.     

Apabila kita mula melangkah menuju kebaikan, di situ barulah kita tahu betapa sukar dan susahnya berhadapan dengan berbagai halangan dan rintangan yang datangnya dari syaitan dan nafsu sendiri. Mari kita bertanya secara jujur, dewasa ini masih terlalu ramai umat Islam yang tidak solat, tidak menutup aurat, bergelumbang dengan riba dan rasuah, terlibat dengan gejala negatif, dadah, arak, judi, pecah amanah, rasuah, berzina, buang bayi, menggugurkan kandungan, murtad, bermusuhan, berbunuhan sesama muslim, tindas menindas dan sebagainya. Angkara siapakah semua itu? Orang Kristiankah yang menganjurkan umat Islam melaksanakan segala kemung- karan/maksiat? Yahudikah yang menyogok remaja kita dengan dadah dan berzina?  Yahudikah yang memaksa para wanita membuka aurat? Orang Kristiankah yang menganjurkan agar para remaja berpusu-pusu ke pusat hiburan/karaoke/konsert atau seks bebas? Adakah orang Kristian atau Yahudi yang menghalang kita ke masjid/surau dari mengerjakan solat berjemaah atau berzikrullah ataupun melaksanakan amalan qiyamullail? Adakah orang Yahudi yang melekakan kita dengan aktiviti kehidupan seharian mengejar kekayaan atau mencari rezeki sehingga tidak mampu untuk bermuhasabbah diri tentang nasib kita di akhirat nanti? 

Kita perlu menyedari dan memahami hakikat ini. Lebih-lebih lagi perlu menerima hakikat bahawa musuh paling utama dalam pertarungan ini adalah nafsu dan bukannya berpunca musuh lahiriah. Musuh lahiriah ini hanya mengancam sekali-sekala dan boleh dilihat dengan nyata. Itupun seringkali terjadi gagalnya menghadapi musuh lahiriah dan putar belit serta umpanan mereka itu, segala-galanya berpunca dari diri sendiri yang sentiasa tewas kepada kerakusan nafsu sendiri.

Mengapa salahkan musuh yang memang itulah kerja mereka? Menyalahkan musuh tidak membawa kita ke mana-mana. Menyalahkan musuh tidak mendatangkan sebarang kesan kepada mereka. Mengapa tidak salahkan diri kerana gagal membina benteng kesempurnaan akidah melalui jalan tarbiyyah ilmu dan amalan zikrullah (tariqah) yang menekankan kepada jalan bermujahadah memerangi nafsu untuk membersih hijab hati.

Mengapa terjadi demikian? Mengapa kita melupai agama, lalai berzikrullah, lalai terhadap peringatan ayat-ayat Allah SWT tentang azab akhirat yang amat pedih atau nikmat syurga yang tidak dapat digambarkan oleh pemikiran, leka dengan kenikmatan dunia yang sementara, walaupun tanpa dihalang atau disuruh? Puncanya ialah kerana manusia telah diset, diprogramkan ke arah itu. Tiada siapa yang menyuruh kita berbuat jahat atau maksiat. Tetapi mazmumah (sifat keji) dalam diri kita sudah cukup menjadi monitor ke arah itu. Mental, jiwa dan seluruh kehidupan manusia sudah disetkan dan diprogramkan. Akhirnya tanpa disuruh pun manusia menjadi jahat dan engkar kepada perintah Allah SWT. Tanpa dihalang untuk mengenal Allah SWT pun mereka tidak mengenal Allah SWT. Tanpa dihalang untuk memikirkan agama pun mereka tidak mempedulikan agama.  Demikianlah, peranan mazmumah (sifat keji) atau nafsu di dalam diri manusia sebagai saudara kembar sejak kita dilahirkan. Dijadikan nafsu sebagai kayu pengukur untuk menentukan hamba-hamba-Nya samada menjadi ahli syurga atau ahli neraka melalui kesungguhan bermujahadah memeranginya. Memang benarlah firman Allah SWT. 
أَرَأَيْتَ مَنِ اتَّخَذَ إِلَهَهُ هَوَاهُ أَفَأَنتَ تَكُونُ عَلَيْهِ وَكِيلاً
 أَمْ تَحْسَبُ أَنَّ أَكْثَرَهُمْ يَسْمَعُونَ أَوْ يَعْقِلُونَ إِنْ هُمْ إِلَّا كَالْأَنْعَامِ بَلْ هُمْ أَضَلُّ سَبِيلاً
Maksudnya:
“Apakah kamu tidak hairan melihat orang-orang yang mempertuhankan hawa nafsunya, apakah kamu menjadi pemelihara ke atasnya ataukah kamu mengira bahawa kebanyakan mereka mendengar dan berakal? Tidak lain mereka itu kecuali seperti binatang ternakan malahan lebih sesat lagi.”
                                                             (Surah Al - Furqan: Ayat 43-44)

Allah SWT berfirman. 
 وَلَقَدْ ذَرَأْنَا لِجَهَنَّمَ كَثِيراً مِّنَ الْجِنِّ وَالإِنسِ لَهُمْ قُلُوبٌ لاَّ يَفْقَهُونَ بِهَا وَلَهُمْ أَعْيُنٌ لاَّ يُبْصِرُونَ بِهَا وَلَهُمْ آذَانٌ لاَّ يَسْمَعُونَ بِهَا أُوْلَـئِكَ كَالأَنْعَامِ بَلْ هُمْ أَضَلُّ أُوْلَـئِكَ هُمُ الْغَافِلُونَ
Maksudnya:
“Dan sesungguhnya Kami telah jadikan untuk isi neraka jahannam itu dari kalangan jin dan manusia, mereka mempunyai hati tetapi tidak digunakan untuk memahami ayat-ayat Allah, mereka mempunyai mata tetapi tidak digunakan untuk melihat tanda-tanda kebesaran Allah, mereka mempunyai telinga tetapi tidak digunakan untuk mendengar keterangan-keterangan ayat-ayat Allah, mereka itu seperti binatang ternak, bahkan lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai.”     (Surah al-A’raf: Ayat 179)

Amerika dan Yahudi itu sekadar bertindak umpama gagak hitam. Di mana ada bangkai, di situlah gagak berkerumun. Atau seperti burung engriang, di mana ada haiwan yang hampir mati engriang akan tolong percepatkan kematian dengan beramai-ramai mematuk haiwan itu. Selagi belum menjadi bangkai, gagak tidak berani hampiri. Selagi segar-bugar, hidup dengan tangkas dan gagah, engriang tidak berani hendak mematuk.

Melawan nafsu ini tiada garis penamat kecuali mati kecuali nafsu yang diberi rahmat oleh Allah SWT. Amalan kerohanian  ini melazimkan para pengikutnya bersungguh-sungguh untuk menunaikan runtunan hidup selari dengan kehendak Allah SWT dan menolak kejahatan/maksiat yang dimurkai Allah SWT. Di dalam tarbiyyah awal ilmu dan amalan tasawwuf/tariqah, sememangnya terasa berat dan menyakitkan untuk mengekang segala runtunan nafsu. Namun apabila terus menerus dikekang kemahuan nafsu, dikeraskan keazaman, dikuatkan cita-cita, dilawan bersungguh-sungguh serta berzikrullah bersungguh-sungguh, akhirnya nafsu itu akan berjaya ditundukkan dan terhiaslah hati itu dengan sifat-sifat terpuji.

Punca setiap ketaatan, kesedaran terhadap Allah, lembut hati untuk menerima kebenaran dan musyahadah adalah sikap tidak reda terhadap runtutan an-nafs atau jiwa itu. Pada masa berada di dalam keadaan begini, maka tidak ada sesuatu yang lebih memberi manfaat kepada seseorang itu selain dari penyucian jiwanya.  Jiwa (an-nafs/nafsu) itu dipandang dari sudut berbagai mujahadah terhadapnya adalah tujuh peringkat.

Pertama, an-nafs al-amarah iaitu jiwa yang sentiasa cenderung kepada tabiat semulajadi tubuh badan, sukakan berbagai kelazatan, nafsu syahwat yang dihalang oleh hukum syarak dan sentiasa menarik hati ke arah kehinaan dan kerendahan.

An-nafs al-amarah inilah merupakan lubuk berbagai kejahatan, punca akhlak yang tercela seperti takbur, cintakan dunia, hasad dengki, marah, bakhil dan sebagainya lagi. Martabat jiwa yang serupa ini (an-nafs al-amarah) adalah merupakan keadaan kebanyakan jiwa sebelum berbagai mujahadah dilakukan.

Keduanya, an-nafs al-lawwamah iaitu jiwa yang disuluh dengan cahaya hati sehingga ianya kadang-kadang tunduk kepada kekuatan akal dan kadang-kadang ia menentangnya pula, kemudian ia akan berasa kesal serta menyesali sikap jiwanya itu sendiri. An-Nafa al-lawwamah inilah punca penyesalan, kerana ianya masih merupakan punca hawa nafsu dan berbagai sifat yang tercela itu.

Ketiga, an-nafs al-mutmainnah iaitu jiwa yang disuluh oleh cahaya hati (nur kalbun) sehingga ia bersih dari semua sifatnya yang tercela dan menjadi tenang menuju kepada berbagai sifat kesempurnaan (al-kamalat). Maqamnya ialah permulaan bagi berbagai sifat kesempurnaan (al-kamalat). Apabila seseorang salik meletakkan kakinya di makam tersebut maka ia dikira sebagai orang ahli tariqah, sebab ia telah beralih makam tamkin (tetapi hati dengan Allah). Orang yang berjiwa demikian (an-nafs al-mutmainnah) berkeadaan mabuk terhadap tarikan asma’ullah. Pada zahirnya kelihatan ia bermuamalah dengan orang ramai, tetapi pada hakikatnya ia jauh dari mereka, kerana jiwanya sentiasa bergantung kepada Allah sahaja.

Keempat, an-nafs al-mulhamah iaitu jiwa yang telah diilhamkan oleh Allah dengan ilmu, sifat merendah diri (at-tawaduk) puas hati dan berpada dengan apa yang ada (al-qina’ah), pemurah dan sebagainya. Oleh itu maka jiwa tersebut adalah merupakan sumber terbitnya sifat sabar, tahan lasak dan syukur.

Kelima, an-nafs ar-radiyah iatu jiwa yang telah reda terhadap Allah SWT sebagaimana firman Allah SWT. Maksudnya:
“Dan mereka itu reda terhadap Allah.”

Keadaan jiwa an-nafs ar-radiyah ini ialah sentiasa tunduk menyerah (at-taslim) kepada Allah dan merasakan lazat untuk berta’abbudi kepada Allah SWT.
           
Keenam, an-nafs al-mardiyyah iaitu jiwa yang direda oleh Allah SWT. Kesan keredaan Allah SWT itu nampak dengan jelas iaitu kemuliaan, ikhlas dan berzikrullah terus menerus. Pada peringkat ini salik tersebut telah mendapat makrifatullah dengan sebenar-benarnya. Di dalam an-nafs al-mardiyyah inilah lahirnya tajalli af’al.

Ketujuh, an-nafs al-kamilah iaitu jiwa yang telah sebati dengan berbagai sifat kesempurnaan insan (al-kamalat) dan terus meningkatkan sifat kesempurnaannya itu di samping ia mendorong sifat-sifat mereka. Maqam jiwa an-nafs al-kamilah ini ialah maqam tajjaliyat al-asma’ dan sifat. Halnya ialah baqa’ billah, bergerak dengan Allah kepada Allah, kembali dari Allah kepada Allah. Jiwa tersebut tidak mempunyai tempat selain dari Allah, semua ilmunya didapati terus dari Allah.

Ketahuilah bahawa telah menjadi tabiat semula jadi sebagaimana yang telah ditentukan oleh Allah, perpindahan darjat seseorang salik dari satu maqam ke maqam yang lainnya yang lebih tinggi lagi itu tidak boleh berlaku kecuali di bawah pimpinan mursyid yang ‘arif lagi tahu tentang maqam-maqam perjalanan kepada Allah dan semua perkara (al-ahwal) di dalamnya. Janganlah disangkakan bahawa pembersihan jiwa (tazkiyatun-nafs) itu semudah yang difikirkan oleh akal sahaja seperti yang disangkakan oleh ahli falsafah dan orang-orang yang dipengaruhi oleh ajaran Brahmim dan lain-lain golongan lagi yang bersifat jahil itu. Dalam kejahilan mereka yang membabi buta itulah, mereka memperkenalkan sistem pembersihan jiwa mereka itu dengan berbagai latihan (kerohanian) sehingga akhirnya mereka terhumban ke lembah kesesatan, kebinasaan dan berbagai perkara yang sangat mengelirukan .

Perbersihan jiwa (tazkiyatun-nafs) sebenarnya adalah seperti merawat penyakit fizikal juga. Sebagaimana penggunaan berbagai ubat tidak boleh dilakukan oleh pesakit kecuali dengan nasihat doktor pakar yang mempunyai pengalaman yang cukup dalam bidang rawatan penyakit, maka begitulah juga halnya pembersihan jiwa (tazkiyatun-nafs) itu tidak boleh dilakukan kecuali dengan nasihat dan pimpinan seorang shaikh mursyid yang mempunyai pengalaman di bidang tersebut.

Ketahuilah ada dua hijab bagi jiwa (an-nafs) itu, iaitu hijab nuraniyyah dan hijab zulmaniyyah. Jalan pertama yang mesti ditempuhi oleh seorang murid atau salik itu supaya ia berjaya dan dapat melepaskan jiwa dari berbagai hijab ialah dengan bermujahadah memerangi jiwa itu, sentiasa bersikap dan berpendirian menentangnya, dan menjauhkan diri dari runtunan kehendaknya. Sebab, runtunan kehendak jiwa (an-nafs) itulah hijab yang terbesar sekali yang mendinding antara seseorang dengan Tuhannya.

Nabi SAW bersabda. Maksudnya:
“Musuh engkau yang paling sengit sekali ialah nafsu yang terletak antara dua lambungmu itu.”                                (Hadis Riwayat al-Baihaqi)

Nafsu itu dikengkang dengan berlapar dan haus,  dihinakan  dengan dipadamkan semangat bermegah dan rasa mulia, dikurangkan nafsu syahwat dan ditundukkan di bawah telapak kaki orang yang semata-mata memandang akhirat, dihancurkan nafsu itu dengan meninggalkan hiasan orang-orang kaya. Elakkan diri dari kejahatannya dengan sentiasa buruk sangka terhadapnya dan berjinak-jinaklah selalu dengan semua pekara yang tidak disukai oleh nafsu itu.

Tiada suatu yang mudah kecuali Allah SWT permudahkan. Apabila kita berusaha bersungguh-sungguh nescaya Allah SWT membuka jalan dan ruang ke arah mencapai kejayaan. Ini menepati firman Allah SWT: 
 وَالَّذِينَ جَاهَدُوا فِينَا لَنَهْدِيَنَّهُمْ سُبُلَنَا وَإِنَّ اللَّهَ لَمَعَ الْمُحْسِنِينَ
Maksudnya:
“Mereka yang berjuang kerana menempuh jalan Kami, sesungguhnya Kami akan tunjuki jalan Kami.”                        (Surah al-Ankabut: Ayat 69)

Allah SWT berfirman. 
 رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
Maksudnya:
“Wahai Tuhan kami, kurniakanlah kepada kami kebaikan dunia dan kebaikan di akhirat.”                               (Surah al-Baqarah: Ayat 201)

Dunia ini dijadikan Allah SWT hanyalah  sebagai alat atau jalan untuk mencapai kebahagiaan di Akhirat, bukan sebagai tujuan atau matlamat lain manusia dijadikan khalifah di atas muka bumi. Sesungguhnya Islam telah menyimpulkan matlamat-matlamat manusia dalam satu matlamat, iaitu mencari keredaan Allah SWT.

5. Polemik  Di Antara   Golongan Mazhab Akidah Ahli    Zahir   Dengan
    Golongan Akidah Mazhab Tasawwuf

Polemik di antara golongan  ahli zahir dengan golongan tasawwuf/ tariqah tidak akan ada penyelesaian sehinggalah mereka (golongan ahli zahir) dapat memandang rahsia alam rohani melalui celik mata hati (basirah). Maka timbullah berbagai persoalan dan fitnah yang timbul terhadap tarbiyyah keimanan mazhab tasawwuf/tariqah. Ini merupakan lanjutan dari polemik antara kedua golongan akidah itu yang telah wujud sejak beratus-ratus tahun yang lalu. Tarbiyyah keimanan mazhab tasawwuf/tariqah untuk mencapai kesempurnaan akidah atau celik mata hati sebagai neraca akidah yang tidak dapat dihuraikan oleh golongan ahli zahir mengikut pentafsiran atau hujah-hujah ilmu kalam lantas dianggapkan khurafat dan sesat.

Tasawwur akidah yang sebenar terhadap Allah SWT adalah melalui amalan zikrullah,  sesungguhnya ianya telah dinyatakan oleh Al-Quran dengan begitu banyak sekali ayat-Nya, jelas dan nyata. Kitab Allah SWT ini sesungguhnya telah mengubati akidah manusia yang sebelumnya berada di dalam kesesatan. Ini adalah kerana hakikat akidah merupakan fitrah yang sedia wujud dalam diri manusia (roh) dan amalan zikrullah adalah wasilah yang terpenting dalam proses untuk menyucikan hijab hati.

Kitab Allah itu sesungguhnya telah mengubati akidah manusia yang sebelumnya berada di dalam kesesatan. Ini adalah kerana hakikat akidah (roh) itu merupakan fitrah yang sedia wujud dalam diri manusia. Al-Quran tidak memaparkan konsep tasawwur dalam akidah itu di atas asas falsafah atau mantiq, ataupun dalam bentuk teori ketuhanan, kerana konsep seumpama itu adalah hasil ciptaan dan rekaan manusia.

Golongan ahli zahir ini seolah-olah sudah tertutup mata hati untuk menerima hakikat bahawa kesempurnaan hati yang dicapai melalui riyadah atau latihan amalan kerohanian (beruzlah/bersuluk) yang dilaksanakan oleh golongan tasawwuf adalah sunnah Nabi SAW dan perintah Allah SWT. Amalan kerohanian ini telah lahir bersama dengan kelahiran agama Islam. Segala pedoman ilmu dan amalan tasawwuf/tariqah ini telah ditulis atau dibukukan oleh tokoh-tokoh besar tasawwuf seperti Shaikh al-Muhasibi (w.243 H./ 828 M.: al-Ri’ayah li Huquqi dan al-Wasaya), Shaikh Abu Talib al-Makki (w. 386 H./ 971 M.: Qut al-Qulub), Imam Al-Ghazali (w. 505 H./1111 M.: Ihya’‘Ulum al-Din dan Minhaj al’ Abidin), Shaikh Abd Qadir al-Jilani (w.562 H./1147 M. al-Ghuniyyah, al-Faith al-Rabbani dan Faith al-Ghaib), Shaikh al-Hujwiri (w.465 H./1050 M.: Kasyf al-Mahqub), Ibn Khaldun (w. 808 H/1393 M.: Shifa’ u’s-Sail li Tahdhibi’l-Masail), Shaikh Abu al-Qasim al-Qusyairi (w.465 H./1071 M.: al-Risalah al-Qusyairiah) dan banyak lagi kitab-kitab tasawwuf yang dihasilkan oleh tokoh-tokohnya sejak dahulu hinggalah ke hari ini. Kitab-kitab ini terus memainkan peranan penting dalam usaha meyakinkan umat Islam tentang kebenaran ilmu dan amalan  tasawwuf/tariqah. Kitab-kitab ini juga merupakan sumber maklumat dan rujukan yang sangat penting dan berharga sekali mengenai ilmu dan amalan tersebut.
     
Ini digambarkan oleh Ibn Khaldun dalam kata-katanya:
“Kemudian, sesungguhnya ramai dari kalangan ahli fiqah dan ahli fatwa bersungguh-sungguh untuk menentang golongan ahli tasawwuf yang kemudian itu mengenai pekara-pekara yang disebutkan itu dan yang seumpamanya. Malahan mereka itu bersungguh-sungguh mengingkari/ menolak semua yang telah berlaku di dalam tariqah itu. Pada hal yang sebenarnya kata-kata ahli tasawwuf itu mempunyai huraian dan maksud ter- tentu.”
   
Begitulah persoalan dan fitnah seumpamanya itu atau yang lebih hebat lagi akan terus berlaku selagi golongan ahli zahir itu tidak dapat memahami serta menghayati apa yang sebenarnya mereka persoalkan itu sendiri. Sejarah beberapa tokoh/ulama fuqaha yang terkenal pada mulanya menentang ilmu tasawwuf/ tariqah begitu hebat, tetapi akhirnya dapat memahami serta beramal dengan ilmu tersebut dapat kita jadikan bukti kenyataan tersebut. Al-Quran datang untuk mengatur keperluan roh manusia itu dengan peraturan yang senang lagi mudah iaitu dengan memperbanyakkan zikrullah. Keimanan atau kesempurnaan hati ini begitu mudah untuk dicapai (memperbanyakkan zikrullah) dan tidak ada sebarang kesukaran untuk memahami dan mengamalkannya (zikrullah). Dengan terbukanya hijab hati mereka sampai kepada hakikat Allah dan hakikat kehambaan dirinya iaitu dapat makrifah kepada Allah SWT. Mereka dapat menguasai diri dan menentang berbagai-bagai kehendak nafsunya, dan dapat pula mengukuhkan imannya dengan kehendak dan kekuasaan Allah SWT semata-mata. Malangnya sesudah datang pelbagai  pengaruh falsafah asing ke dalam pemikiran umat Islam sehingga tasawwur akidah Islam ini telah diubah suai mengikut kaedah yang tidak Islam.

Berdasarkan kepada fakta-fakta sejarah dan lain-lainnya yang terlalu banyak, maka kita sangat yakin bahawa polemik antara mazhab akidah ahli zahir dengan ahli batin/rohani atau sufiyyah tidak akan ada penyelesaiannya sehinggalah golongan ahli zahir itu memahami benar-benar serta menghayati ilmu dan amalan tariqah itu. Selagi ahli zahir itu terus diselimuti fahaman zahir (longgokkan ilmu kalam) mereka maka selama itulah mereka akan terus diburu dan dihantui oleh sifat buruk sangka mereka sendiri, pada hal yang sebenarnya kata-kata ahli tasawwuf itu mempunyai huraian dan maksud tertentu.

6. Bentuk Tarbiyyah  Keimanan  Nabi  SAW dan  Mentalkinkan Amalan
    Zikrullah

Bentuk dakwah keimanan yang dilaksanakan  Nabi SAW adalah sentiasa menggesa para sahabat r.a supaya menumpukan perhatian terhadap usaha memperbetul dan memperbaiki hati mereka berasaskan kepada amalan zikrullah dan bermujahadah memerangi nafsu (beruzlah/bersuluk). Baginda juga menjelaskan bahawa baiknya seseorang manusia itu bergantung kepada baik hatinya dan jahat hatinya dari berbagai-bagai penyakit batin yang tersembunyi itu. Baginda bersabda yang bermaksud:
“Ketahuilah bahawa sesungguhnya ada segumpal daging di dalam jasad (manusia) itu, apabila ia itu baik maka baiklah seluruh jasad, bila ia rosak maka rosaklah jasad keseluruhan. Ketahuilah, itulah hati.”

Seterusnya baginda (SAW) menjelaskan bahawa tempat tumpuan dan tilikan Allah SWT terhadap hamba-hambaNya ialah hati. Baginda SAW telah bersabda yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah tidak memandang kepada jasad kamu, tidak pula kepada rupa (zahir) kamu tetapi Allah memandang terhadap hati-hati kamu.”

Allah SWT berfirman:
 فَإِنَّهَا لَا تَعْمَى الْأَبْصَارُ وَلَكِن تَعْمَى الْقُلُوبُ الَّتِي فِي الصُّدُورِ
Maksudnya:
“Maka  sesungguhnya bukan matalah yang buta, tetapi yang buta ialah hati yang  berada di dalam dada.”                (Surah Al - Hajr: Ayat 46)

Allah SWT berfirman:
مَا كَذَبَ الْفُؤَادُ مَا رَأَى
Maksudnya:
“Tidak berdusta hati itu tentang apa yang dilihatnya.”
                                                                    (Surah an - Najm: Ayat 11)

Ayat-ayat  Al-Quran di atas menjelaskan betapa pentingnya mencapai matlamat perjalanan ke hadrat Allah SWT atau memiliki kesempurnaan hati/akidah ataupun sampai ke darjat ihsan, iaitu orang-orang yang telah berjaya menghayati jalan agama itu dan sampai ke darjat yang tertinggi. Oleh itu, ia menjadi seorang manusia yang bersih zahir dan batin/akidahnya. Kesempurnaan jalan agama Islam tersebut mesti melalui tariqah (jalan) yang umum dan tariqah (jalan) yang khusus. Tariqah yang umum tersebut ialah yang dimaksudkan oleh firman Allah SWT:
 وَأَلَّوِ اسْتَقَامُوا عَلَى الطَّرِيقَةِ لَأَسْقَيْنَاهُم مَّاء غَدَقاً
Maksudnya:
“Dan bahawasanya, jika mereka itu istiqamah di atas jalan itu (tariqah agama Islam), nescaya kami akan berikan kepada mereka air yang banyak (rezeki yang melimpah ruah).”               (Surah al-Jin: Ayat 16)

Shaikh Abdullah bin Ahmad al-Nasafi mentafsirkan (Tafsir al-Nasaf: Jld. IV) perkataan al-tariqah dalam ayat di atas dengan makna tariqah al-Islam. Begitulah juga ahli-ahli tafsir lainnya, pada keseluruhannya mentafsirkan istilah al-tariqah tersebut dengan makna al-din al-Islam atau makna-makna yang seumpamanya.

Adapun tariqah yang khusus itu pula ialah jalan/tariqah yang pernah ditanyakan oleh Sayyidina Ali bin Abi Talib kepada Nabi SAW. Tanya Sayyidina Ali r.a;
“Ya Rasulullah! Ajarkanlah kepada ku jalan yang paling dekat untuk sampai kepada Allah SWT, paling mudah (diamalkan) oleh hamba-hamba Allah dan yang paling afdhal (terbaik) di sisi Allah .”  

Nabi SAW menjawab dengan sabdanya,
“Wajiblah atas engkau berterusan berzikrullah secara sirr (di dalam hati tanpa suara) dan secara terang (dengan suara).”

Sayyidina Ali bin Abi Talib r.a merasai bahawa beliau tidak mencapai lagi hakikat iman terhadap Allah SWT dengan tariqah yang umum itu sahaja, seperti yang ia amalkan sehari-hari dalam melaksanakan hukum Allah SWT (amal-amal soleh). Beliau merasa sangat sukar untuk mencapai matlamat sebenar iman dan amal solehnya. Kerana itu ia meminta Nabi SAW mengajarkan satu jalan (tariqah) yang khusus yang memudahkan beliau mencapai matlamat iman dan amal solehnya itu. Kalaulah darjat ihsan atau celik mata hati menjadi matlamat iman dan amal soleh maka jalannya (tariqahnya) yang khusus supaya cepat tercapai? Lalu Nabi SAW mengajarkan kepada beliau bahawa jalannya (tariqahnya) ialah berterusan berzikrullah secara sirr di hati dan secara terang pada lidah. Al-Quran ada menjelaskan hakikat tarbiyyah keimanan melalui tariqah atau jalan yang khusus iaitu kewajipan mempelajari amalan berzikrullah supaya kita tidak tergolong dalam golongan yang sesat sebagaimana firman Allah SWT:
 وَاذْكُرُوهُ كَمَا هَدَاكُمْ وَإِن كُنتُم مِّن قَبْلِهِ لَمِنَ الضَّآلِّينَ                    
Maksudnya:
“Dan berzikrullah sebagaimana yang ditunjukkan kepada mu (yang memberi petunjuk kepada jalan berzikrullah mu/zikir darajat). Dan sesungguhnya kamu sebelum itu termasuk dalam golongan orang-orang yang sesat.” 
                                      (Surah Al - Baqarah: Ayat 198)

Oleh itu, tidaklah memadai pengakuan keimanan kita semata-mata atau sekadar melaksanakan amal-amal soleh tanpa melalui tariqah atau wasilah iaitu tanpa ditarbiyyah dengan ilmu dan amalan zikrullah, meskipun pada asasnya kita telah mengakui kebenaran risalah (amal-amal soleh) yang dibawa oleh Nabi SAW. Al-Quran ada membayangkan fakta tersebut dengan firman Allah SWT:
 قَالَتِ الْأَعْرَابُ آمَنَّا قُل لَّمْ تُؤْمِنُوا وَلَكِن قُولُوا أَسْلَمْنَا وَلَمَّا يَدْخُلِ الْإِيمَانُ فِي قُلُوبِكُمْ وَإِن تُطِيعُوا اللَّهَ وَرَسُولَهُ لَا يَلِتْكُم مِّنْ أَعْمَالِكُمْ شَيْئاً إِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ                      
Maksudnya:
“Berkata orang-orang Arab Badwi: Kami telah beriman: Katakanlah: Kamu belum beriman, tetapi katakanlah: Kami telah Islam (tunduk) dan belumlah  masuk keimanan dalam hati kamu. Jika kamu mengikut Allah dan RasulNya tidaklah kurang (pahala) amalan mu sedikit pun. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Penyayang.”           (Surah Al - Hujurat: Ayat 14)   

7. Prinsip-prinsip Ilmu dan amalan tasawwuf/tariqah

Ilmu dan amalan tasawwuf/tariqah mempunyai prinsip-prinsip yang tersendiri sebagaimana berbagai-bagai ilmu lain di dalam Islam. Antaranya ialah:

Taqwa, iaitu sentiasa memerangi runtunan nafsu jahat  dengan melakukan apa-apa yang diperintahkan oleh Allah SWT dan menjauhi segala yang dilarang. Oleh itu seseorang yang beramal dengan tariqah itu mestilah sentiasa bermujahadah memerangi nafsu dan beristiqamah dalam taqwa serta berusaha untuk meningkatkan taqwa itu. Imam Al-Ghazali menegaskan mengenai jalan mujahadah ini dengan berkata: “Tujuan dari amalan beruzlah/bersuluk itu adalah bermujahadah memerangi nafsu supaya dapat mencapai sifat-sifat taqwa yang paling sempurna.” Seseorang hamba Allah itu sentiasa istiqamah  dalam bermujahadah pada zahir dan batin sehingga terbuka hijab hati dan dapat makrifah. Dapat menguasai diri dan menentang berbagai-bagai kehendak hawa nafsunya. Ini bermakna tariqah itu mestilah sentiasa di dasarkan atas syariat. Dalam aspek akidah, berpegang dengan mazhab salafussoleh yang benar-benar bersih dari unsur-unsur yang meragukan dan penyelewengan. Dalam bidang fiqah, berpegang dengan mazhab yang mu’tabar dan yang sentiasa menjadi rujukan umat Islam.

Zikrullah, iaitu zikir darajat. Zikrullah yang ada kaifiyat, peraturan dan adab-adabnya, adab sebelum berzikir, adab semasa berzikir dan adab sesudah berzikir. Zikir darajat ini ialah zikrullah yang ditalkinkan atau yang dibai’ahkan oleh shaikh kepada muridnya, seperti yang dilakukan oleh para shaikh dalam berbagai-bagai aliran tariqah. Bai’ah itu berdasarkan kepada apa yang telah dilakukan oleh Nabi SAW ketika baginda (SAW) mengajarkan zikrullah kepada Sayyidina Ali bin Abi Talib r.a. Dimaksudkan zikir darajat kerana seseorang salik yang mengamalkan zikir darajat itu pengalaman rohaniahnya akan meningkat dari satu darjat ke satu darjat yang lain. Tingkat zikir tersebut membayangkan tingkat-tingkat perjalanan hati atau rohani orang yang berzikir itu sendiri. Zawq atau rasa rohani bermaksud tarikan atau dorongan dari Allah SWT sehingga mereka itu dapat berzikrullah terus menerus sehingga Allah SWT akan membukakan hijab hati dengan merasai akan wujudnya Allah SWT. Kebiasaannya, apabila berzikir dengan zikir nafi ithbat dengan lafaz  “La Ilaaha Illa Allah”  berserta   rasa rohani itu hendaklah ditumpukan semata-mata kepada nafas yang naik dan turun pada seluruh anggota badan, iaitu supaya berhubung dengan hatinya di waktu berzikir. Memusat tumpuan dan perhatian semata-mata tanpa ada apa-apa perkataan terhadap musyahadah tentang berbagai hakikat rahsia Allah SWT. Ianya pasti tidak dapat dicapai kecuali setelah fana’ dan baqa’ yang sempurna

Mursyid atau shaikh, atau guru yang mengajar, mendidik dan mengasuh zahir dan batin salik. Guru yang mursyid yang mengetahui dan mampu menunjukkan jalan (kepada Allah) atau shaikh al-tarbiyyah yang dapat memimpin muridnya untuk meningkatkan berbagai-bagai maqam rohani dari tingkat ghaflah (lalai hati) kepada yaqazah (bangun dan sedar hati), dari yaqazah kepada hudur (hati yang semata-mata ingatkan Allah sehingga yang lainnya hilang langsung dari hati dan ingatan).

           Dr. Abd  al-Halim    al-Mahmud    menegaskan     tentang    pentingnya 
           mursyid ini dengan katanya:
           “ Syarat  penting   yang  mesti  ada   dalam   tasawwuf    ialah    kesan
           rohani  atau  dengan kata  yang   tepat   lagi  ialah barakah.  Barakah
           itu tidak akan  ada  kecuali  dengan  adanya wasitah (perantaraan)
           seseorang shaikh”. 
          
          Rasa    kasih    sayang,    rasa   hormat,   rasa   taat   setia,   rasa  sangat
          memerlukan  bimbingan dan  asuhan  shaikhnya dan sebagainya itulah
          yang     mendorongkan   seseorang   murid  itu    sentiasa   teringat   dan
          terbayang-bayangkan  wajah shaikhnya itu. Itulah asas konsep rabitah 
          yang dianggap sebagai satu ciri amalan yang penting di dalam tariqah.

Himmah, iaitu gigih dan bersungguh-sungguh menjalani jalan (Allah) ini seumur hidupnya iaitu cita-cita, tekad dan keazaman yang kental supaya sampai kepada martabat yang tinggi dan makam yang tinggi. Seseorang murid/salik itu mestilah melakukan mujahadah dengan bersungguh-sungguh, tahan menanggung apa juga kesusahan dalam mujahadah itu, benar percakapan dan benar keyakinannya. Mujahadah itulah yang membuahkan hasil dan menjernihkan akhir perjalanannya. Sesiapa yang semasa permulaan perjalanannya bersinar cahayanya, maka akhir perjalanannya cahayanya bersinar juga. Seseorang yang bersungguh-sungguh dalam mencari keredaan Allah SWT dengan mengorbankan jiwanya, hartanya, kemuliaan dan pangkatnya agar ia benar-benar sampai kepada hakikat ubudiyyah dan dapat pula mentaati semua perintah Allah, maka akhir perjalanannya penuh sinar, kerana sampai kepada Allah yang dicintaiNya itu. Shaikh Abu ‘Uthman al-Maghribi telah menegaskan pekara ini dengan katanya:
“Sesiapa yang menyangka bahawa tariqah ini akan dikurniakan kepada dirinya atau diberikan untuk dirinya sebahagian daripadanya tanpa mengekalkan mujahadah maka ia adalah salah.”

Faktor-faktor yang mendorong kegigihan dan kesungguhan mujahadah itu ialah niat yang benar, keyakinan yang benar dan hal keadaan diri yang bersih. Niat yang benar itu ialah bahawa mujahadah itu bertujuan untuk mencapai kesempurnaan hati/akidah semata-mata. Mujahadah- nya itu bukan untuk mendapatkan kekeramatan atau mendapat berbagai-bagai macam atau darjat tertentu dan tidak pula untuk memenuhi berbagai-bagai  kepentingan diri. Inilah intipati ajaran tasawwuf.  Kasyaf batin, ilmu laduni ataupun karomah bukanlah tujuan atau sasaran, juga tidak menjadi idaman para murid/salik. Semua itu hanyalah merupakan pemberian rabbani.

Seseorang murid/salik itu mesti yakin akan kebenaran ilmu tariqah, yakin terhadap janji-janji Allah SWT, yakin terhadap asuhan dan pimpinan mursyid atau guru dan lain-lain. Jika ada sedikit sifat riyak atau kurang yakin maka pandangan mata hati dan nur cahaya hidayat yang ada dalam hati akan menjadi kabur dan malap. Mengenai hakikat ini Ibn ‘Ata’illah menyebutkan dengan kata hikmahnya: “Jangan anda sekali-kali syak terhadap janji Allah SWT, sekalipun masanya telah sampai dan yang dijanjikan itu tidak berlaku, agar mata hati anda tidak cacat dan nur (cahaya) hati anda itu tidak padam.”

Allah SWT berfirman: Maksudnya,
“Dan mereka yang bersungguh-sungguh bermujahadah dalam (jalan untuk makrifah) Kami, nescaya Kami akan hidayatkan kepada mereka itu jalan-jalan (makrifah) Kami itu.”

Mencari ilmu. Seseorang salik itu mestilah belajar ketiga-kita cabang ilmu Islam iaitu ilmu fiqah, ilmu tauhid dan ilmu tasawwuf sekurang-kurangnya setakat fardu ‘ain. Menurut Imam Al-Ghazali, masalah ilmu ini merupakan rintangan pertama yang mesti diselesaikan terlebih dahulu oleh seseorang salik, kerana ilmulah yang merupakan asas bagi ibadat dan ubudiyyah.

Beruzlah atau bersuluk atau khalwat. Amalan yang memutuskan hubungan dengan manusia dalam tempoh masa tertentu. Di samping meninggalkan berbagai-bagai pekerjaan keduniaan dalam masa yang tidak lama supaya hati dapat sunyi dari kesibukan hidup yang tidak akan habis-habis itu. Fikiran juga dapat berehat dari berbagai-bagai beban harian yang tidak akan putus-putus itu. Kemudian berzikrullah bersungguh-sungguh dan bermujahadah memerangi nafsu di sepanjang malam dan siang. Amalan ini dilakukan dengan asuhan seorang shaikh.

Rakan seperjuangan. Tujuan rakan seperjuangan ialah untuk beribadat secara berjemaah seperti bersolat berjemaah, zikir beramai-ramai dan sentiasa melakukan tolong menolong bagi berbuat kebaikan dan menjauhkan kejahatan. Biasanya, seseorang itu akan dipengaruhi oleh berbagai-bagai sifat kawan, baik dari aspek rohani mahupun dari aspek tingkah laku yang zahir. Oleh itu kita mesti berhati-hati memilih sahabat kerana keadaan ilmu dan amalan kita akan sentiasa terdedah kepada pengaruh kawan. Persahabatan itu sememangnya akan meninggalkan kesan yang mendalam terhadap kewibawaan peribadi seseorang, akhlaknya, aliran pemikiran hidupnya, matlamat hidupnya dan sebagainya.

Biasanya, seseorang itu akan dapat mengikuti dan mewarisi berbagai- bagai sifat sahabat yang didampinginya selalu menerusi kesan rohani dan juga cara meniru atau mengikuti gerak-geri dan tingkah lakunya pada setiap masa. Jika seseorang itu berkawan rapat dengan orang yang jahat, maka akhlak atau ciri-ciri sifat orang yang jahat itu sedikit demi sedikit akan menular dan meresap ke dalam akhlak dan sifat-sifat orang itu sendiri tanpa disedari.

Sebaliknya, jika seseorang itu berkawan rapat dengan seseorang yang baik, beriman, bertaqwa, istiqamah dalam amal soleh, mempunyai ilmu dan makrifat, maka sudah tentulah ciri-ciri akhlak, ilmu dan amal sahabatnya itu akan meresap dan mempengaruhi zahir dan batinnya sendiri, sehingga akhirnya ia akan menjadi seorang berakhlak mulia, mempunyai iman yang teguh, ilmu dan makrifat yang jelas, jauh dari berbagai-bagai sifat tercela sebaliknya dihiasi oleh sifat-sifat terpuji.

Para sahabat r.a dapat mencapai darjat taqwa yang tinggi di sisi Allah SWT dan mendapat keredaan-Nya, padahal sebelumnya mereka sentiasa diliputi oleh berbagai-bagai kegelapan jahiliyyah natijah dari eratnya persahabatan mereka dengan Nabi SAW. Begitu juga para tabi’in mencapai kemuliaan dan darjat yang tinggi disebabkan hubungan mereka yang rapat dengan para sahabat r.a. Begitulah seterusnya keadaan generasi umat Islam yang kemudian hingga sampai Hari Kiamat, mereka itu mestilah mengikuti displin keilmuan dan keimanan yang diwariskan oleh Nabi SAW.

Menjaga adab. Adab ini meliputi adap terhadap Allah SWT, terhadap mursyid, terhadap kawan, terhadap diri dan juga terhadap orang ramai. Adab ini sangat penting dalam tariqah sehingga ia dianggap anak kunci bagi membuka pintu, tanpanya bererti seseorang salik itu tidak akan dapat menghayati ilmu tariqah yang sebenar. Malahan, tanpa adab seseorang itu tidak akan sampai ke matlamat perjalanannya (kesempurnaan hati/akidah). Pertama menjaga hukum Allah SWT dan sentiasa menjaga keagunganNya baik di tempat sunyi atau di tempat ramai. Kedua, menerima dan mengakui sesuatu pekara atau kejadian seperti yang ada atau berlaku dengan penuh keredaan. Ianya ditentukan oleh Allah SWT dan berlaku mengikut kehendak dan kekuasaan Allah SWT. Sentiasa mengekalkan matlamat perjalanannya kepada Allah SWT dan keredaan-Nya agar rohaninya sentiasa naik meningkat ke darjat makrifah yang sebenar (darjat ihsan). Sentiasa mengekalkan muraqabah terhadap Allah SWT.

8. Peranan Shaikh Mursyid dan Mentalkinkan Amalan Zikrullah

Oleh kerana nafsu dan hati itu bersifat rohaniah maka kita mesti melakukan riyadah atau latihan amalan kerohanian (beruzlah/bersuluk) untuk membersihkan dan membaikinya. Amalan  yang berat ini dipimpin oleh shaikh mursyid melalui kesungguhan dan kegigihan usaha menentang kehendak-kehendak nafsu jahat, sifat-sifat tercela serta akhlak yang rendah dan hina. Apabila nafsu itu berjaya ditundukkan maka akan terhiaslah hati itu dengan sifat-sifat terpuji dan yang diredhai-Nya sehingga murid itu tetap teguh di dalam keadaan tersebut. Zikir lisan dengan rasa rohani (zawq)  atau ‘zikir yang ada mertabat’  inilah yang mesti ditunjukkan oleh shaikh mursyid kepada muridnya di dalam satu upacara khas yang dikenali sebagai bai’ah dan talqin.

Bai’ah bermaksud berjanji setia untuk beramal dan bertakwa. Janji setia pada zahirnya merupakan janji setia murid terhadap guru atau shaikhnya tetapi pada hakikatnya, adalah janji setia terhadap Allah SWT. Talqin bermaksud pengajaran iaitu shaikh mursyid atau guru akan menunjukkan tentang cara-cara bagaimana hendak memperbanyakkan zikrullah, adab-adab yang perlu dijaga dan pekara-pekara lain yang ada kaitannya. Setelah melaksanakan upacara bai’ah dan talqin, maka murid itu mestilah menjalani amalan beruzlah/bersuluk dalam tempuh tertentu di bawah pengawasan shaikh dan pembantunya.

Peranan seseorang shaikh mursyid dalam merawat dan mengubati berbagai-bagai penyakit di dalam diri muridnya samalah juga seperti peranan seorang doktor pakar dalam merawat berbagai-bagai penyakit pelanggannya. Tidak ada rawatan dan pengubatan bererti penyakit tidak akan sembuh. Begitulah, tanpa rawatan dan pengubatan seseorang shaikh mursyid penyakit hati akan tetap kekal wujud tanpa disedari oleh seseorang. Jalan mujahadah tersebut amat sukar, membahayakan, banyak simpang dan liku-likunya yang mana sudah pasti sangat menyulit dan menyusahkan seseorang murid yang melakukan seorang diri. Tanpa bantuan dan tarbiyyah seseorang shaikh mursyid amat sukar mujahadah dan berzikrullah  yang dilakukan itu untuk mencapai tujuannya yang sebenar.
     
Shaikh al-Jurjani (w. 816 H) menjelaskan shaikh mursyid sebagai doktor rohani yang ‘arif mengenai ilmu berkaitan dengan berbagai-bagai penyakit hati dan cara-cara merawatnya dengan katanya:
“Doktor rohani itu ialah shaikh yang ‘arif tentang ilmu perubatan yang tersebut itu, iaitu ilmu mengenai sifat-sifat kesempurnaan hati (manusia), berbagai-bagai pekara yang merosakkan atau yang membahayakan penyakitnya, berbagai-bagai ubat-ubatannya, cara menjaga kesihatannya dan keseimbangan hati, dan doktor tersebut boleh memberikan asuhan hati dan menyempurnakan asuhan hati itu sendiri.”

Tarbiyyah (asuhan hati) ini memerlukan pembimbing rohani  atau shaikh mursyid bagi menunjukkan jalan benar memandangkan jalan-jalan yang menuju ke arah kesesatan banyak dan mudah pula diamalkan. Mengenai fakta ini Imam Al-Ghazali menjelaskan dengan katanya;
“Seseorang murid memerlukan guru (pembimbing rohani) yang boleh di ikuti, agar guru itu akan menunjukkan jalan benar. Sesungguhnya jalan agama itu  samar dan jalan-jalan syaitan pula terlalu banyak dan mudah pula. Sesiapa yang tiada guru memimpinnya, maka syaitanlah yang memimpin ke arah jalan-jalannya. Sesiapa yang berjalan di lembah-lembah yang bahaya tanpa orang yang menjaga keselamatannya, sesungguhnya ia telah membahayakan dirinya sendiri dan membinasakannya. Orang yang bersendirian tanpa shaikh itu adalah seperti pokok yang tumbuh sendiri, yang pasti akan mudah mati, jika pokok tersebut terus hidup dan berdaun rimbun, ia tidak akan berbuah. Maka orang yang mengawasi murid itu ialah shaikhnya. Maka hendaklah murid itu berpegang teguh terhadap shaikhnya itu.”

Shaikh mursyid berkewajipan menjalankan tugas mendidik, mengasuh, memimpin dan menyeru manusia untuk beriman dan beramal soleh. Sesiapa sahaja dari kalangan orang-orang Islam yang sentiasa bersahabat  dan berdampingan dengan mereka itu nescaya akan mendapat nur tawfiq dan hidayah mereka, iaitu yang mereka dapati daripada Nabi SAW itu. Sesiapa yang menghubungkan tali rohaniahnya dengan tali rohani mereka itu seolah-olah telah menghubungkan tali rohaniahnya dengan tali rohani Nabi SAW. Begitulah seterusnya keadaan generasi umat Islam yang kemudian hingga sampai datangnya Hari Kiamat, mereka itu mestilah mengikuti displin keilmuan dan keimanan yang diwariskan oleh Nabi SAW.

Shaikh mursyid mestilah benar-benar dapat menguasai ilmu yang berkaitan dengan berbagai-bagai soal dan masalah batin/hati, dengan cara memahami berbagai-bagai faktor yang boleh menyebabkan rosaknya hati dan juga faktor-faktor yang menyebabkan sihat dan baiknya hati. Ia juga mesti arif benar mengenai cara merawat hati yang dihinggapi oleh berbagai-bagai penyakit. Semua pekara yang tersebut itu hendaklah diketahuinya menerusi mata hati (basirah) yang terang lagi tajam dan juga menerusi kasyaf (terbuka mata hati hingga dapat melihat yang ghaib). Shaikh itu sendiri telahpun merawat hatinya sendiri sehingga menjadi bersih dan suci. Cermin hatinya bersih dari berbagai-bagai gambaran makhluk, kerana hanya Allah SWT sahaja yang tergambar dan terpahat di cermin hatinya itu.

Shaikh mursyid mestilah mengetahui benar-benar mengenai berbagai-bagai kebaikan dan manfaat yang didapati oleh seseorang dari berbagai-bagai amalan zikir dan bagaimana pula berbagai peringkat makam kerohanian yang dicapai melalui olahan  ‘rasa rohani’. Ini adalah kerana, makam-makam kerohanian  atau zikir-zikir yang diamalkan itu merupakan darjat hati dan berbagai ilmu adalah merupakan minumannya, muzakarah adalah seumpama makanan bagi roh sedangkan fikir dan renungan adalah seperti minumannya, bersahabat r.a dengan orang yang arif dan selalu berdampingan dengan mereka banyak memberi kesan yang baik bagi hati, roh dan sirr.  

Shaikh tarbiyyah dan shaikh tarqiyyah dalam ilmu tariqah itu seumpama doktor perubatan. Jika doktor perubatan mesti mendapat latihan yang secukupnya, maka begitulah juga shaikh itu mestilah mendapat latihan yang lengkap dan sempurna dari shaikhnya. Menerusi latihan dari shaikhnya itulah maka ia akan dapat memahami dan menguasai ilmu yang berkait dengan hati, penyakit dan cara merawatnya untuk menjadikan shaikh tersebut mempunyai kemahiran dalam bidang perubatan kerohanian itu.

Pengetahuan mengenai pekara-pekara yang disebutkan di atas amat diperlukan oleh shaikh untuk memimpin para muridnya. Shaikh yang boleh menjelaskan pekara-pekara tersebut dengan sebaik-baiknya akan dapat meyakinkan lagi kepercayaan para muridnya. Para muridnya juga akan memperolehi ilmu dan fahaman yang benar serta berupaya menolak semua tohmahan dari orang yang memusuhi amalan-amalan tersebut. Ini kerana masyarakat akan menimbulkan berbagai-bagai persoalan yang berkaitan dengan amalan-amalan tersebut, maka mahu atau tidak mahu ia terpaksa dihadapi oleh para murid itu sendiri. Jika murid itu tidak diberi penjelasan yang cukup, maka mereka tentulah mudah hilang kepercayaan, lalu meninggalkan amalan tersebut.
     
Betapa pentingnya menjalani tarbiyyah keimanan melalui pembimbing rohani/shaikh mursyid untuk mencapai kesempurnaan hati  telah ditegaskan oleh tokoh Islam yang terkenal, iaitu Shaikh ‘Izzu’Din bin Abd al-Salam yang digelar ‘Sultan al-Ulama’. Walaupun sebagai seorang tokoh agama yang besar lagi alim, tetapi beliau masih memerlukan seorang shaikh mursyid  iaitu  Shaikh Abu Hassan al-Sadhili rht. Kata beliau;
“Aku tidak   dapat  mengenali  Islam yang sempurna (sebenar-benarnya) kecuali  setelah  (berlakunya)  hubunganku   (tarbiyyah) dengan Shaikh Abu Hassan al-Sadhili rht. dan aku meredhainya (sebagai guruku) .”
   
Begitu juga Imam al-Shafi’i rht, pengasas Mazhab Shafi’i yang terkenal juga ditarbiyahkan (asuhan hati) oleh shaikh yang ‘ummi’ iaitu Shuban al-Ra’i dan Imam Ahmad Hanbali rht pula sentiasa menghadiri majlis ilmu Abu Hamzah al-Baghdadi, seorang tokoh tasawwuf/tariqah yang terkenal di kota Baghdad.

Bayangkan, bagaimana tokoh-tokoh agama yang besar dan terkenal masih memerlukan shaikh mursyid sebagai shaikh tarbiyyah untuk memimpin rohani mereka meskipun ilmu syariat mereka luas, maka orang lain darinya seperti kita semua tentulah lebih utama memerlukan pimpinan dalam perjalanan amal kita  supaya sempurna tarbiyyah (asuhan hati) kita.  Juga menjelaskan kepada kita bahawa walau seluas mana ilmu syariat yang dilonggokkan dan bersarang pada akal, namun  ianya tidak akan dapat membersihkan  hati dari sifat-sifat keji kecuali melalui jalan bermujahadah memerangi nafsu (beruzlah/bersuluk) dan memperbanyakkan zikrullah. Ini adalah kerana hati dan nafsu adalah bersifat rohaniah yang tidak mampu ditarbiyyahkan oleh segala bentuk dakwah atau aktiviti ataupun program yang bersifat lahiriah. Inilah yang berlaku di dalam sejarah Imam Al-Ghazali sebagai tokoh fuqaha dan tokoh tasawwuf yang terkenal. Beliau berada di dua persimpangan yang amat berbeza di antara tarbiyyah hujah-hujah ilmu kalam yang bersarang pada akal berbanding jalan mujahadah memerangi nafsu melalui tarbiyyah ilmu dan amalan tasawwuf/tariqah untuk mencapai kesempurnaan hati.

Shaikh mursyid itu mestilah mempunyai salasilah yang sah dan benar iaitu yang muttasil (yang bersambung-sambung) hingga sampai kepada Nabi SAW tanpa terputus. Syarat ini bermaksud bahawa ilmu dan amalan shaikh itu adalah diterima dari shaikhnya, shaikhnya itu pula menerimanya dari shaikhnya. Begitulah keadaannya sehingga akhirnya sampai kepada Nabi SAW. Tanpa adanya salasilah seperti yang disebutkan itu, maka seseorang itu tidak boleh menjadi shaikh. Salasilah shaikh yang muttasil atau yang bersambung-sambung hingga sampai kepada Nabi SAW itu bertujuan supaya mendapat keberkatan atau kesan rohani daripada Allah SWT menerusi Nabi SAW dan semua shaikh yang terdapat dalam salasilah itu sehingga keberkatan itu akan benar-benar sampai kepada para murid yang dipimpin dan diasuh. Tanpa keberkatan atau kesan rohani tersebut, maka seseorang yang beramal dengan ilmu tariqah itu tidak akan dapat mencapai matlamat amalannya itu, sekalipun ia bersungguh-sungguh dan mempunyai keazaman yang sebenar.

Shaikh Dr Abd al-Halim Mahmud menjelaskan tentang para ulama tasawwuf sangat menitik beratkan tentang salasilah telah menegaskan fakta ini dengan katanya:
“Dalam tasawwuf mestilah ada satu syarat yang terpenting iaitu kesan rohani, atau dengan kata-kata yang lebih tepat lagi ialah keberkatan. Keberkatan itu tidak akan sampai kecuali dengan wasilah/perantaraan shaikh. Dari sini maka timbullah salasilah. Salasilah itu (sebenarnya) tidak lain dari berbagai-bagai keberkatan itu, yang berpindah dari seseorang shaikh kepada seseorang murid.”     

Beliau menjelaskan lagi tentang pentingnya mencapai keberkatan atau kesan rohani tersebut dengan katanya:
“Mesti ada perhubungan dengan salasilah yang benar sah. Kerana, sesungguhnya keberkatan yang akan dicapai dari adanya persambungan salasilah yang benar-benar sah itu menjadi syarat yang pokok/asas (bagi ilmu tasawwuf), kerana tanpa salasilah tersebut seseorang itu tidak akan mencapai satu darjat pun dari berbagai-bagai darjat tasawwuf; sekalipun darjat permulaan (yang paling rendah) dalam tasawwuf itu.”
     
Dengan tujuan untuk menguatkan lagi hubungan salasilah tersebut, supaya keberkatan atau kesan rohani itu dapat melimpah ke atas rohani murid, maka murid akan melakukan tawassur kepada semua para shaikh yang terdapat dalam salasilah itu. Misalnya dengan memberi salam kepada mereka pada masa hendak memulakan amalan zikrullah, membaca surah al-Fatihah, mendoakan mereka pada akhir amalan tersebut dan sebagainya.

Tegasnya, jika salasilah shaikh itu tidak mutassil atau tidak bersambung-sambung hingga sampai kepada Rasulullah SAW berertilah terputus keberkatannya. Shaikh Muhammad Amin al-Kurdi menegaskan fakta ini dengan katanya:
“Maka, sesiapa yang salasilahnya tidak bersambung sampai kepada hadrat Nabi SAW, sesungguhnya ia terputus dari limpahan rohani itu dan ia bukanlah waris Rasulullah SAW (yang sebenar).”

Oleh sebab itu jugalah, maka dalam adab murid kepada shaikhnya dimestikan supaya murid itu benar-benar menghormati shaikhnya, mengasihinya, selalu berdampingan dengannya, selalu membayangkan rupanya di ruangan mata hatinya (rabitah), selalu membantunya, selalu sedia berkhidmat kepadanya dan sebagainya lagi. Semua kewajipan tersebut bertujuan supaya mudah mendapat keberkatan atau kesan rohani itu. Malahan, para murid diwajibkan supaya sentiasa sedar bahawa kejayaan perjalanannya kepada Allah SWT itu adalah kerana keberkatan shaikhnya yang bersambung-sambung hingga sampai kepada Nabi SAW.
      
Demikianlah, dakwah Nabi SAW di kota Makkah adalah untuk menyempurnakan  hati para sahabat r.a melalui amalan zikrullah dan sentiasa bermujahadah memerangi nafsu di dalam suasana ‘uzlah/bersuluk. Amalan zikrullah ini diperintahkan oleh Allah SWT dan sunnah Nabi SAW. Nabi SAW menunjukkan jalan berzikrullah kepada para sahabat r.a  supaya sempurna hubungan rohani dengan Allah SWT dan mereka tidak termasuk dalam golongan yang sesat. Amalan zikir yang sempurna atau zikir lisan dengan ‘rasa rohani’ (zawq) sebagai zikir permulaan itu tidaklah dapat diketahui kecuali kita mendapat keterangan dan asuhan dari para shaikh tariqah. Seseorang murid/salik itu tidak akan dapat memahami dan mengikut amalan tersebut dengan sebenar-benarnya kecuali mendapat pimpinan dan asuhan yang tertentu dari mereka. Hakikat fakta ini dapat kita lihat dalam firman Allah SWT:
                            
Maksudnya:
“Dan berzikrullah sebagaimana yang ditunjukkan kepada mu (yang memberi petunjuk kepada jalan berzikrullah mu/zikir zawq). Dan sesungguhnya kamu sebelum itu termasuk dalam golongan orang-orang yang sesat.”   
                                                       (Surah Al - Baqarah: Ayat 198)

Menurut riwayat Shaikh Yusuf al-Ajami, menjelaskan kaedah Nabi SAW mentalqinkankan amalan zikrullah kepada para sahabat r.a iaitu sebagaimana Nabi SAW menjawab pertanyaan Sayyidina Ali r.a tentang jalan beriman dan sampai ke hadrat Allah SWT dan mendapat keredaan-Nya. Nabi SAW memerintahkan Sayyidina Ali r.a dan para sahabat r.a supaya berzikrullah secara terang (suara) dan secara rahsia (hati). Akhirnya Sayyidina Ali r.a meminta Nabi SAW mengajarkannya cara berzikrullah itu dan Nabi SAW pun mengajarkan Sayyidina Ali r.a berzikrullah “La Ilaaha Illa Allah” dengan menyebut 3 kali sambil memejamkan kedua-dua mata baginda (SAW) dan mengangkat atau menguatkan suara baginda (SAW). Kemudian Sayyidina Ali r.a pun melakukan seperti Nabi SAW lakukan itu, sambil disemak dan diperhatikan oleh baginda (SAW).

Bagaimana Nabi SAW mentalqinkan para sahabat r.a  di dalam menjalani tarbiyyah (asuhan hati) melalui amalan berzikrullah terus menerus, ianya juga  menjadi displin pengajaran, asuhan, penyebaran ilmu dan amalan tasawwuf/ tariqah menjadi satu displin yang penting, yang tidak boleh ditinggalkan sama sekali. Displin ini melahirkan konsep salasilah dalam ilmu dan amalan tasawwuf. Oleh sebab itulah maka seseorang murid itu semestinya mengetahui salasilah gurunya sehingga benar-benar bersambung-sambung sampai kepada Nabi SAW. Pada dasarnya, konsep salasilah ini samalah isnad dalam ilmu hadis. Fungsinya yang penting ialah untuk mendapatkan barakah serta dapat menentukan kebenaran ilmu dan amalan tariqah itu sendiri.

Dalam ilmu fiqah telah timbul mazhab-mazhab seperti mazhab Hanafi, Maliki, Hanbali dan Shafi’i. Mazhab-mazhab tersebut hanyalah dinisbahkan kepada Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Iman Ahmad b. Hanbal dan Imam Shafi’i. Tidaklah bererti imam-imam tersebut yang mengasaskan kandungan ilmu fiqah tersebut, tetapi ilmu fiqah itu berasal daripada Allah diturunkan kepada Nabi SAW melalui Jibrail a.s.
  
Oleh itu, tidaklah timbul sama sekali para imam tersebut menjadi pengasas ilmu fiqah kerana mazhab-mazhab fiqah hanya dinisbahkan kepada nama mereka sahaja. Tegasnya, semua orang Islam faham bahawa ilmu dan amalan fiqah itu semuanya berasal daripada Nabi SAW, tidak ada sesuatu yang baru diciptakan oleh para imam tersebut.  
  
Begitulah juga, apa sebenarnya yang berlaku dalam ilmu dan amalan tasawwuf/tariqah itu, ia berasal daripada Nabi SAW dan berbagai aliran tariqah yang terdapat sekarang ini, hanyalah kerana dinisbahkan kepada nama para shaikhnya sahaja. Tariqah Naqsyabandiyyah misalnya berasal daripada Nabi SAW, kemudian dinisbahkan kepada beberapa tokohnya maka ia dikenali dengan berbagai-bagai nama. Mengenai hakikat fakta tersebut Dr Muhammad Ahmad Durr Naqiyyah menegaskan dengan katanya:
“Dan sesungguhnya Tariqah (Naqsyanbandiah) ini sejak zaman permulaannya hinggalah ke zaman kini dikenali dengan berbagai-bagai nama. Sejak daripada zaman Abu Bakar r.a sehingga sampai (zaman) Abu Yazid al-Bistami ia dikenali dengan (Tariqah) Siddiqiyyah. Daripada zaman Abu Yazid sehingga sampai ke zaman Abd al-Khaliq al-Ghujwani ianya dinamakan dengan (Tariqah) Tayfuriyyah iaitu dinisbahkan kepada nama Abu Yazid yang mula-mula. Daripada zaman al-Ghujwani sehingga ke zaman Muhammad Baha’u-‘d-Din ia dinamakan dengan (Tariqah) Khawajakaniy- yah iaitu dinisbahkan kepada khatam zikir al-Khawajakan yang dilakukan oleh beliau dalam amalan tariqah tersebut. Dan daripada zaman-zaman Baha’u-‘d-Din itu (hingga sekarang) ia dikenal dengan nama (Tariqah Naqsyabandiyyah).”

Berdasarkan kepada penegasan Dr Muhammad Ahmad Durr Naqiyyah tersebut maka jelas sekali bahawa semua aliran tariqah yang terdapat dalam Islam (yang mu’tabar) adalah berasal daripada Nabi SAW, bukan sesuatu yang baru dicipta oleh tokoh-tokoh tariqah itu sendiri. Oleh itu ia bukanlah sesuatu yang bid’ah, tetapi adalah sunnah Nabi SAW yang terus-menerus dipelajari dan diamalkan oleh umat Islam. Shaikh Dr Abd al-Halim Mahmud menjelaskan tentang para ulama tasawwuf sangat menitik beratkan tentang salasilah telah menegaskan fakta ini dengan katanya:
“Dalam tasawwuf mestilah ada satu syarat yang terpenting iaitu kesan rohani, atau dengan kata-kata yang lebih tepat lagi ialah keberkatan. Keberkatan itu tidak akan sampai kecuali dengan wasilah/perantaraan shaikh. Dari sini maka timbullah salasilah. Salasilah itu (sebenarnya) tidak lain dari berbagai-bagai keberkatan itu, yang berpindah dari seseorang shaikh kepada seseorang murid.”

Beliau menjelaskan lagi tentang pentingnya mencapai keberkatan atau kesan rohani tersebut dengan katanya:
“Mesti ada perhubungan dengan salasilah yang benar sah. Kerana, sesungguhnya keberkatan yang akan dicapai dari adanya persambungan salasilah yang benar-benar sah itu menjadi syarat yang pokok/asas (bagi ilmu tasawwuf), kerana tanpa salasilah tersebut seseorang itu tidak akan mencapai satu darjat pun dari berbagai-bagai darjat tasawwuf; sekalipun darjat permulaan (yang paling rendah) dalam tasawwuf itu.”

Ternyata, jika salasilah shaikh itu tidak mutassil atau tidak bersambung-sambung hingga sampai kepada Rasulullah SAW berertilah terputus keberkatannya. Shaikh Muhammad Amin al-Kurdi menegaskan fakta ini dengan katanya:
“Maka, sesiapa yang salasilahnya tidak bersambung sampai kepada hadrat Nabi SAW, sesungguhnya ia terputus dari limpahan rohani itu dan ia bukanlah waris Rasulullah SAW (yang sebenar).”     

Dalam displin ilmu dan amalan tariqah seseorang murid itu dikehendaki supaya seboleh-bolehnya sentiasa berdampingan dengan shaikhnya dan sentiasa taatkannya, sehingga ketaatannya itu samalah seperti ‘mayat’ yang berada di tangan orang yang memandikannya, hilang semua daya dan kemahuan, apa sahaja yang hendak dilakukan oleh orang yang memandikan itu ia terpaksa menurut sahaja. Tujuan utama dari adab murid dengan shaikhnya ini ialah supaya mudah mendapat rahmat, taufik dan hidayat dari Allah SWT menerusi shaikhnya itu kerana shaikhnya merupakan pintu rahmat Allah SWT.

Kerana itulah maka Shaikh Abd al-Wahab al-Sha’rani menegaskan tentang pentingnya penghormatan dan kasih sayang si murid terhadap shaikhnya itu dengan katanya:
“Sesungguhnya asas yang  penting adab terhadap shaikh itu ialah mencintainya. Maka sesiapa yang kasih atau cintanya terhadap shaikhnya tidak (kental) benar iaitu ia (sentiasa) mengutamakan shaikhnya itu dari semua kehendak nafsunya, tidak akan berjaya dalam jalan (Allah) itu, kerana cintakan shaikh itu adalah merupakan asas bermulanya peningkatan kebaikan. Daripada asas itulah murid itu akan meningkat rohaninya hingga mencapai hakikat Allah Yang Maha Agung lagi Maha Tinggi.”
     
Tanpa adanya cinta dan kasih sayang yang sebenar terhadap shaikhnya, maka seseorang murid itu tidak akan dapat memberikan penghormatan yang sewajarnya kepada shaikh itu. Bila tidak ada penghormatan yang selayaknya terhadap shaikh maka murid itu tidak akan dapat apa-apa faedah dari shaikhnya itu. Mengenai fakta ini Shaikh Abd al-Wahab al-Sha’rani menegaskan dengan katanya:
“Sesungguhnya tiap-tiap murid yang berdampingan belajar dengan para shaikh tanpa menurut cara menghormati mereka diharamkan untuk mendapat faedah dari shaikh-shaikh itu, juga diharamkan dari mendapat keberkatan-keberkatan kerana melihat mereka itu. Kemudian kesan-kesan baik dari para shaikh itu tidak akan lahir sedikit pun pada diri murid tersebut sekalipun ia bersungguh-sungguh untuk mendapatkannya. Bahkan segala perbuatan murid itu sendiri mendustakan dakwaannya.”   

Malahan hubungan murid dengan shaikh itu adalah seperti hubungan para sahabat r.a dengan Nabi SAW seperti yang telah ditegaskan oleh Shaikh Ibn al-Bana al-Sarqusti:
“Keadaan persahabatan antara murid dengan shaikh itu adalah seperti persahabatan para sahabat r.a dengan Nabi SAW, yang mana mereka itu diasuh dengan adab-adab Al-Quran, seperti firman Allah; Hai orang-orang yang beriman janganlah kamu mendahului Allah dan Rasul-Nya. Dan firman-Nya: Hai orang-orang yang beriman janganlah kamu meninggikan suara kamu lebih dari suara Nabi dan janganlah kamu berkata kepadanya dengan suara keras sebagaimana kerasnya suara sebahagian kamu terhadap sebahagian yang lain.”
    
Hubungan antara murid dengan shaikh mursyidnya memang sebenarnya menggambarkan hubungan antara para sahabat r.a dengan Nabi SAW atau merupakan satu penjelmaan semula hubungan antara sahabat r.a  dengan  baginda  (SAW) itu. Oleh  yang  demikian segala adab-adabnya yang zahir dan batin mestilah turut dijaga. Bagaimana para sahabat r.a begitu bersungguh mencintai dan menghormati Nabi SAW, maka begitulah juga para murid terhadap shaikh mereka. Bila mereka telah benar-benar menghormati shaikh mereka, maka seolah-olahnya mereka juga telah menghormati Nabi SAW, para sahabat r.a dan para salafussoleh. Jadi, tidaklah benar anggapan bahawa para murid itu menghormati shaikh mereka secara berlebih-lebihan sehingga mendewa-dewakannya melebihi sanjungan mereka terhadap orang-orang yang lebih berhak untuk disanjung seperti para sahabat r.a dan para salafussoleh.
   
Perhubungan yang rapat dalam kehidupan sehari-hari antara murid dengan shaikhnya sememangnya dikehendaki oleh Islam, sebab Allah SWT berfirman: Maksudnya:
“Hai orang-orang yang beriman bertaqwalah kamu kepada Allah dan hendaklah kamu bersama-sama dengan orang-orang yang benar(al-sadiqain).”                                             (Surah al-Taubah : Ayat 119)

Tujuan perintah Allah SWT supaya kita bersama-sama dengan orang yang bertaraf al-sadiqin (benar) yang tersebut ialah supaya kita mendapat keberkatan dan berbagai-bagai rahmat Allah SWT menerusi mereka, kerana orang-orang yang bertaraf al-sadiqin itu merupakan orang-orang mukmin yang tinggi taraf mereka di sisi Allah SWT iaitu selepas kedudukan para nabi dan rasul. Allah SWT berfirman mengenai kenyataan tersebut. Maksudnya:
“Dan barangsiapa yang mentaati Allah dan rasul-Nya, mereka itu akan bersama-sama dengan orang-orang yang diberikan nikmat oleh Allah iaitu dari para nabi, para siddiqin, para syuhada dan orang-orang yang soleh. Dan mereka itulah teman yang sebaik-baiknya .”               
                                                               (Surah al-Nisa ; Ayat 69)

Allah SWT menjelaskan bahawa rahmatNya itu sentiasa hampir dikurniakan kepada orang al-muhsinin (orang mukmin yang terbaik). Seperti firmanNya: Maksudnya :
“Sesungguhnya rahmat Allah itu adalah hampir kepada orang muhsinin.”
                                                         ( Surah al-A’raf : Ayat 56)
    
Malahan, mereka itulah juga merupakan orang-orang yang sentiasa mendapat petunjuk dan menjadi golongan ulu’l-albab. Allah SWT berfirman: Maksudnya:
“(Hamba-hamba-Ku) ialah orang-orang yang mendengar perkataan (ayat-ayat Al-Quran) lalu mengikuti apa yang paling baik di antaranya. Mereka itu orang-orang yang telah diberi petunjuk dan mereka itulah orang-orang  ulu’l-albab .” 

Setelah wafat Nabi SAW maka shaikh mursyid itulah yang menjadi khalifah atau pengganti baginda dalam urusan tarbiyyah keimanan. Sesiapa sahaja yang mendapatkan tarbiyyah daripadanya nescaya akan dapat mem- perbaiki berbagai-bagai sifat tercela dan akan menjadi mukmin yang bersifat terpuji dan berakhlak mulia. Shaikh Abd al-Qadir ‘Isa ada menegaskan mengenai kenyataan tersebut dengan katanya:
“Maka orang yang sentiasa mendampingi mereka, meresaplah kepadanya sebahagian dari hal kerohanian mereka yang mereka ambil dari Rasulullah SAW. Orang yang menolong mereka itu berertilah ia telah menolong menegakkan agama. Orang yang menghubungkan tali kerohaniannya dengan tali kerohanian mereka berertilah talinya itu telah bersambung dengan Rasulullah SAW. Orang yang telah mendapatkan sebahagian hidayat dan asuhan mereka, berertilah ia telah mendapatkannya dari orang yang benar-benar mengikuti Rasulullah SAW.”  
 
 Kedudukan shaikh mursyid sebagai khalifatu’r-Rasulullah atau pengganti atau wakil Rasulullah dalam bidang penyebaran ajaran Islam atau asuhan dalam penghayatan ajaran Islam yang sebenarnya, zahir dan batin seperti yang disebutkan sendiri oleh Nabi SAW dalam sabdanya seperti yang diriwayatkan oleh al-Tibrani. Maksudnya:
“Ya Allah!  Kasihanilah   para khalifahku  yang  akan lahir sesudah (zamanku) nanti, iaitu  mereka yang  meriwayatkan  hadis-hadisku dan sunnahku dan mereka itu mengajarkannya kepada orang ramai.”

Kita juga boleh melihat kedudukan shaikh mursyid tersebut dari kata-kata para ulama tasawwuf sendiri. Shaikh Abd al-Wahhab al-Sha’rani pernah menegaskan pekara tersebut dengan katanya:
“Sesungguhnya  para shaikh rhm  itu  adalah  para naib (pengganti/wakil pembawa syariat Nabi SAW dalam urusan) mendidik dan mengasuh seluruh manusia.”

 Shaikh Abd al-Qadir ‘Isa pula menyebutkan:
“Mereka itulah para khalifahnya dalam (kepimpinan ke pintu) hidayat, asuhan dan dakwah kepada Allah. Mereka itu sentiasa dapat mengambil sebahagian dari nur risalah Nabi SAW untuk mereka gunakan bagi menerangi jalan kebenaran dan kebaikan bagi kehidupan manusia.”

Shaikh Abu al-‘Abbas al-Mursi (w. 686 H. /1287 M.) menjelaskan betapa sukarnya untuk mengenali shaikh mursyid yang sebenarnya (bertaraf wali), kerana diri mereka dilindungi Allah SWT sehingga manusia sukar untuk mengenalinya. Kata beliau:
“Mengenal wali itu lebih payah dari mengenal Allah (kerana) sesungguhnya Allah itu (memang) dikenali dengan (sifat-sifat) keagungan dan kesempurnaan-Nya. Bilakah anda (boleh mengenal seorang wali) sedang iaitu makhluk Allah seperti anda juga yang makan seperti anda makan dan yang minum seperti anda minum.”

Oleh itu, orang yang sememangnya dipilih dan dikehendaki oleh Allah SWT sahajalah yang akan dapat mengenal para wali Allah itu iaitu cara diperlihatkan sifat-sifat keistimewaannya yang ada di sebalik sifat-sifat manusia biasa itu. Shaikh Abu al-‘Abbas al-Mursi menegaskan hal ini dengan katanya:
“Dan bila Allah menghendaki untuk memperkenalkan anda kepada seseorang wali dari para wali-Nya, maka dihapuskan sifat-sifat kemanusiaan biasa (dari pandangan) anda dan Allah memperlihatkan anda akan sifat-sifat khusus pada wali tersebut.”

Abu al-Hasan al-Nadawi pula ada menyebutkan tentang peranan seseorang shaikh mursyid dalam masyarakat dengan katanya:
“Sesungguhnya  golongan  suffiyah  membai’ahkan orang ramai  mengenai tauhid, ikhlas, mengikut sunnah, bertaubat dari berbagai maksiat, taatkan  Allah dan Rasul-Nya  mengingatkan orang ramai tentang (bahaya) berbagai- bagai kejahatan, kemungkaran, akhlak yang buruk, kezaliman dan keras hati, menggalakkan orang ramai untuk   berakhlak  yang baik dan membuangkan semua sifat  yang keji   seperti  takbur, hasad,  kemarahan, zalim, cintakan pangkat kebesaran...”
  
9. Cara Berzikrullah Bagi Pengikut Tariqah Ahmadiah

Di kalangan para pengikut Tariqah Ahmadiah, para murid/salik dianjurkan supaya sentiasa melakukan zikir lisan. Para shaikh Tariqah Ahmadiah telah meletakkan zikir lisan ini sebagai permulaan sekali. Mereka juga menggesa agar para murid itu memperbanyakkan zikir lisan itu, kerana dengan cara itu lama kelamaan akan dapat melakukan zikir di hati (zikrul-qalb).

Bagaimana cara dan keadaanya zikir lisan itu sebagai zikir permulaan dengan   rasa rohani (zawq) itu tidaklah dapat diketahui kecuali kita mendapat keterangan dan asuhan dari para shaikh Tariqah Ahmadiah. Seseorang murid itu tidak akan dapat memahami dan mengikuti amalan tersebut dengan sebenar-benarnya kecuali mendapat pimpinan dan asuhan yang tertentu dari mereka. Bagaimanapun, mereka itu sedar dan tahu sangat bahawa tujuan yang paling utama sekali dari berzikir itu ialah sampai kepada hadrat Allah SWT dan mendapat keredaan-Nya

Zikir lisan dimulai dengan membayangkan kalimah ‘ALLAH’ bermula dari pusat, dipukul dengan nafas yang ditahan itu berserta rasa rohani (zawq) hingga sampai kepada ubun-ubun di kepala. Selepas itu pula kalimah ‘HU’ yang dibayangkan dari ubun-ubun terus turun ke bahagian belakang tubuh (saraf tunjang) dan  ke bahagian pusat sehinggalah terasa kesannya dan kepanasannya di seluruh badan iaitu rasa rohani (zawq) untuk menyingkirkan ‘tentera syaitan’ yang mendiami semua bahagian anggota badan. Selepas itu membayangkan kalimah ‘ALLAH’ dan dipukul dengan kekuatan nafas yang ditahan itu berserta rasa rohani (zawq) ke bahagian bawah jantung.  Nafas yang ditahan berserta rasa rohani (zawq) itu berperanan untuk menghancur- kan tentera syaitan/iblis yang dikenali ‘ketulan darah ghaib’ yang berkedudukan di bahagian bawah jantung manusia. Tentera syaitan inilah yang berperanan menimbulkan was-was dan lintasan-lintasan jahat pada manusia.  Ternyatalah, ketulan darah itulah yang menjadi hijab-hijab nafsu yang menutupi manusia daripada menerima ‘nur kalbun’. Nur inilah yang berperanan supaya manusia mampu memiliki kesempurnaan hati/akidah atau celik mata hati. Apabila hijab hati orang itu akan dibukakan oleh Allah SWT, maka hati bukan hanya hidup dan terjaga, tetapi mata hati (al-basirah) akan menjadi terang dan dapat musyahadah terhadap apa-apa yang Allah kehendaki dan kurniakan kepadanya. Ketika mata hati itu musyahadah, maka seluruh kesedaran rohaninya tertumpu kepada Allah SWT semata-mata.

Sesudah itu baharulah ia berzikir dengan zikir nafi ithbat dengan lafaz ‘La Ilaaha Illa Allah’. Lafaz kalimah itu hendaklah tertumpu di hatinya serta menumpukan perhatian pada rasa rohani (zawq). Perhatian dan tumpuan pada rasa rohani (zawq) ialah rasa dan perhatian terhadap Allah SWT yang tidak boleh diserupakan dengan sesuatu itu. Di samping itu maka ia juga merasa dan menumpukan perhatian bahawa Allah SWT itu hadir, melihat dan memerhati serta mengetahui semua keadaan dirinya zahir dan batin.

Orang yang berzikir itu menumpukan sepenuh perhatian terhadap rasa rohani (zawq) yang ditumpukan semata-mata kepada nafas yang naik dan turun, iaitu supaya berhubung dengan hatinya di waktu berzikir. Memusat tumpuan dan perhatian semata-mata tanpa ada apa-apa perkataan terhadap musyahadah tentang berbagai hakikat rahsia Allah SWT. Ianya pasti tidak dapat dicapai kecuali setelah fana’ dan baqa’ yang sempurna.     

Menjaga nafas dari lalai (terhadap Allah SWT) ketika masuk, keluar dan di masa antara kedua-duanya itu. Ini bertujuan supaya rasa rohani (zawq) itu sentiasa hadir di semua pernafasan. Tiap-tiap nafas yang keluar dan yang masuk berserta rasa rohani (zawq) itu dianggap sebagai nafas yang diliputi oleh nur Allah SWT dan disampaikan (kepada keredaan Allah SWT) dengan cara billah atau dengan kehendak dan kekuasaan Allah SWT. Sebaliknya, tiap-tiap nafas yang keluar masuk dalam keadaan tanpa rasa rohani (zawq) atau lalai itu adalah mati dan terputus daripada (rahmat dan keredaan) Allah SWT. Mengawal semua pancaindera dan dijauhkan sama sekali segala gangguan dan apa jua lintasan-lintasan jahat (was-was syaitan) dari pancaindera tersebut. Seluruh kesedaran dan ingatannya mestilah ditumpukan sepenuhnya kepada Allah SWT.

Bila terasa lapang dengan melepaskan nafas yang ditahan tadi, maka ambillah nafas dan tahan semula nafas itu. Buatlah seterusnya seperti apa yang dibuat pada penahanan nafas yang pertama itu. Bagaimanapun hendaklah gambaran yang di dalam hati dan ingatan seperti di atas itu dijaga dan diteruskan kekal sehingga natijah zikir lisan itu akan terasa. Natijah tersebut adalah merupakan lupa terhadap wujud kemanusiaan dan semua lintasan kejadian Allah SWT seluruhnya dan tenggelam di dalam jadhbah Allah SWT. Ketika itu terasalah di hati kesan positif  jadhbah tersebut, iaitu hati tertumpu sepenuhnya kepada Allah yang Maha Suci dengan penuh cinta zat Allah SWT. Kesan tersebut adalah berbeza-beza mengikut persediaan yang ada iaitu anugerah Allah SWT kepada roh-roh para hamba-Nya di alam Lahut iaitu ‘hari perjanjian’ sebelum roh-roh itu dimasukkan ke dalam jasad. Inilah ‘bibit tauhid’ yang di- tanamkan di ladang hati agar tumbuh menjadi pohon tauhid yang akarnya tertanam di dalam rasa rohani (zawq) untuk menghasilkan ‘buah tauhid’ untuk mencapai redha Allah SWT.

Oleh itu, setelah selesai melakukan zikir, harus diikuti pula langkah-langkah berikut:
Hendaklah ia tetap kedudukannya (bersila) apabila ia selesai berzikir dengan ikhtiarnya dan hendaklah menghadirkan hati kerana menanti warid zikir itu, iaitu  menanti faedah hasil berzikrullah itu. Mudah-mudahan dianugerahkan Allah SWT kepada kita.

Hendaklah ia menahan  nafasnya  dari  keluar   masuk kerana ianya terlebih cepat memperbaiki hati dan membersihkan hijab, dan memutuskan lintasan-lintasan jahat (syaitan).

Janganlah terus meminum air sejuk apabila selesai berzikir kerana ianya akan memadamkan kesan kepanasan berzikir dan menghilangkan rindunya kepada  mazkur (yang diingati) iaitu Allah SWT.

Ketahuilah bahawa para shaikh mursyid merupakan para doktor yang terkenal dan pandai membuka berbagai pintu hati. Mereka itu juga adalah merupakan para hukama’ yang terkenal, kerana mereka mahir dan biasa untuk mendapatkan ilmu dan rahsia dari Allah SWT. Itu semuanya adalah disebabkan mereka telah dikasihi dan disayangi oleh Allah SWT. Hati dan seluruh batin mereka amat mudah untuk mengikuti petunjuk Allah SWT. Oleh yang demikian, jika anda lihat dan perhatikan dengan cermat tentang kebaikan akhlak dan tingkah laku mereka ketika mengikut jalan pimpinan dan asuhan mereka nescaya anda akan dapat menyaksikan keistimewaan mereka yang menghairankan dan berbagai kesan baik yang paling berharga.

Peringatan:
Orang yang yang sedang berzikir itu hendaklah memejamkan kedua-dua mata dan menutup kedua bibir serta lekatkan lidah ke langit mulut supaya dapat khusyuk yang sempurna atau rasa rohani dan meng- hilangkan berbagai lintasan hati yang jahat yang boleh memutuskan tumpuan hati kepada Allah SWT.

Jika orang yang sedang berzikir itu mengalami berbagai lintasan hati atau terhenti tidak boleh berzikir  hingga merosakkan tumpuan hatinya, maka hendaklah ia segera membuka kedua-dua matanya. Dengan berbuat demikian itu maka gangguan itu akan hilang. Jika gangguan itu masih ada dan tidak hilang, maka berhentilah dari berzikir dan cuba kembalikan rabitah mursyid. Jika gangguan tidak hilang juga maka hendaklah ia mengambil wuduk atau pun ia mandi dan solat dua rakaat sesudah berwuduk atau sesudah mandi itu. Kemudian setelah solat itu beristighafarlah insya Allah akan hilang- lah gangguan tersebut.

Sebagaimana yang telah menjadi hukum adat bahawa seseorang itu tidak boleh sampai ke maqam terpuji tersebut dengan dirinya sendiri, tetapi ia perlukan pimpinan seorang yang kamil yang telah sampai ke maqam musyahadah dan telah mencapai hakikat sifat adh-zat. Oleh itu, maka wajiblah seseorang murid itu untuk berpandu kepada rohaniah shaikhnya yang kamil dan fana’ fillah.

Rabitah al-mursyid iaitu berhadapan hati murid dengan hati shaikhnya dan diingatkan rupanya di dalam khayalan sekalipun shaikhnya tidak ada atau telah wafat. Shaikh itu adalah seperti bekas yang telah dipenuhi limpahan nur rahmat Allah SWT yang akan mengalir limpahan nur tersebut ke dalam hati murid yang sentiasa berrabitah dengan shaikh tersebut. Murid itu juga akan dapat keberkatan daripada shaikhnya  itu kerana shaikhnya itu adalah merupakan wasilah yang boleh menyampaikan keredaan Allah. Semuanya itu ada terdapat dalil-dalilnya daripada ayat-ayat Al-Quran dan Hadis Nabi SAW.

Jika seseorang telah fana’ atau baqa’ billah maka tinggalkan rabitah shaikh itu dan terus menumpukan pekara baqa’ atau fana’nya itu.

10. Fana’ fillah

Pengertian fana’ fillah dari sudut bahasa bermakna hilang, lenyap dalam rahsia sifat-sifat Allah SWT dan af’al-Nya. Hati, ingatan dan kesedaran tenggelam sepenuhnya dalam berzikrullah semata-mata, tidak ada yang lain dalam hati, ingatan dan kesedaran. Ini menepati firman Allah SWT. 
 فَلَمَّا تَجَلَّى رَبُّهُ لِلْجَبَلِ جَعَلَهُ دَكّاً وَخَرَّ موسَى صَعِقاً فَلَمَّا أَفَاقَ قَالَ سُبْحَانَكَ تُبْتُ إِلَيْكَ وَأَنَاْ أَوَّلُ الْمُؤْمِنِينَ
Maksudnya:
“..Maka bila Allah SWT  mentajalli (menzahirkan ayat/nur/sifat ujud-Nya) dalam pandangan roh Nabi Musa  menerusi bukit (Tursina) itu, menjadikan  bukit itu lenyap (dalam pandangan mata kepala Nabi Musa) dan Nabi Musa jatuh pengsan (jadi fana’).”                    (Surah al-A’raf: Ayat 143)

Pengsan dalam ayat ini adalah pengsan majazi bukan pengsan hakiki, sebab ingatan dan kesedaran Nabi Musa tidak hilang seperti orang yang pengsan sebenar, tetapi sebaliknya  tetap ingat dan sedar, malahan kian kuat dan segar ingatan beliau. Sebab itu setelah beliau keluar dari fana’ tidak kebingungan (orang yang pengsan bila sedar, kebingungan) dan terus menyebut:
“Maha Suci Engkau ya Allah, aku benar-benar kembali dan serah diri (zahir batin) kepada-Mu dan (sekarang ini) aku (rasa) berada dalam permulaan sebenar-benar mukmin.”

Menurut Ibn Khaldun, fana’ sememangnya boleh berlaku kepada seseorang mukmin yang melakukan mujahadah yang khusus (mujahadah al-kasyaf  wa al-ittila’) iaitu dengan pimpinan shaikh mursyid. Menurut beliau, orang yang melakukan mujahadah ini akan mengalami perubahan pada kedua-dua aspek rohani dan jasmaninya. Aspek jasmani akan menjadi lemah  dan terus lemah. Sebaliknya, aspek rohaninya akan bertambah kuat dan terus menjadi kuat. Akhirnya aspek jasmani menjadi  cukup lemah dan aspek rohani cukup kuat. Ketika itu, orang tersebut layak digelar sebagai manusia rohani (Insanun Ruhiyun). Jasadnya tidak memenjarakan dan menghijab rohnya. Apabila seseorang mukmin dikurniakan oleh Allah SWT dengan difana’kan kejadian di alam nyata, maka ketika itulah ia akan dapat melihat ayat-ayat Allah yang tersirat di alam Malakut dengan panduan roh atau hatinya. Ketika itulah orang mukmin tersebut akan merasakan menerusi aspek rohaninya tentang kewujudan zat Allah SWT. Sebab itulah maka Nabi SAW menegaskan, seseorang yang sampai ke darjat ihsan akan merasa seolah-olah melihat Allah SWT.

Kewajaran berlakunya fana’ boleh juga kita lihat dari tingkat-tingkat zikrullah. Menurut Ibn Atha’illah, zikrullah ada empat peringkat iaitu ghaflah (hati lalai semasa zikir), yaqazah (hati sedar), hudur (hati kuat ingatan kepada Allah) dan ghaybah (hanya ingat Allah SWT, yang lain dari Allah SWT ghaib dari ingatan). Bila zikrullah sampai ke peringkat terakhir (ghaybah) maka fana’ fillah akan berlaku.

Apabila orang yang difana’ itu dikeluarkan oleh Allah SWT dari keadaan fana’nya, maka ia sampai ke peringkat kedua iaitu dirasakan bahawa Allah SWT sentiasa memantau dirinya. Maka mukmin tersebut menjadi sempurna dan digelar arif kamil (keadaan inilah yang dinamakan baqa’ billah).

Dilihat dari sudut proses seseorang mengenal  Allah SWT, maka fana’ merupakan peningkatan mengenal Allah secara samaie kepada secara zawqi. Mengenal Allah secara samaie menggunakan akal, berdalil dengan dua dalil iaitu dalil naqli (ayat maqruah atau ayat-ayat yang dibaca iaitu ayat Al-Quran) dan dalil aqli (ayat mar’iyyah atau ayat-ayat yang dilihat oleh mata kepala iaitu apa jua kejadian di alam semesta ini). Mengenal Allah SWT secara zawqi menggunakan hati dan roh (iaitu ayat masyhudah yang berada di alam Malakut).

Dari semua fakta dan keterangan di atas dapat disimpulkan, mujahadah  al-kashaf wa al-ittila’ yang menyampaikan seorang mukmin ke peringkat fana’ fillah adalah terlalu sukar. Allah SWT tidak akan kurniakan kepada semua orang yang melakukan mujahadah tersebut. Hanya segolongan kecil dari mereka yang akan berjaya. Kita boleh ibaratkan usaha mencapai fana’ fillah sama seperti usaha memanjat gunung yang sangat tinggi seperti gunung Everest. Hanya individu-individu yang tertentu yang berjaya sampai di puncak, sedang majoriti mereka gagal. Mereka yang telah difana’kan akan dimasukkan oleh Allah SWT dalam golongan al-muqarrabun (orang-orang yang hampir kepada Allah SWT). Golongan ini sangat  sedikit bilangannya, terutama di akhir zaman seperti sekarang ini. Oleh sebab itulah Allah SWT berfirman:
  أُوْلَئِكَ الْمُقَرَّبُونَ   فِي جَنَّاتِ النَّعِيمِ  ثُلَّةٌ مِّنَ الْأَوَّلِينَ  وَقَلِيلٌ مِّنَ الْآخِرِينَ     
“Mereka itulah orang yang hampir kepada Allah  (al-muqarrabun). (Mereka menetap) di dalam syurga-syurga yang penuh kenikmatan. Mereka itu (al-muqarrabun) ramai bilangannya di zaman yang awal dan terlalu sedikit di zaman akhir.”                                (Surah al-Waqi’ah: Ayat 11-14)

Golongan muqarrabun adalah golongan hamba-hamba Allah SWT yang apabila beribadat mereka melakukan sebaik-baik ibadat. Allah SWT berfirman mengenainya:
 الَّذِينَ يَسْتَمِعُونَ الْقَوْلَ فَيَتَّبِعُونَ أَحْسَنَهُ أُوْلَئِكَ الَّذِينَ هَدَاهُمُ اللَّهُ 
وَأُوْلَئِكَ هُمْ أُوْلُوا الْأَلْبَابِ
Maksudnya: 
"(Ya Muhammmad) sampaikan berita yang benar lagi menggembirakan hati para hamba-Ku. Para hamba-Ku itu ialah mereka yang apabila mendengar pengajaran Al-Quran mereka lakukan sebaik-baiknya.” 
                                                                                (Surah az-Zumar: Ayat 18)

Walaupun fana’ disyariatkan dan semua orang mukmin seperti berpeluang untuk menerima anugerah fana’ daripada Allah SWT. Bukanlah bererti tiap-tiap orang mukmin akan menerima kurnia tersebut. Hanya orang mukmin yang dapat memenuhi dua syarat penting yang akan dikurniakan fana’  oleh Allah SWT. Pertama, semua sifat-sifat tercela (mazmumah) zahir dan batin seseorang mukmin telah dihapuskan dan ditukar dengan berbagai sifat terpuji (mahmudah). Kedua, orang mukmin tersebut tenggelam  dalam mengingati Allah SWT (berzikrulllah) dan hilang apa sahaja yang lain daripada Allah SWT dari ingatannya. Untuk mencapai tingkat ini, Imam Al-Ghazali menegaskan, orang itu mestilah melakukan dua pekara; kekal  dalam zikrullah dan berpaling zahir dan batin selain daripada Alllah SWT untuk memusatkan tumpuan  kepada-Nya sahaja. Imam Al-Ghazali menggunakan dalil surah al-Muzammil (Ayat 8) yang bermaksud:
“Dan sebutlah (dengan lidah  dan hati) akan nama Tuhanmu (terus  menerus siang dan malam), serta tumpukanlah (amalan ibadatmu) kepada-Nya dengan sebulat-bulat tumpuan.”

Biasanya orang yang dapat memenuhi kedua-dua syarat tersebut adalah orang yang sentiasa taat kepada Allah SWT dengan melakukan apa yang difardukan dan membanyakkan pekara yang disunatkan. Sebuah hadis Qudsi yang bermaksud:
“Tidak ada sesuatu yang dilakukan  oleh seseorang hamba-Ku  untuk menghampirkan diri kepada-Ku yang Aku sukai selain daripada yang  Aku fardukan ke atasnya. Hamba-Ku yang telah melakukan yang difardukan itu terus menerus menghampirkan diri kepada-Ku dengan mengerjakan pekara-pekara yang disunatkan, sehinggalah aku kasih kepadanya. Apabila Aku telah kasih kepadanya, maka Aku jadi matanya yang digunakan untuk melihat, jadi pendengarannya yang digunakan untuk mendengar, jadi tangannya yang digunakan untuk memegang  dan jadi  kakinya yang digunakan untuk berjalan. Hamba-Ku  ini bila meminta akan  Aku kurniakan  dan bila minta perlindungan akan Aku lindungi.”

11. Rabitah al-Mursyid

Rasa kasih sayang, rasa hormat, rasa taat setia, rasa sangat memerlukan bimbingan dan asuhan shaikhnya dan sebagainya itulah yang mendorong seseorang murid itu sentiasa teringat dan terbayang-bayangkan wajah shaikhnya itu. Itulah asas konsep rabitah yang dianggap satu ciri amalan yang penting di dalam tariqah, yang mana telah diakui dan ditegaskan pentingnya oleh para ulama tasawwuf sendiri. Malahan para ulama tasawwuf itu telah mengakui amalan rabitah ini adalah sebagai amalan yang sah dan bukan bid’ah. Ini telah dijelaskan pandangan sebahagian dari ulama tasawwuf itu terhadap amalan rabitah seperti di atas.

Masalah rabitah shaikh tersebut adalah merupakan masalah ilmu dan amalan tasawwuf/tariqah yang hanya ada diterangkan konsepnya, displinnya, caranya dan matlamatnya di dalam kitab tasawwuf yang disusun oleh ahlinya yang sebenar. Oleh itu mestilah kita memahaminya menerusi tulisan-tulisan tasawwuf itu atau mendapat keterangan dan huraiannya dari para orang yang ahli di bidang tersebut. Tidaklah memadai dengan cara menganalisis, menghurai dan menjelaskan masalah tersebut hanya berdasarkan pemikiran sendiri yang hanya disokong dengan beberapa ayat Al-Quran dan Hadis-hadis Nabi SAW mengikut tafsiran dan fahaman sendiri sahaja.

Orang-orang yang kurang faham tentang amalan rabitah syaikh mursyid selalunya menganggap amalan itu adalah salah dan mendatangkan syirik. Lebih jauh lagi golongan ahli zahir itu menegaskan bahawa rabitah shaikh mursyid  seperti itu boleh memberi peluang sebaik-baiknya kepada syaitan untuk menyamar dan menyesatkan pengamalnya,  terutamanya ketika orang itu hampir mati. Adalah disyorkan kepada mereka yang beranggapan demikian itu agar mempelajari, memahami dan mengamalkannya terlebih dahulu sebelum membuat sesuatu anggapan yang salah itu. Sebenarnya konsep rabitah shaikh mursyid itu bukanlah sebagaimana yang tergambar di dalam fahaman golongan ahli zahir yang salah faham terhadap konsep tersebut.

Walaupun di dalam setengah tariqah, rabitah shaikh mursyid ini menjadi salah satu adab ketika berzikrullah, namun ia hanya perlu diamalkan bagi mereka yang tidak dapat berzikrullah dan tidak dapat menjauhkan was-was syaitan. Jika seseorang itu boleh berzikrullah dan tidak ada was-was syaitan maka tidaklah perlu menggunakan atau mengamalkan rabitah syaikh mursyid tersebut. Pengamal tariqah yang mu’tabar yang dipimpin oleh syaikh mursyid yang benar, mereka diberikan pengajaran dan fahaman yang betul mengenai rabitah shaikh mursyid ini. Mereka tidaklah sebodoh yang disangkakan sehingga menganggap shaikh mursyid itu sebagai Tuhan yang boleh memberi hidayat. Kalau seorang penzina, ketika hendak melakukan zina teringat guru tariqahnya dan terbayanglah wajah gurunya itu dengan jelas, lalu ia merasa insaf dan tidak melakukan zina itu, adakah ia syirik dan salah dari segi syarak?

Murid itu hendaklah selalu mengingatkan rupa mursyidnya itu supaya ia dapat menjaga adab di jalan  Allah  SWT   itu  dan  dapat  pula   menerima limpah rohaniah dari mursyidnya,  walau pun beliau tidak  ada  bersama-samanya. Dengan  itu  adanya  mursyid bersama-sama atau tidak, adalah sama sahaja baginya. Merasakan adanya  mursyid  ketika  mursyid  itu tidak ada bersama, akan  lebih  sempurna  lagi  dengan  memerhatikan  rupanya  di dalam  khayalannya,  yang akan menimbulkan zawq/rasa rohani daripada Allah SWT ke dalam hati sanubari, sehinggalah murid itu  berasa hilang diri (ghaibah) dan fana’  yang mana inilah permulaan fana’ fillah.  Jadi hati itu adalah  merupakan  tempat menerima berbagai  rahsia ghaib  dengan   jalan warisan dari seorang yang kamil  dan  orang  yang  kamil  itu dari  seorang yang kamil yang lain, begitulah seterusnya hingga sampai kepada Nabi SAW. Itulah yang dinamakan rabitah al-mursyid.

Keadaan hubungan antara seseorang murid dengan shaikh mursyidnya sememangnya dikehendaki berada di dalam keadaan yang begitu rapat dan erat, kerana keadaan begitu sememangnya telah ditempuh dan dialami oleh para sahabat r.a dalam hubungan mereka dengan Rasulullah SAW. Khalifah Abu Bakar al-Siddiq misalnya adalah sentiasa terbayang-bayangkan wajah baginda (SAW) sehingga semasa beliau berada di dalam bilik air pun masih ternampakkan wajah baginda (SAW) itu. Cuba kita perhatikan apa yang telah dilaporkan oleh Imam al-Bukhari mengenai kisah Khalifah Abu Bakar tersebut: Maksudnya :
“Sesungguhnya Abu Bakar al-Siddiq telah mengadu kepada Nabi SAW tentang pengalamannya yang mana beliau terasa tidak bercerai dari Nabi SAW sehingga di dalam bilik air pun ia masih seolah-olahnya melihat wajah Nabi SAW itu.”
       
Bila seseorang murid itu tidak berada di hadapan shaikhnya sememangnya selalu teringatkan shaikhnya itu, yang mana sudah pasti rupanya juga akan terbayang di dalam ingatan atau khayalan murid tersebut. Jika seorang yang jatuh kasih terhadap seorang wanita sentiasa tergila-gila dan terbayang-bayang wajah wanita itu, padahal yang diharapkan hanyalah tubuh badannya sahaja, maka apatah lagi seorang murid yang menaruh harapan sepenuhnya terhadap asuhan dan didikan dari shaikhnya yang bakal dapat menyempurnakan kehidupan rohaninya, maka tentulah keadaannya lebih hebat lagi.

Dalam pandangan ahli tasawwuf keharusan amalan rabitah shaikh itu adalah telah diijma’kan oleh para ulama tasawwuf sendiri. Sesiapa sahaja yang beramal dengan amalan tasawwuf wajiblah menerima ijma’ mereka itu dan jangan mempedulikan pandangan ulama yang bukan tergolong ke dalam golongan sufiyyah. Shaikh Ahmad bin Husain al-Dawsari pernah menyebutkan ijma’ yang dimaksudkan itu. Beliau menjelaskan:
“Sesungguhnya telah sepakat (telah diijma’kan) oleh ahli ilmu tasawwuf mengenai amalan rabitah itu tentang keharusannya. Dan telah diakui kebenarannya oleh golongan ramai dari ahli-ahli tasawwuf itu. Mereka yang telah mengijma’kan tentang keharusan rabitah itu mempunyai jalan yang terkenal cara beramal dengan rabitah shaikh dan dalil-dalilnya adalah terang. Dan ijma’ yang mereka buat mengenai sesuatu amalan apapun di dalam mazhab mereka itu adalah merupakan satu hujah yang wajib diterima kebenarannya oleh sesiapa sahaja yang mengikuti atau berpegang dengan mazhab mereka itu. Dan penentangan dari golongan lain dari ahli tasawwuf itu terhadap pandangan ahli tasawwuf itu tidaklah dapat diterima, kerana mereka golongan yang bukan ahli tasawwuf itu sendiri tidak mengetahui mengenai hakikat hujah-hujah ahli tasawwuf itu.”

Ulama tasawwuf yang mengharuskan amalan rabitah shaikh tersebut mengqiyaskan rabitah ini dengan beberapa amalan yang lain. Antaranya ialah amalan selawat ke atas Nabi SAW di dalam tashahhud atau tahiyyat ketika solat. Shaikh al-Shihab ibn Hajar al-Makki pernah menyatakan mengenai selawat ketika tashahhud itu dengan katanya: Maksudnya:
“Nabi SAW disebutkan (ganti namanya) sebagai orang kedua atau orang yang diajak bercakap di dalam selawat itu seolah-olahnya sebagai satu isyarat bahawa Allah membukakan hijab daripada orang-orang  yang solat itu daripada umat Nabi SAW, sehingga Nabi SAW menjadi seperti hadir bersama mereka untuk menjadi saksi bagi mereka tentang amalan mereka yang paling baik sekali dan supaya ingatan kehadirannya. Nabi itu menjadi sebab untuk menambahkan khusyuk dan merendah diri.”

Kalau di dalam selawat ketika membaca tahiyyat itu dikehendaki supaya orang-orang yang mengerjakan sembahyang mendapat rasa tentang kehadiran Nabi SAW, supaya menambahkan khusyuk dan lebih sempurna lagi solat kita, maka begitulah juga bila seseorang murid yang berrabitahkan shaikhnya, maka ia akan mudah khusyuk serta hilang berbagai gangguan ketika berzikrullah.

Sesetengah ulama fuqaha menyebutkan bahawa orang yang mengerjakan solat itu disunatkan membayangkan seolah-olah ia berada di hadapan Kaabah. Oleh itu, sesetengah ahli tasawwuf mengqiyaskan rabitah shaikh itu dengan amalan membayangkan Kaabah tersebut. Kalau membayangkan Kaabah itu menambahkan khusyuk maka begitulah juga membayangkan shaikh mursyid itu.

Begitulah qiyas yang dibuat oleh sesetengah ulama tasawwuf tentang keharusan amalan rabitah itu. Berbagai qiyas yang mereka buat itu adalah benar dan menepati rukun dan syarat-syarat qiyas. Bagaimanapun qiyas yang dibuat oleh mereka yang menolak keharusan amalan rabitah dengan menyamakan rabitah itu seperti umat Nabi Nuh menyembah patung orang-orang soleh,  adalah qiyas yang tidak tepat, tetapi salah (qiyas ma’al-fariq). Jika kita menyamakan amalan rabitah shaikh itu dengan penyembahan berhala maka samalah juga kita menyamakan orang Islam ketika solat menghadap Kaabah seperti orang Hindu menyembah berhala, bezanya hanyalah Kaabah itu batu empat persegi, sedangkan berhala-hala yang disembah oleh orang Hindu itu merupakan berbagai rupa makhluk seperti patung manusia, binatang dan sebagainya lagi.

Mengapakah menghadap Kaabah ketika solat itu tidak boleh disamakan dengan penyembahan berhala? Sebab, mengadap Kaabah ketika solat itu mempunyai konsep dan tujuan-tujuan yang sangat berbeza dengan penyembahan berhala-berhala yang dilakukan oleh pengikut-pengikut agama Hindu atau lainnya itu. Begitulah juga amalan rabitah shaikh itu tidak boleh disamakan dengan penyembahan berhala, kerana amalan tersebut mempunyai konsep dan tujuan-tujuan yang berbeza sama sekali dengan penyembahan berhala itu. Tentulah kita pun merasa hairan terhadap golongan yang berani mengharamkan amalan rabitah shaikh mursyid, kerana golongan ini selalu juga beramal dengan amalan rabitah yang melalaikan hati, selalu juga dibuai khayalan terhadap anak isteri, masalah hidup, masalah di tempat kerja, kenaikan pangkat, harta dan sebahagiannya lagi.   

Oleh kerana kita ini jahil dan banyak dosa, maka kita tidaklah berani untuk memberikan jawapan terhadap persoalan apakah hukum amalan rabitah itu? Oleh itu, memadailah kita lihat apakah hukum amalan rabitah shaikh al-mursyid itu seperti yang disebutkan oleh para ulama tasawwuf dan ulama lainnya mengenai hukum amalan rabitah itu. Marilah kita lihat pandangan mereka itu satu persatu:

1. Maulana Muhammad Zakariyya al-Kandahlawi, seorang muhadith yang terkenal di India di dalam kitabnya, al-Syariat wa al-Tariqah menyebutkan:
“Membayangkan/menggambarkan rupa shaikh yang disebutkan juga dengan amalan rabitah dan al-barzakh dan al-wasitah begitulah yang terdapat di dalam kitab Tailim al-Din karangan Shaikh al-Tahanawi. Membayangkan/ menggambarkan rupa shaikh ini di kalangan para shaikh yang memimpin suluk adalah merupakan amalan yang paling penting sekali. Para shaikh guru itu telah menyebutkan bahawa membayangkan rupa guru mempunyai berbagai faedah yang banyak. Sesetengah ulama terkenal menyatakan amalan rabitah ini tidak harus secara mutlak. Pandangan ini yang tidak mengharuskan rabitah menurut hamba ini (Maulana Muhammad Zakariyya al-Kandahlawi) adalah merupakan pandangan yang tidak benar (sahih). Kerana membayangkan rupa guru (rabitah) itu adalah didasarkan dari hadis yang banyak. Oleh yang demikian maka mereka yang tidak mengharuskannya secara mutlak itu, aku tidak tahu dan tidak pula faham tentang alasan-alasan mereka itu.” 

2. Shaikh al-Tahanawi pula memberikan pandangan tentang rabitah di dalam kitabnya, Ta’lim al-Din dengan katanya:
“Disebutkan di dalam kitab-kitab tasawwuf bahawa sesungguhnya dengan menggambarkan/membayangkan rupa shaikh dan berbagai sifat kesempurnaannya sebagai hamba Allah yang soleh itu akan menguatkan aspek batin dan dengan kekuatan aspek batin tersebut maka akan tercapailah berbagai keberkatan.”

Akhirnya Shaikh al-Tahanawi menyimpulkan hukum rabitah itu dengan mengatakan:
“Sesungguhnya amalan rabitah ini sangat berfaedah bagi orang yang khusus dan membahayakan sangat bagi orang awam, kerana akan berlaku di kalangan orang awam itu penyembahan gambar/rupa seseorang.”

3. Shaikh Muhammad Amin al-Kurdi di dalam kitabnya, Tanwir al-Qulub juga ada mengajarkan tentang amalan rabitah ini dan hukum keharusan. Antara lain beliau berkata:
“Rabitah mursyid itu ialah berhadap-hadapan hati murid dengan hati gurunya dan murid itu menjaga rupa gurunya itu di dalam khayalan walaupun pada masa gurunya itu telah mati. Perlu diingatkan bahawa sesungguhnya hati guru shaikh itu seperti saluran yang mengalirkan limpahan rahmat dari lautan rahmat Allah yang amat luas kepada hati murid yang berrabitah itu dan darinya juga datangnya keberkatan, kerana hati shaikh guru itu adalah merupakan wasitah perantaraan yang menyampaikan kepada hakikat Allah. Dan ayat-ayat Al-Quran dan hadis-hadis Nabi tidaklah kurang yang menjelaskan hakikat tersebut.”

4. Shaikh Ibn ‘Ata’i-‘llah al-Iskandari(w. 709 H.) di dalam kitabnya, Miftah al-Falah berkata:
“Para mashaikh/para guru tasawwuf berkata: Jika murid itu berada di bawah pimpinan shaikh, hendaklah ia membayangkan rupanya di antara kedua-dua matanya. Sesungguhnya shaikhnya itu adalah temannya dalam perjalanan (kepada Allah) itu dan menjadi petunjuk (jalannya). Murid itu pada masa permulaan berzikrullah hendaklah mengharap pertolongan kerohanian dari kesungguhan mujahadah shaikhnya dengan mengiktikadkan bahawa limpahan kurnia kerohanian itu mengalir dari Nabi SAW, kerana guru/shaikhnya itu adalah merupakan pengganti Nabi SAW,  limpahan kerohanian Nabi SAW itu adalah dari Allah.”

5. Shaikh Abd al-Wahab al-Sha’rani di dalam kitabnya, Madarij al-Sadikin berkata:
“Adab yang ketujuh ialah murid itu hendaklah membayangkan bayangan (rupa) shaikhnya di antara kedua-dua matanya. Adab ini di kalangan mereka ahli tasawwuf adalah adab yang paling penting dan sangat dikehendaki.”

6. Al-Imam Al-Ghazali (w. 505 H.) di dalam kitabnya, Rawdatu’t-Talibin wa ‘Umdatu’s-Salikin menegaskan mengenai rabitah tersebut dengan katanya:
“Jalan mujahadah yang ketiga ialah setengah dari berbagai jalan mujahadah shaikh al-Junaid, semoga Allah menyucikan rohnya. jalan tersebut mempunyai lapan syarat: sentiasa berpuasa, sentiasa mendiamkan diri, sentiasa berkhalwat (bersuluk), sentiasa  berzikrullahlah iaitu menyebut- kan kalimah la ilaha illallah, sentiasa berabitah hati dengan shaikh dan mendapatkan limpahan rahmat yang berlaku dari shaikh itu dengan cara fana’ usaha ikhtiar murid itu di dalam ikhtiar shaikhnya itu.....”

7. Shaikh Abu Qasim al-Junayd (w. 291 H.), menyebutkan rabitah ini (seperti yang disebutkan oleh Shaikh Husain bin Ahmad al-Dawsari di dalam kitabnya al-Rahmah al-Habitah), dengan katanya:
“Sehampir-hampir jalan untuk mencapai maksud (maksud perjalanan kepada Allah iaitu mendapat ma’risah hakikat Allah dan keredaan-Nya) ialah sentiasa berrabitah hati dengan shaikh/guru dan mencari kebaikan ilmu waqi’at (ilmu laduniyyah) darinya sehingga usaha tadbirnya fana’ di dalam usaha dan tadbir shaikh/guru itu.”

8. Shaikh Abd al-Ghani al-Nabulusi (w. 1143 H.) di dalam kitabnya, Miftah al-Alatiyyah sangat menggalakkan para murid atau salik supaya sentiasa mengamalkan rabitah, kerana rabitah itu memudahkan salik atau murid itu mengingati Allah dan mudah pula mencapai maqam fana’ fillah. Antara lain beliau menyebutkan :
“Dan hendaklah dijadikan shaikh itu tetap di dalam hati. Maka sesungguhnya dengan amalan itu diharapkan dapat mencapai maqam fana’ sebagai natijah dari kekuatan rohaniyah shaikh yang murid itu belajar dengannya.”  

Dapat disimpulkan bahawa penumpuan perhatian kepada shaikh mursyid itu bukanlah penumpuan perhatian terhadap diri zahir shaikh itu tetapi lebih menumpukan kepada hubungan kerohanian iaitu supaya murid itu dapat berzikrullah secara berterusan (sepanjang masa) atau menjauhi was-was syaitan, dan tidaklah kita meminta sesuatu daripadanya secara terus, tetapi shaikh itu telah mendapat limpahan kurniaan kerohanian daripada Allah SWT, yang memberi bekas tidak ada yang lain kecuali Allah SWT sahaja. Iaitu bila memandang shaikh itu maka ingatkan Allah SWT dan shaikh mursyid itu hanyalah sebagai pintu rahmat Allah SWT.

Antara ayat Al-Quran yang biasa digunakan oleh para ulama tasawwuf sebagai dalil keharusan amalan rabitah itu  adalah seperti berikut di bawah ini:
Allah SWT berfirman: 
 يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ اصْبِرُواْ وَصَابِرُواْ وَرَابِطُواْ وَاتَّقُواْ اللّهَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
Maksudnya,
“Wahai orang-orang yang beriman, bersabarlah kamu dan kuatkan kesabaran sesama kamu dan berabitahlah kamu dan bertakwalah kamu kepada Allah supaya kamu beroleh kejayaan.” (Surah Ali Imran: Ayat 200)

Allah SWT berfirman: 
 يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ اتَّقُواْ اللّهَ وَابْتَغُواْ إِلَيهِ الْوَسِيلَةَ وَجَاهِدُواْ فِي سَبِيلِهِ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
Maksudnya:
“Wahai orang-orang yang beriman hendaklah kamu bertakwa kepada Allah dan carilah wasilah kepada-Nya.”           (Surah al-Maidah: Ayat 35)

Di antara hadis-hadis Nabi SAW yang dapat kita anggap sebagai dalil keharusan amalan rabitah al-mursyid itu adalah seperti berikut di bawah ini:
1. Nabi SAW bersabda: Maksudnya:
“Sesungguhnya sesetengah dari manusia itu adalah sebagai anak kunci yang membuka hati bagi mengingati Allah iaitu bila mereka itu dipandang maka ingatlah Allah orang yang memandangnya itu.”

2. Nabi SAW bersabda: Maksudnya:
“Mahukah kamu aku khabarkan kepada kamu akan orang yang sebaik-baiknya di kalangan kamu? Orang yang sebaik-baik di kalangan kamu itu ialah mereka bila dipandang maka orang yang memandang itu ingatkan Allah.”

3. Nabi SAW bersabda: Maksudnya:
“Orang yang sebaik-baik di kalangan kamu itu ialah orang yang mengingat kamu kepada Allah dengan memandang rupanya dan percakapannya menambahkan ilmu kamu dan amalannya mendorong kamu gemar kepada akhirat.”

Sekiranya orang yang mengamalkan rabitah al-mursyid dari kalangan orang yang percayakan adanya wali-wali Allah, maka sememangnya mereka menegaskan kebaikan dan besarnya manfaat amalan rabitah al-mursyid tersebut. Malahan mereka berkata bahawa rabitah mursyid itu lebih kuat kesannya untuk mendapatkan rasa rohani (al-wadju) dan perpindahan maqam kerohanian orang salik itu di dalam tingkat kerohanian menuju ke peringkat yang sempurna (kamal) jika dibandingkan melalui amalan berzikrullah semata-mata. Para tokoh tariqah menegaskan amalan rabitah al-mursyid ini dapat meringkaskan perjalanan dalam amalan beruzlah/bersuluk atau perjalanan terus ke hadrat Allah SWT dengan mengamalkan terus rabitah al-mursyid itu.

Demikianlah golongan ahli zahir yang mengharamkan amalan rabitah al-mursyid yang bertujuan supaya mampu memperbanyakkan zikrullah (zikrul-qalb) dan menjauhi was-was syaitan. Sebaliknya, golongan ini selalu juga beramal dengan amalan rabitah yang melalaikan hati, selalu juga dibuai khayalan terhadap anak isteri, masalah hidup, masalah di tempat kerja, kenaikan pangkat, harta dan sebagainya di dalam mengerjakan solat. Sebaik saja selesai takbiratulihram maka ia pun berkelana, atau merayap di dalam  fikiran dan sangkaan-sangkaan atau khayalannya. Dan ia berpaling dari mengingati Tuhannya (lalai) kerana tidak mampu melaksanakan zikrul-qalb (berterusan berzikrullah) atau sentiasa menelitikan sesuatu masalah yang dikemukakan oleh iblis kepadanya, dan iblis itu dapat mengeluarkan ia dari solatnya. Maka  solat yang dilaksanakan  itu dalam keadaan muflis tidak dapat pahala, tetapi penuh dosa. Golongan itu lupakan Allah maka Allah pun melupakan mereka. Perbuatan ini adalah sebahagian dari adat yang tercela terhadap Allah SWT yang tidak boleh dipertikaikan lagi (syirik atau menyekutukan). Mereka terjerumus ke dalam perbuatan musyrik meskipun memiliki kefahaman atau hujah-hujah ilmu  kalam atau teori ketuhanan yang banyak pada akal. Hakikat ini telah diterangkan oleh Allah SWT di dalam kitab-Nya, Al-Quran. 
 فَمَن كَانَ يَرْجُو لِقَاء رَبِّهِ فَلْيَعْمَلْ عَمَلاً صَالِحاً وَلَا يُشْرِكْ بِعِبَادَةِ رَبِّهِ أَحَداً
Maksudnya: 
“Maka sesiapa yang mahu menemui Tuhannya (Allah) hendaklah ia beramal soleh dan janganlah ia menyekutukan ibadat kepada Tuhannya itu dengan seseorang pun.”                                  (Surah al-Kahfi: Ayat 110)

Allah SWT berfirman. 
 إِنَّ اللّهَ لاَ يَغْفِرُ أَن يُشْرَكَ بِهِ وَيَغْفِرُ مَا دُونَ ذَلِكَ لِمَن يَشَاءُ وَمَن يُشْرِكْ بِاللّهِ فَقَدْ ضَلَّ ضَلاَلاً بَعِيداً
Maksudnya:
“Sesungguhnya Allah tidak mengampuni dosa menyekutukan (sesuatu) dengan Dia, dan Dia mengampuni dosa yang selain dari syirik itu bagi siapa yang dikehendaki-Nya. Sesiapa yang menyekutukan (sesuatu) dengan Allah, maka sesungguhnya ia telah tersesat sejauh-jauhnya.”   
                                                              (Surah an-Nisa’: Ayat 116)
Allah SWT berfirman. 
 وَلاَ تَدْعُ مِن دُونِ اللّهِ مَا لاَ يَنفَعُكَ وَلاَ يَضُرُّكَ فَإِن فَعَلْتَ فَإِنَّكَ إِذاً مِّنَ الظَّالِمِينَ
Maksudnya:
“Dan janganlah kamu menyembah apa-apa yang tidak  memberi manfaat dan tidak (pula) memberi mudarat kepadamu selain Allah, sebab jika kamu berbuat (yang demikian) itu, maka sesungguhnya kamu termasuk orang-orang yang zalim.”                                (Surah Yunus: Ayat 106)

Dalam Shahihain disebutkan, Ibn Mas’ud meriwayatkan, aku bertanya kepada Nabi SAW:
“ Dosa apakah yang paling besar?”
Baginda SAW menjawab:
“Iaitu engkau menjadikan tandingan (sekutu) bagi Allah sedangkan Dialah yang menciptakanmu.                        (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Menurut dakwah Islam yang jelas bahawa mereka  sangat memerlukan sesuatu amalan yang dapat menghilangkan bala yang membinasakan dirinya (lalai di dalam solat) itu. Ianya tidak disedari di sepanjang hayat kerana mereka sentiasa  leka dalam kelalaian terhadap Allah SWT. Maka mereka pun membaca ayat-ayat Al-Quran, bertakbir, bertasbih, berdoa dan melakukan pergerakan anggota badan di dalam solatnya, tetapi pada masa  yang sama  mereka mengadap pekara yang diingati (masalah anak isteri, masalah kerja, kenaikan pangkat  dan lain-lain), maka pekara itulah yang disembahnya bukan Allah. Dan pekara itulah yang menjadi rabitahnya yang jelas berada di ruangan kedua-dua matanya di dalam solat. Mereka terus berada di dalam keadaan  berrabitah dengan berbagai pekara itu sehingga memberi salam. Bila  mereka telah memberi salam, maka pekara pertama yang   diingkari dan dinafikan oleh mereka adalah amalan rabitah al-mursyid yang diamalkan oleh para pengikut mazhab tasawwuf, sehingga sanggup menuduh mereka itu sesat dan bid’ah.

12. Amalan Bertawassul

Masalah yang tidak kurang juga pentingnya untuk ditelitikan dalam hubungan shaikh mursyid ialah masalah bertawassul dengan shaikh biasanya dilakukan oleh para pengamal tariqah, biasanya didahului dengan membaca al-Fatihah, surah al-Ikhlas atau sebagainya diniatkan pahalanya supaya Allah SWT sampaikan kepada roh shaikh yang dimaksudkan. setelah itu barulah doa tawassul itu dibacakan. Demikian juga dianggap sebagai doa tawassul dengan melakukan ziarah ke suatu kubur seseorang yang terkenal takwa dan kealimannya, misalnya kubur Shaikh Abd al-Qadir al-Jilani, Imam Al-Ghazali, al Junayd dan sebagainya, lalu berdoa begini:
“Ya Allah, ya Rahman, ya Rahim! Aku memohon keampunan dan keredaan-Mu, dengan keberkatan Shaikh Abd Al-Qadir Al-Jilani yang bermakam di sini, yang mana beliau ini ialah seorang ulama yang Engkau kasihi, maka kabulkan doaku ini...ya Allah ya Rahman ya Rahim.”

Asas amalan bertawassul tersebut ialah ayat Al-Quran dan sunnah Nabi SAW. Antaranya ialah firman Allah SWT. Maksudnya: “Hai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah dan carilah wasilah (jalan) yang menyampaikan kepada-Nya dan berjihadlah kamu di jalan Allah, mudah-mudahan kamu peroleh kejayaan.”

Ibn Majah meriwayatkan dari Abi Sa’id al-Khudri r.a bahawa Nabi SAW telah bersabda yang maksudnya:
“Barang siapa yang keluar dari rumahnya menuju ke masjid sambil membaca doa di bawah ini. melainkan Allah akan menugaskan tujuh puluh ribu malaikat bagi meminta keampunan baginya dan Allah menghadap kepadanya dengan wajah-Nya sehingga ia selesai dari solatnya.”

Maksud doa tersebut: “ Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu dengan hak orang-orang yang memohon kepada-Mu dan hak jalannya aku ini, sesungguhnya aku tidak keluar untuk membuat kejahatan, menyombong, menunjuk-nunjuk ataupun mencari nama, tetapi aku keluar untuk berlindung dari kemurkaan-Mu dan mencari keredaan-Mu. Aku memohon kepada-Mu supaya Engkau menyelamatkan aku dari api neraka dan supaya Engkau mengampuni dosa-dosaku, sesungguhnya tidak boleh mengampuni dosaku selain dari Engkau.”

Jika kita telitikan dengan cermat pengertian amalan doa bertawassul tersebut dan contoh-contoh yang diberikan di atas, maka dapatlah kita mengambil beberapa kesimpulan seperti yang berikut:

Orang yang bertawassul itu semata-mata meminta kepada Allah SWT dan tidak ada niat dan perbuatan meminta kepada yang lain daripada Allah SWT.

Orang yang bertawassul itu juga tidak menyembah atau memuja yang lain daripada Allah SWT, bukan menyembah atau memuja Nabi SAW, shaikh atau wali Allah.

Orang yang bertawassul itu tidak ada melakukan seruan-seruan terhadap Nabi SAW atau shaikh atau wali Allah bersama atau berserta Allah, seperti yang dilarang oleh Allah SWT dalam firmanNya:
 وَأَنَّ الْمَسَاجِدَ لِلَّهِ فَلَا تَدْعُوا مَعَ اللَّهِ أَحَداً
Maksudnya:
“Dan sesungguhnya masjid-masjid itu hanya untuk Allah SWT  semata-mata, kerana itulah jangan kamu seru sesiapa juapun berserta Allah.”                                                     ( Surah al-Jin : 18)

Orang yang bertawassul itu benar-benar menginsafi diri dan menyedari kehinaan diri, kekotoran diri dengan pelbagai dosa, berbagai sifat kelemahan dan kekurangan sehingga terasa dirinya tidak layak untuk menerima kurniaan Allah SWT kecuali keberkatan yang Allah SWT kurniakan kepada orang-orang yang Allah SWT cintai itu.

Orang yang bertawassul itu menjaga adab-adab doa seperti yang Allah SWT ajarkan. Kita boleh berdoa di mana-mana tempat, di rumah, di masjid dan sebagainya, tetapi Allah SWT menjelaskan jika seseorang yang melakukan dosa itu berdoa di hadapan Nabi SAW adalah lebih baik lagi dan menjamin akan diterima oleh Allah SWT. Mengenai hal tersebut Allah SWT berfirman. Maksudnya:
“Jika mereka yang menganiayai diri mereka berbuat dosa itu datang kepadamu (Muahammad), lalu mereka memohon keampunan kepada Allah, dan Rasul juga memohon keampunan, mereka mendapati Allah itu Maha Penyayang.”
Adab doa tersebut tidak ada bezanya semasa hayat Nabi SAW dengan sesudah wafatnya atau semasa hayat seseorang shaikh mursyid dengan sesudah wafatnya.

Tujuan bertawassul itu hanya untuk mendapatkan keberkatan (tabaruk) dengan mengingati para kekasih Allah SWT itu.

Amalan bertawassul dengan Nabi SAW, para nabi-nabi yang lain dan juga orang-orang mukmin yang soleh pada hakikat yang sebenarnya memanglah menjadi sunnah Nabi SAW dan amalan para sahabat yang mana kemudiannya diikuti oleh orang-orang Islam dari satu zaman ke satu zaman yang lain sebenar. Tetapi bila sampai di zaman Ibn Tamiyyah (661-728 H.), beliau mula mempersoalkan kebaikan dan keharusan amalan bertawassul dengan Nabi SAW seperti itu. Al-Iman Al Subki yang hidup sezaman dengannya (w.756 H.) ada menegaskan fakta tersebut  dengan katanya:
“Ketahuilah bahawa adalah harus dan baik amalam tawassul, meminta pertolongan dan meminta syafaat kepada Tuhannya Allah SWT dengan Nabi SAW itu. Keharusan dan kebaikan yang demikian yang itu adalah termasuk dari perkara-perkara yang memang termaklum bagi setiap orang yang mempunyai agama yang benar. Amalan tersebut juga memang diketahui sebagai sebahagian dari amalan para Nabi dan para Rasul dan juga sebagai perjalanan amal para salaf yang soleh-soleh dan para ulama dan orang awam Islam. Tidak ada seseorang pun dari kalangan ahli agama yang mengingkari kebaikan dan keharusan amalan tersebut sepanjang zaman, sehinggalah munculnya IbnTaimiyah. Maka beliaulah yang mula bercakap mengingkari kebaikan dan seharusnya dengan ucapan yang boleh menimbulkan kekeliruan di kalangan orang-orang yang lemah ilmu dan iman. Dan beliaulah orang yang telah membuat bid’ah yang tidak pernah berlaku sepanjang zaman dengan mengharamkan amalan tersebut dan menolak kebaikannya.”

Sekali lagi al-Iman al-Subki menjelaskan dan menegaskan kedudukan fatwa IbnTaimiyyah itu dengan katanya:
“Sesungguhnya keingkaran Ibn Taimiyyah terhadap isti’anah dan tawassul tersebut itu adalah merupakan pendapat yang tidak pernah diutarakan oleh seseorang alim pun sebelumnya.”

Al-Iman Ibn Hajar di dalam kitabnya, al-Jawhar al-Munazzam ada menyebut kesalahan fatwa Ibn Taimiyyah itu. Beliau antara lain menegaskan dengan katanya:
“Antara berbagai khurafat Ibn Taimiyah yang tidak pernah diucapkan oleh seseorang alim sebelumnya dan khurafat itu pula telah menjadi ikutan di kalangan orang-orang Islam ialah penentangan beliau itu terhadap amalan istighathah dan tawassul dengan Nabi SAW.”

Dari kata-kata al-Iman al-Subki dan al-Iman Ibn Hajar di atas dapat kita membuat kesimpulan bahawa sebelum zaman Ibn Taimiyyah amalan tawassul khasnya kepada Nabi SAW itu tidak pernah menimbulkan apa-apa masalah, kerana semua ulama mengakui keharusan dan kebaikannya Timbulnya masalah berkaitan dengan amalan tersebut hanyalah bermula setelah Ibn Taimiyah mengeluarkan fatwa yang mengharamkannya. Walaupun fatwa Ibn Taimiyah tersebut mendapat teguran dan tentangan yang begitu sengit dari para ulama Islam, namun fatwa itu terus disebarkan oleh penyokongnya dari satu generasi kepada generasi yang lain hinggalah hari ini. Kira-kira 150 tahun kebelakangan ini, fatwa tersebut telah dipopularkan oleh ulama-ulama mazhab Wahabi yang berpusat di Arab Saudi dan sekitarnya, terutamanya setelah kerajaan Arab Saudi itu berkuasa pada tahun 1921.

Kota Makkah dan Madinah sesudah tegaknya kekuasaan kerajaan Arab Saudi itu terus menjadi tumpuan umat Islam dari seluruh dunia untuk beribadat dan menimba pelbagai ilmu Islam. Ulama-ulama mazhab Wahabi mengambil kesempatan yang sebaik-baiknya untuk melaksanakan apa yang mereka panggil sebagai ‘pembersih Islam dari berbagai bid’ah’. Kesan yang paling buruk sekali dari kempen dan dakyah tersebut adalah tertumpu pada ilmu dan amalan tasawwuf.

Ulama-ulama tasawwuf dituduh sebagai penyebar bid’ah. Pusat-pusat amalan tariqah ditutup dan diruntuhkan dan akhirnya ilmu dan amalan tasawwuf diharamkan. Sehingga ke masa ini kitab-kitab tasawwuf tidak dibenarkan dicetak atau diimport ke negara Arab Saudi, kerana ilmu  dan amalan tasawwuf  itu dianggap sebagai ajaran agama lain, seperti Hindu. Yahudi, Kristian dan sebagainya lagi. Kalau begitu maka tidaklah berasa hairan mengapa amalan bertawassul dengan Nabi SAW atau orang-orang yang soleh itu diharamkan juga.
 
Di Malaysia dan juga daerah-daerah lain di Asia Tenggara ini tidak sunyi dari menerima akibat dan kesan buruk dari dakyah ulama-ulama mazhab Wahabi terhadap ilmu dan amalan tasawwuf tersebut. Para pelajar Islam dari Asia Tenggara yang belajar di Makkah dan Madinah memang tidak sunyi dari pengaruh ajaran dan fahaman mazhab Wahabi itu. Mereka yang terpengaruh  dengan mazhab Wahabi itu bila telah kembali ke tanah air masing-masing segera menyebarkan apa yang mereka belajar itu. Mereka mula mengeluarkan fatwa yang menegaskan bahawa amalan bertawassul itu haram dan dilarang oleh Islam.

Dari sudut yang lain pula, kekayaan kerajaan Arab Saudi kerana hasil minyaknya telah membolehkan untuk meningkatkan kegiatan penyebaran dakwah Islam ke seluruh dunia. Biasiswa dikeluarkan untuk menarik para pelajar Islam bagi memasuki universiti-universiti di negara Arab Saudi itu. Sesetengah mahasiswa yang telah lulus dari universiti-universiti itu dilantik menjadi pendakwah Islam dan diletakkan di bawah urusan kedutaan-kedutaan negara tersebut dan diberigaji dan segala kemudahan yang diperlukan. Sesetengah menjadi pegawai seperti mufti, kadi, pendidik, imam dan lain-lain di negara masing-masing. langkah tersebut sememangnya baik dan dikehendaki oleh Islam, tetapi kesan buruknya adalah besar sekali, kerana pengaruh mazhab Wahabi, terutamanya penentangan mereka terhadap ilmu dan amalan tasawwuf kian bertambah hebat lagi. Menerusi kelas-kelas agama, syarahan-syarahan, kuliah-kuliah, majlis dan akhbar, buku dan sebagainya para pendakwah tersebut membuat fatwa-fatwa yang memerangi ilmu dan amalan tasawwuf. Amalan bertawassul tidak ketinggalan untuk dijadikan sasaran kecaman dan penentangan oleh ulama-ulama mazhab Wahabi itu.

Oleh yang demikian kita tidak berasa hairan jika pada hari ini amalan bertawassul dengan Nabi SAW dan dengan orang-orang yang soleh seperti shaikh mursyid itu menjadi semakin lantang diperkatakan oleh sebahagian orang Islam sebagai amalan yang dilarang atau diharamkan. Sebenarnya mereka yang mengharamkan amalan bertawassul seperti itu hanyalah mainan ulama-ulama Wahabi, pengikut-pengikutnya dan juga mereka yang ter- pengaruh dengan ajaran dan kefahaman mazhab Wahabi itu sahaja. Sedangkan orang-orang Islam yang masih berpegang teguh dengan mazhab ahli al-Sunnah wa al Jamaah yang sebenarnya tetap berpendapat bahawa amalan tersebut adalah baik dan diharuskan oleh Islam.

Dalil-dalil menunjukkan kebaikan dan keharusan amalan bertawassul itu adalah banyak, baik dari Al-Quran, hadis, athar al-sahabah mahupun perbuatan ulama al-salaf dan al-khalaf. Antara dalil-dalil tersebut yang pentingnya adalah sepertidi bawah ini:
 
Perintah Allah SWT supaya orang-orang yang beriman mencari wasilah yang tersebut di dalam ayat 35, surah al-Maidah seperti yang disebut di atas tadi, adalah bersifat umum. Oleh itu ianya meliputi tawassul dengan peribadi seseorang, amal soleh dan sebagainya, kerana apa yang sebenarnya yang tergambar dalam konsep tasawwul menurut kehendak hukum syarak adalah yang demikian itu. Keumuman yang meliputi konsep wasilah di dalan ayat tersebut iaitu yang meliputi juga tawassul dengan seseorang yang tertentu, bukanlah hanya diambil kerana keumuman bahasa semata-mata, tetapi didasarkan kepada athar dari Umar b. Al-Khattab r.a, di mana beliau sesudah bertawassul dengan Abbas r.a menegaskan dengan katanya: Demi Allah ini merupakan wasilah kepada Allah Azza wa Jalla.

Allah SWT berfirman.
 وَمَا أَرْسَلْنَا مِن رَّسُولٍ إِلاَّ لِيُطَاعَ بِإِذْنِ اللّهِ وَلَوْ أَنَّهُمْ إِذ ظَّلَمُواْ أَنفُسَهُمْ جَآؤُوكَ فَاسْتَغْفَرُواْ اللّهَ وَاسْتَغْفَرَ لَهُمُ الرَّسُولُ لَوَجَدُواْ اللّهَ تَوَّاباً رَّحِيماً
Maksudnya :
“Jika mereka yang menganiayai diri mereka itu mereka berbuat dosa datang kepada engkau (Muhammad), lalu mereka meminta keampunan kepada Allah dan rasul juga memohon keampunan untuk mereka. tentulah mereka mendapati Allah itu maha penerima taubat lagi Maha Penyayang.”                                 ( Surah Al-Nisa : Ayat 64)

Ayat tersebut memberikan pengajaran yang jelas sekali berhubung amalan doa yang sebaik-baiknya iaitu berdoa di hadapan Nabi SAW, semasa baginda (SAW) itu masih hidup, dan yang terbaik sekali ialah baginda itu berdoa juga untuk orang yang mahukan sesuatu dari Allah SWT yang datang menemuinya itu. Jadi ayat itu menyatakan dua fakta mengenai doa-doa yang sebaik-baiknya, pertama berdoa di hadapan Nabi SAW dan yang kedua ialah baginda (SAW) turut mendoakan orang itu. Jadi, berdampingan dengan baginda (SAW) itu juga dikenali sebagai wasilah dan doa baginda (SAW) itu juga wasilah.

Setelah kewafatan baginda (SAW) pula, maka kita boleh bertawassul dan berdoa di makam baginda (SAW) itu amat baik, sebab baginda (SAW) itu walaupun telah wafat, namun pangkat kerasulan, keberkatan tidaklah habis dengan kewafatannya itu. Apatah lagi menurut iktikad ahli al-Sunnah wa al-Jamaah bahawa baginda (SAW) itu hidup di dalam kuburnya dan mendengar salam orang yang memberi salam.

Fakta yang tersebut di atas dikuatkan lagi dengan jawapan Imam Malik terhadap soalan Khalifah Abu Ja’far al-Mansur iaitu samada baginda berdoa dengan mengadap kiblat atau mengadap Nabi SAW. Peristiwa tersebut berlaku ketika baginda melawat kota Madinah dan ziarah makam Nabi SAW di zaman pemerintahannya. Imam Malik berkata:
“Jangan engkau palingkan mukamu dari Nabi, kerana beliau itu adalah wasilah engkau dan wasilah bapa engkau Adam a.s kepada Allah. Hendaklah engkau menghadap kepadanya dan mintalah syafaat dengannya. Allah akan memberi syafaat-Nya kepada engkau. Allah berfirman: Jika mereka yang menganiyai diri mereka itu, mereka berbuat dosa datang kepada engkau (Muhammad), lalu mereka meminta keampunan kepada Allah dan Rasul juga memohon keampunan untuk mereka, tentulah mereka mendapati Allah itu Maha Pengampun Maha Penyayang.”

Peristiwa tersebut menurut Imam al-Subki telah diriwayatkan oleh al-Qadi ‘Iyad iaitu seseorang yang dianggap sebagai bijaksana, mulia, amanah, sangat dipercayai, kuat ingatan, mempunyai ilmu yang luas dan sebagainya. Peristiwa tersebut diceritakan oleh al-Qadi ‘Iyad di kitabnya, al-Shifa’ di mana beliau ada juga menegaskan bahawa sanad riwayatkan tersebut adalah jaiyid. Riwayat tersebut juga ada disebutkan oleh Imam Qastalani di dalam kitabnya, al-Muwahib al-Laduniyyah, Sayyid Samhudi di dalam kitabnya, Khulasah al- Wafa’ dan Ibn Hajar di dalam kitabnya, Tuhfah Al-Zuwar.

Oleh kerana kenyataan fakta tersebut sukar ditolak kebenarannya, maka jelaslah bagi kita bahawa amalan bertawassul dengan Nabi SAW, setelah kewafatannya itu adalah harus oleh Islam, kerana begitulah hal yang difahami dan diamalkan oleh para al-salaf seperti Imam Malik itu.

Al-Tibrani, Ibn Hibban dan al-Hakim meriwayatkan dari Anas bin Malik. Maksudnya:
“ Dari Anas bin Malik r.a bahawa sesungguhnya Nabi SAW telah berkata (berdoa): Ya Allah, ampunilah Fatimah binti Asad dan lapangkanlah tempat masuknya  (kehidupan di dalam alam kubur) dengan hak nabi Engkau (Muhammad) dan para nabi-nabi yang (diutus) sebelum aku. Sesungguhnya Engkau Paling Penyayang dari sekalian yang penyayang.”

Menurut al-Tibrani, Ibn Hibban dan al-Hakim, hadis tersebut itu adalah bertaraf sahih. Hadis itu juga diriwayatkan oleh Ibn Abi Shaibah dari Jabir, Ibn Abd al-Bar dari Ibn Abbas, Abu Naim dari Anas di dalam kitabnya al-Jami al-Kabir. Jadi keharusan dan kebaikan bertawassul dengan seseorang yang dikasihi Allah itu memang disyariatkan, kerana ternyata ianya dilakukan sendiri oleh Nabi SAW. Tentulah sukar untuk mengatakan bahawa bertawassul dengan peribadi seseorang seperti itu dilarang atau mendatangkan dosa besar atau menyebabkan syirik. Bagaimanapun mereka yang mengatakan bertawassul dengan peribadi seseorang itu dilarang dan mendatangkan dosa besar serta syirik, tetap mencari alasan-alasan yang munasabah. Antaranya mereka yang mengatakan bahawa hadis yang diriwayatkan oleh al-Tibrani yang tersebut itu sebagai hadis yang lemah (da’if), walaupun pandangan itu berlawanan sama sekali dengan penegasan yang diberikan oleh Ibn Hibban, al-Hakim dan lain-lainnya seperti yang dinyata- kan di atas.

Al-Imam al-Baihaqi di dalam kitabnya, Dalail al-Nuhuwwah al-Tibrani di dalan kitabnya, al-Mu jam al-Saghir dan al-Haki di dalam kitabnya, al-Mustadrak telah meriwayatkan hadis dari Umar Ibn al-Khattab bahawa Nabi SAW bersabda. Maksudnya:
“Bila Adam a.s telah melakukan kesalahan (ia bertaubat) dengan berdoa. Ya Tuhanku, aku memohon Engkau dengan hak Muhammad supaya Engkau ampuni aku. Maka Allah (menjawab) firmanNya: Ya Adam bagaimanakah engkau boleh mengetahui Muhammad padahal ia belum Aku jadikannya?  Adam menjawab: Ya Tuhanku, setelah Engkau jadikan aku, aku mengangkat kepalaku (ke atas), maka aku dapat melihat di atas tiang Arasy tulisan: La ila ha illallah Muhammaddur Rasulullah. Maka (kerana itu) aku tahu bahawa Engkau tidak akan menyertakan nama Engkau kecuali orang yang paling Engkau cintai. Maka Allah berfirman: Engkau benar ya Adam, bahawa ia  (Muhammad) itu adalah orang yang paling Aku cintai, maka kalau Engkau memohon kepada Aku haknya, Aku ampunkan (dosa) engkau itu.”

Menurut hadis di atas jelas menunjukkan Nabi Adam a.s telah bertawassul dengan Nabi SAW sebelum baginda (SAW) itu diutuskan dan sebelum dilahirkan lagi di dunia ini. Kerana itulah maka Shaikh Musa Muhammad Ali membuat kesimpulan berdasarkan hadis tersebut dengan katanya:
“Di dalam hadis tersebut ini, telah diamalkan bertawassul dengan Rasullulah s.a.w sebelum alam ini menyaksikan kewujudan dirinya. Dan dasar sahnya bertawassul itu tidaklah disyariatkan kepada Nabi SAW itu hidup di dunia ini. Dari fakta ini dapat diketahui bahawa pendapat yang dinyatakan bahawa bertawassul dengan seseorang itu tidak sah kecuali di mana masa hidupnya di dunia ini adalah merupakan pendapat orang yang mengikut hawa nafsunya tanpa petunjuk dari Allah.”

Mereka yang mengharamkan amalan bertawassul dengan seseorang terutama setelah kewafatannya mungkin menganggap bahawa hadis di atas adalah sebagai hadis lemah (daif) atau palsu, sedangkan Ibn Taimiyyah sendiri ada meriwayatkan hadis tersebut di dalam kitabnya, al-Fatwa al-Kubra dua kali iaitu dari Maisarah dan yang satu lagi berasal dari Umar ibn al-Khattab seperti yang diriwayatkan oleh al-Baihaqi, al-Tibrani dan al-Hakim itu. Hadis yang berasal dari Maisarah   yang  diriwayatkan  oleh Ibn   Taimiyyah  itu bermaksud demikian ini:             
“Maisarah bertanya: Ya Rasulluah, bilakah Engkau menjadi nabi? Baginda menjawab: Ketika Allah mencipta bumi dan berkehendak mencipta langit, kemudian dijadikannya tujuh langit dan diciptakan-Nya ‘Arasy, tertulis di tiang ‘Arasy: Muhammad Rasullulah Khatimu’l-Anbiya’ dan Allah menciptakan syurga yang Adam dan Hawa ditempatkan di dalamnya maka tertulis namaku du pintu-pintu, daun-daun, kubah-kubah dan khemah-khemah. Dan Adam pada waktu itu antara roh dan jasad. Maka ketika Allah menghidupkannya, ia melihat kepada ‘Arasy dan nampak namaku, maka Allah memberitahu kepadanya bahawa ia (Muhammad) adalah pemimpin anak cucumu. Maka bila syaitan telah menipu kedua-duanya, kedua-duanya bertaubat dan meminta syafaat kepada-Nya (Allah) dengan namaku (Muhammad).”

Amalan bertawassul seperti yang diterangkan di atas memang dilakukan oleh angkatan sahabat. Imam al-Baihaqi dan Ibn Abi Shaibah dengan sanadnya yang sahih ada meriwayatkan bahawa di zaman pemerintahan Khalifah Umar Ibn al-Khattab r.a telah berlaku musim kemarau, lalu seorang sahabat yang bernama Bilal ibn al-Harith pergi ke kubur Nabi SAW dan berkata:
“Ya Rasulullah, mintalah hujan (kepada Allah) untuk umatmu, kerana mereka hampir binasa.”
Setelah berdoa tawassul tersebut, Bilal ibn Harith telah bermimpi di mana beliau telah ditemui Rasulullah SAW dan memberitahunya bahawa hujan akan dituruni oleh Allah SWT.

Khalifah Umar ibn al-Khattab r.a seperti yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dari Anas juga ada bertawassul dengan bapa saudara Nabi, Abbas Ibn Abd al-Mutalib iaitu ketika berlakunya musim kemarau.
Umar ibn al-Khattab berdoa:
“Ya Allah, sesungguhnya bila kami menghadapi kemarau kami bertawassul kepada Engkau dengan Nabi kami (Muhammad) maka Engkau menurunkan hujan kepada kami. Dan sekarang ini, kami bertawassul kepada Engkau dengan bapa saudara Nabi Muhammad SAW, maka turunlah hujan kepada kami.
Anas r.a menyebutkan: Maka hujan pun diturunkan ke atas mereka.”

Al-Iman al-Syafi’i ketika tinggal di Baghdad pernah menziarahi ke makam Imam Abu Hanifah, setelah beliau memberi salam maka beliau berdoa dengan bertawassul kepada Imam Abu Hanifah itu supaya hajatnya dikabulkan oleh Allah SWT.

Imam al-Syafi’i tidak melarang bila mengetahui bahawa penduduk Maghribi bertawassul dengan Imam Malik. Imam Ahmad ibn Hambal juga telah bertawassul dengan Imam al-Syafi’i sehingga menimbulkan rasa hairan dan takjub di dalam hati puteranya, Abdullah. Al Allamah ibn Hajar dan menyebut di dalam kitabnya, al-Sawa’iqal-Muhriqah bahawa Imam al-Syafi’i bertawassul dengan ahli keluarga Nabi SAW sehingga beliau menyebutkan hal itu di dalam syair seperti berikut:
“Keluarga Nabi itu adalah perisaiku. Mereka itu adalah wasilahku kepada Allah. Dengan mereka itu aku berharap semoga aku diberikan buku catatan amalanku di tangan kanan.”

 Al-Imam Abu al-Hassan al-Shadhili menggalakkan umat Islam supaya bertawassul dengan Imam Al-Ghazali sambil menyebutkan:
“Sesiapa yang ada  sesuatu hajat kepada Allah dan ia berkehendak supaya Allah mengabulkannya, maka hendaklah ia bertawassul kepada Allah dengan al-Imam Al-Ghazali.”

Berdasarkan kepada hujah-hujah atau dalil-dalil yang telah dihuraikan di atas itu, maka kita dapati bahawa amalan bertawassul dengan shaikh mursyid bukanlah amalan yang salah atau bid’ah. Malahan amalan tersebut adalah merupakan amalan yang benar wujud di dalam Islam. Amalan ini pada mulanya adalah merupakan yang diterima baik oleh seluruh umat Islam sehingga ke zaman Ibn Taimiyyah. Mulai zaman beliau itulah amalan bertawassul dengan shaikh mursyid itu sebagai khilafiyyah, maka amalan tersebut nyata juga bukan amalan bid’ah, kerana bid’ah (bid’ah dalalah) ialah menambah agama, sesuatu yang tidak ada sama sekali pada agama itu ditambahkan/dimasukkan ke dalam agama. Di samping itu, perkara khilafyyah sememangnya tidak boleh dianggap bid’ah.

Demikianlah amalan tawassul dengan shaikh mursyid yang merupakan amalan yang wujud dalam Islam  yang dilakukan oleh para pengamal tariqah dengan  tujuan untuk mendapatkan keberkatannya dan supaya mudah dapat limpahan nur hidayat dari Allah SWT pada zahir dan batin mereka. Orang soleh atau shaikh mursyid itu hanyalah sebagai alat atau wasilah untuk sampai ke hadrat Allah SWT, kerana jalan untuk sampai ke hadrat-Nya penuh dengan liku-liku yang merbahaya (gangguan syaitan dan nafsu) bagi kita yang lemah imannya. Bolehlah  diibaratkan seperti kita sakit atau lapar, maka kita memerlukan ubat atau makanan untuk menghilangkan rasa sakit atau lapar itu. Oleh itu, jika kita orang yang waras dan bukan bodoh, maka sudah tentu kita tidak beranggapan bahawa ubat dan makanan itu adalah Tuhan atau tandingan-Nya (menyekutukan), bahkan ianya hanyalah semata-mata alat atau sebab musabab yang telah mengikut sunnahtullah.

13.  Amalan Beruzlah/Bersuluk

Amalan beruzlah/bersuluk yang dilaksanakan oleh golongan tasawwuf adalah diasaskan  atas amalan tahannuth Nabi SAW di Jabal Nur selama beberapa tahun hingga baginda menerima wahyu yang pertama dan terus dilantik menjadi rasul seperti yang diriwayatkan kitab Sahih al-Bukhari. Amalan tersebut juga diasaskan kepada amalan beruzlah atau khalwat empat puluh hari empat puluh malam yang dilakukan oleh  Nabi Musa di Bukit Thaur Sina, seperti yang disebutkan kisahnya di dalam Al-Quran. Tujuan amalan ini adalah sebagai jalan bermujahadah membersih hijab hati. Seseorang itu tidak akan dapat makrifah dan bersih hatinya untuk musyhadah kepada Allah SWT yang dicintai kecuali dengan amalan beruzlah/bersuluk. Oleh yang demikian maka nyatalah salahnya sesiapa yang menghukum bahawa bersuluk itu amalan palsu.

Kata Arif billah,
“Kami tidak  mengamalkan  tasawwuf/tariqah itu  berdasarkan dari berbagai pendapat yang mengatakan begitu dan begini (akal), tetapi kami mengamalkannya dengan berlapar, meninggalkan dunia, menyekat kebiasaan runtunan nafsu, mentaati dan menjauhi larangan-Nya.”

Kata Arif billah lagi,
“Nafsu itu dikenkang dengan berlapar dan haus,  dihinakan  dengan dipadamkan semangat bermegah dan rasa mulia, dikurangkan nafsu syahwat dan ditundukkan di bawah telapak kaki orang yang semata-mata memandang akhirat, dihancurkan nafsu itu dengan meninggalkan hiasan orang-orang kaya. Elakkan diri dari kejahatannya dengan sentiasa buruk sangka terhadapnya dan berjinak-jinaklah selalu dengan semua pekara yang tidak disukai oleh nafsu itu.”

Amalan bersuluk ini diperintahkan Allah SWT ke atas Nabi Musa a.s sebagai persiapan baginda untuk mencapai kesempurnaan hati sebelum menerima wahyu Allah SWT di Bukit Thaur Sina iaitu bersuluk selama 40 hari. Al-Quran telah menyaksikan hakikat amalan kerohanian itu seperti firman Allah SWT:
وَوَاعَدْنَا مُوسَى ثَلاَثِينَ لَيْلَةً وَأَتْمَمْنَاهَا بِعَشْرٍ فَتَمَّ مِيقَاتُ رَبِّهِ أَرْبَعِينَ لَيْلَةً
Maksudnya:
“Dan telah Kami janjikan kepada Musa memberikan Taurat, sesudah berlalu waktu 30 malam dan Kami sempurnakan jumlah malam itu dengan sepuluh (malam lagi) maka sempurnalah waktu yang ditentukan Tuhannya empat puluh malam.”                            (Surah Al - A’raf: Ayat 142)

Diriwayatkan, Nabi Musa a.s telah menyatakan kepada umatnya  Bani Israil, bahawa jika mereka berjaya menghancurkan musuh-musuh mereka, yakni Fir’aun dan pengikut-pengikutnya maka Allah SWT akan menurunkan kitab Taurat kepadanya. Setelah musuh kalah, maka Nabi Musa a.s memohon kepada Allah SWT supaya kitab Taurat yang dijanjikan diturunkan. Maka Allah SWT memerintahkan Nabi Musa a.s beruzlah/bersuluk di Bukit Thaur Sina, Mesir selama 30 hari dengan berpuasa dan memperbanyakkan zikrullah untuk membersihkan hati baginda. Setelah cukup 30 hari, Nabi Musa a.s merasa mulutnya berbau, maka digosokkan giginya dengan sepotong kayu ‘khurnub’ dan sebahagian ahli tafsir menyatakan bahawa Nabi Musa a.s memakan daun ‘khurnub’  untuk menghilangkan bau mulutnya.
Maka Malaikat berkata kepadanya, maksudnya: “Kami mencium bau kasturi dari mulutmu, lantas kamu hilangkan (rosakkan) dengan menggosok gigi.”
Sesudah itu Allah SWT memerintahkan Nabi Musa a.s supaya berpuasa lagi selama 10 hari dan berfirman maksudnya;
“Tidak tahukah kamu, wahai Musa bahawa bau mulut orang berpuasa itu di sisi Ku lebih wangi dari bau kasturi.”

Nabi Musa a.s berpuasa dan melaksanakan amalan beruzlah/bersuluk pada bulan Zulkaedah selama sebulan dan ditambah 10 hari pada bulan Zulhijjah.

Masa yang paling sempurna dan paling baik bagi sesiapa yang mahukan berjalan di jalan Allah dan bersuluk itu ialah selama 40 hari, kerana masa tersebut adalah merangkumi semua masa yang disebutkan di atas itu. Tambahan pula Nabi SAW pernah bersabda. Maksudnya:
“Barangsiapa (beramal) dengan ikhlas kerana Allah SWT selama 40 hari, nescaya terpancarlah sumber-sumber hikmah dari hati ke lidahnya.”

Jalan bermujahadah untuk mengekang segala runtunan nafsu terpaksa menempuh jalan yang amat sukar, membahayakan, banyak simpang dan liku-likunya yang mana pasti menyulitkan dan menyusahkan serta memerlukan pimpinan pembimbing rohani atau shaikh mursyid. Kebiasaannya amalan ini dilaksanakan sekitar 7  hari, kemudian 20 hari dan 40 hari khususnya untuk mendidik dan mengasuh para murid/salik untuk mencapai makrifah dan membaiki penyakit-penyakit hati untuk musyahadah kepada Allah SWT. Seseorang shaikh mursyid akan mengetahui di peringkat manakah zikir atau ‘makam kerohanian’ seseorang muridnya harus berada, perlu ditambah dan ditingkatkan atau dibiarkan setakat yang sedang dilakukan oleh muridnya itu. Tempoh melaksanakan amalan beruzlah/bersuluk adalah tertumpu kepada prestasi zikir atau ‘makam kerohanian’ para muridnya itu. Setiap murid dikehendaki membuat laporan tentang zikir masing-masing kepada shaikh atau wakilnya. Apabila shaikh mendapati seseorang murid itu telah menguasai dalam satu-satu tingkat zikir atau tingkat ‘makam kerohanian’, maka shaikh itu akan memindahkan kepada zikir yang lain pula.    

Begitulah seterusnya, shaikh tersebut akan memainkan peranannya secara bersungguh-sungguh dalam memimpin para muridnya untuk mencapai berbagai-bagai maqam zikir atau tingkat ‘makam kerohanian’.  Pada hakikatnya seorang yang bermujahadah memerangi nafsu samalah seperti seorang yang sedang sesat di hutan belantara yang penuh bahaya dan gelap gelita. Tak mungkin ia akan berjaya keluar dengan selamat tanpa pemandu yang biasa dan mahir di kawasan hutan tersebut. Malahan perjalanan menuju kepada hadrat Allah SWT atau mencapai darjat yang tertinggi (darjat ihsan)  jauh lebih bahaya dan lebih gelap gelita berbanding hutan belantara itu. Oleh itu, timbullah ungkapan yang terkenal dalam ilmu dan amalan tasawwuf, ‘Siapa tidak ada shaikh mursyid, maka syaitanlah shaikhnya.’

Ibn Khaldun menegaskan tentang kesempurnaan mujahadah yang dicapai seseorang salik itu mestilah sampai kepada maqam fana’ fillah dan baqa’ billah, iaitu ia akan menghadapi pengalaman rohani yang merupakan dhawqiyyah atau rasa rohani yang tidak dapat diceritakan atau dituliskan dalam kitab. Pekara-pekara dhawqiyyah tersebut hanya dapat diketahui oleh shaikh mursyid yang biasa mengalaminya. Oleh itu, apabila salik mendapat pimpinannya tentulah ia akan dapat mengetahui dan membezakan berbagai-bagai hakikat dhawqiyyah yang telah dilaluinya itu. Tanpa pimpinan shaikh mursyid, menurut Ibn Khaldun amalan mujahadah salik itu akan menjadi sia-sia, baik diperingkat permulaannya mahupun di peringkat akhirnya.

Imam Al-Ghazali menjelaskan secara terperinci bagaimana amalan beruzlah/bersuluk itu harus dilakukan. Katanya:
“Seseorang shaikh atau guru itu mestilah menetapkan tempat bersuluk bagi seseorang muridnya, diajarkan cara berzikir (zikir yang ada mertabat), misalnya dengan zikir menyebut Allah atau sebagainya. Seorang yang menjaga makan minum murid itu mestilah ditentukan. Makanan itu mestilah halal dan sekadar cukup keperluan murid itu sahaja. Murid itu mestilah terus berzikir sehingga hatinya tidak ingat yang lain kecuali Allah sahaja. Murid itu mestilah mengawasi semua was-was syaitan atau hatinya sendiri. Apa juga pengalaman yang didapati semasa berzikir itu mestilah murid itu memberitahu kepada mursyidnya dan tidak boleh diceritakan kepada orang lain. Semasa bersuluk itu berbagai-bagai adab dan syarat bersuluk mestilah dijaga dengan baik. Antara syarat yang penting ialah mesti sentiasa suci dari najis dan hadas, kurang bercakap kecuali perlu sangat, kurang makan dan minum dan sebagainya.”

Aishah r.a menjelaskan episod bermulanya kehancuran umat Islam adalah akibat keghairahan  manusia  memenuhi  runtunan nafsu iaitu kenyang. Amalan ini merupakan asas bermaharajalelanya nafsu menguasai diri. Aishah r.a berkata;
“Pertama kali bida’ah yang terjadi sepeninggalan Rasulullah SAW adalah kenyang. Sesungguhnya kaum itu ketika kenyang perutnya, maka liarlah nafsunya menghadapi dunia ini.”  

Nabi SAW bersabda: Maksudnya,
“Hidupkanlah hati kamu dengan kurang ketawa dan kurang kenyang dan bersihkanlah hati kamu itu dengan berlapar, nescaya hati kamu itu jadi bersih dan lembut (mudah menerima taufik dan hidayah.”

Mengurangkan makan atau mengambil sedikit sahaja makanan boleh mendatangkan kehalusan kepada hati, menimbulkan ketajaman pada akal, mendatangkan kerendahan diri, melemahkan keinginan nafsu dan perasaan marah. Sebaliknya, banyak makan akan mengeruhkan hati dan melembapkan pergerakan tubuh badan. Nabi SAW pernah bersabda dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Miqdam bin Ma’di Karib yang bermaksud:
“Tidak ada suatu bekas yang dipenuhi oleh anak Adam yang lebih jahat dari perutnya. Cukuplah bagi anak Adam itu beberapa suapan makanan, yang boleh menegakkan sulbinya. Jika ia ingin berbuat demikian juga, maka hendaklah satu pertiga perutnya diperuntukkan untuk makanan, satu pertiga lagi untuk minuman dan satu pertiga yang baki untuk pernafasannya.” 
                                                 (Hadis Riwayat Ahmad dan At-Tirmizi)  
                                        
Memakan makanan secara berlebih-lebihan membawa kepada wujudnya berbagai jenis kejahatan. Amalan pemakanan seperti ini mendorong kepada anggota-anggota badan melakukan berbagai bentuk maksiat, di samping melemahkannya untuk beribadat dan memalaskannya untuk melakukan amal-amal soleh kepada Allah SWT.

Begitu banyak maksiat yang berlaku adalah berpunca dari kekenyangan dan berlebih-lebihan dalam mengambil makanan. Berapa banyak amal-amal ibadat terhalang disebabkan kekenyangan dan mengambil makanan secara berlebih-lebihan. Orang yang menjaga perutnya bererti ia telah berjaya mengelakkan satu kemudaratan yang besar ke atas dirinya. Faktor yang paling besar yang membolehkan syaitan menguasai diri anak Adam, ialah di saat perut mereka kekenyangan.    
 
Di sesetengah Athar, yang disebut oleh Imam Al-Ghazali menjelaskan perlunya anak Adam menyempitkan aliran darah, yang menjadi tempat laluan syaitan, dengan cara berpuasa. Sesetengah ulama salaf menjelaskan: Ada beberapa orang pemuda yang beribadat dari kalangan kaum Bani Israil. Apabila tiba saat berbuka, salah seorang dari mereka berpesan:
“Jangan anda semua makan dengan banyak, nanti anda akan minum dengan banyak. Apabila anda minum dengan banyak, anda akan tidur dengan banyak. Apabila anda tidur dengan banyak, maka anda akan rugi dengan banyak.”

Nabi SAW amat berhati-hati dalam soal makan. Menurut riwayat dari Aisyah r.a katanya:
“Nabi SAW  tidak pernah kekenyangan apabila memakan sesuatu makanan, semenjak berhijrah ke kota Madinah dari kota Makkah, terutamanya roti yang dibuat gandum  yang halus, untuk  tempoh tiga malam berturut-turut sehingga baginda diwafatkan oleh Allah SWT.”  
                                                   (Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Ujar Ibrahim bin Adham:
“Orang yang berjaya mengawal perutnya bererti ia telah berjaya mengawasi agamanya. Orang yang dapat mengawal rasa laparnya bererti ia dapat mengawal akhlak yang mulia. Maksiat kepada Allah SWT jauh dari orang yang lapar tetapi dekat dengan orang yang kekenyangan.”

Allah SWT  telah mengingatkan kita semua tentang peranan nafsu yang sentiasa menyesatkan umat manusia jika kita lalai atau gagal memeranginya dengan berlapar. Umat Islam mesti benar-benar memahami hakikat bahawa segala jenis kemungkaran, maksiat, kejahatan dan gejala negatif adalah berpunca dari nafsu liar. Al-Quran ada membayangkan fakta tersebut dengan firman Allah SWT:
إِنَّ النَّفْسَ لأَمَّارَةٌ بِالسُّوءِ إِلاَّ مَا رَحِمَ رَبِّيَ إِنَّ رَبِّي غَفُورٌ رَّحِيمٌ
Maksudnya:
“Kerana sesungguhnya nafsu itu selalu menyuruh kepada kejahatan kecuali nafsu yang diberi rahmat oleh Tuhanku. Sesungguhnya Tuhan ku Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”    ( Surah Yusuf: Ayat 53) 

Dan firman-Nya lagi:
وَلَا أُقْسِمُ بِالنَّفْسِ اللَّوَّامَةِ
Maksudnya:
            “Dan Aku bersumpah dengan nafsu yang tercela.”
                                                                (Surah Al - Qiyamah: ayat 2)
Allah SWT berfirman:
زُيِّنَ لِلنَّاسِ حُبُّ الشَّهَوَاتِ مِنَ النِّسَاء وَالْبَنِينَ وَالْقَنَاطِيرِ الْمُقَنطَرَةِ مِنَ الذَّهَبِ وَالْفِضَّةِ وَالْخَيْلِ الْمُسَوَّمَةِ وَالأَنْعَامِ وَالْحَرْثِ ذَلِكَ مَتَاعُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَاللّهُ عِندَهُ حُسْنُ الْمَآبِ                  
Maksudnya:
“Dihiasi kepada manusia, mencintai nafsu seperti perempuan, anak-anak, harta benda yang banyak umpamanya emas dan perak, kuda yang bagus (kenderaan) dan binatang-binatang ternakan serta tanaman. Yang demikian itu buat kesenangan hidup di dunia sahaja tetapi di sisi Allah ada sebaik-baik  tempat,  iaitu syurga (orang-orang yang beriman dan beramal ibadat).”
                                                                (Surah Al - i’Imran: Ayat 14) 
Allah SWT berfirman:
 اعْلَمُوا أَنَّمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا لَعِبٌ وَلَهْوٌ وَزِينَةٌ وَتَفَاخُرٌ بَيْنَكُمْ وَتَكَاثُرٌ فِي الْأَمْوَالِ وَالْأَوْلَادِ
Maksudnya:
“Ketahuilah oleh mu, bahawasanya hidup di dunia ini ialah permainan, perhiasan, bermegah-megah antara kamu dan berlumba-lumba mengumpul harta dan anak-anak.”                       (Surah Al - Hadid: Ayat 20) 

Intisari ayat-ayat Allah di atas benar-benar cuba menyedarkan kita semua  tentang betapa rumit dan sukarnya jalan bermujahadah memerangi  nafsu kerana ia dijadikan untuk mencintai duniawi dan sentiasa menyuruh manusia melakukan kejahatan/maksiat. Umat Islam perlu memahami hakikat kehidupan ini adalah pertarungan untuk mencapai darjat yang tertinggi (darjat ihsan) iaitu golongan orang-orang yang terbaik dan mendapat keredaan-Nya iaitu umat berjaya menghayati jalan agama Islam. Oleh itu, Allah SWT menjadikan nafsu sebagai hijab atau benteng kukuh yang sentiasa mendorong manusia melakukan maksiat dan kemungkaran. Pertarungan ini sengaja Allah SWT jadikan untuk menguji manusia. Hakikat fakta ini dapat kita lihat dalam firman Allah SWT. Maksudnya:
“Pernahkah kamu melihat orang yang menjadikan nafsunya sebagai Tuhan dan Allah membiarkannya sesat...”     (Surah al-Jatsiyah: Ayat 23)

Allah SWT berfirman. 
 وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلاً
Maksudnya:
“Aku jadikan mati dan hidup untuk melihat siapa yang lebih baik amalannya.”                                        (Surah Al-Mulk: Ayat 2)

Nabi SAW bersabda. Maksudnya:
“Tidaklah seseorang di antara kamu dikatakan beriman melainkan hawa nafsunya tunduk dengan apa yang aku diutuskan.”

Tiada suatu pun di dunia ini ‘survival’ tanpa cabaran. Pokok di rimba sekalipun terpaksa bersaing untuk melepaskan pucuk masing-masing. Buah yang elok pun terpaksa terlebih dahulu berdepan dengan serangga, ulat dan perubahan cuaca. Apatah lagi manusia yang perlu menghadapi pelbagai cabaran untuk sampai ke darjat yang tertinggi (darjat ihsan). Namun Allah SWT Maha Adil. Bagi yang berjaya disediakan pula syurga yang penuh nikmat.

14. Sentiasa Mencela dan Mencerca Nafsu

Imam Al-Ghazali menjelaskan bagaimana caranya untuk mencela dan menyesali an-nafs itu. Banyak manfaat dan faedahnya yang cukup memuaskan dari pendapat dan pandangan Imam Al-Ghazali itu. Antaranya;

Wahai an-nafs/nafsu, alangkah bodohnya engkau ini, engkau mengaku mempunyai hikmat kebijaksanaan, kecerdikan dan kepintaran, padahal engkaulah paling bodoh dan dungu. Adakah engkau tidak tahu di depan engkau itu ada syurga dan neraka, dan tidak lama lagi engkau akan masuk ke dalam salah satu dari kedua-duanya itu. Mengapa engkau asyik berseronok, bersuka ria dan sentiasa mengikutkan runtunan kemahuan sahaja?

Apakah engkau engkau tidak tahu bahawa kematian itu akan datang secara tiba-tiba sahaja, tanpa apa-apa amaran. Tidakkah engkau tahu bahawa kematian itu tidak memilih keadaan dan masa, ia tidak memilih musim panas atau sejuk, orang yang sudah beruban atau muda belia, bahkan setiap yang bernyawa berkemung- kinan akan mati secara mengejut sahaja.

Celaka engkau hai an-nafs! Tentangan engkau tehadap Allah itu jika disebabkan oleh kepercayaanmu bahawa Allah tidak melihat dirimu, maka alangkah besarnya kekufuranmu itu. Jika engkau memang tahu bahawa Allah SWT dapat melihat dengan jelas terhadap diri engkau, maka alangkah dahsyat dan nipisnya sifat tidak ada segan dan malumu terhadap Allah SWT itu?

Apakah engkau terdaya untuk merasakan azab Allah SWT ? Pasti engkau tidak berdaya! Mustahil engkau terdaya! Cubalah rasakan diri engkau itu selama satu jam di bawah panas matahari, atau di sabak api atau dekatkan jari-jari tanganmu itu kepada api, supaya dapat meyakini dengan terang setakat manakah keupayaan engkau untuk menanggung azab Allah SWT itu.

Mengapakah engkau lupa terhadap kemuliaan dan kemurahan Allah SWT serta Sifat Allah SWT yang sentiasa terkaya dari ketaatan dan berbagai ibadat engkau itu. Mengapakah engkau tidak merasakan adanya kemurahan Allah SWT di dalam apa jua keperluan hidup di dunia engkau itu?

Celaka engkau ya an-nafs! Sungguh ajaib beban sifat munafik engkau dan dakwaan engkau yang batil itu. Engkau telah mengaku beriman dengan lidah padahal kesan munafik engkau itu masih jelas menguasai engkau.

Celaka engkau ya an-nafs! Engkau sangat bersusah payah mencari dunia itu seperti kelakuan orang yang telah terpukau oleh dunia ini.

Celaka benar engkau ya an-nafs! Seolah-olah engkau tidak percayakan terhadap hari akhirat.

Engkau menyangka jika engkau mati akan habis kisah, hancur lebur dan tidak ada apa-apa kisah lagi. Sungguh amat mustahil keadaan yang engkau sangkakan itu. Adakah engkau menyangka bahawa engkau itu akan dibiarkan begitu sahaja? Jika sangkaan engkau itu memang lahir dari hati engkau sendiri, maka alangkah kufurnya dan jahilnya engkau itu!

Allah SWT telah menjadikan engkau itu dari setitik mani, kemudian Allah SWT menentukan umur dan rezekimu dan dimudahkan perjalanan hidupmu dengan diberikan segala yang engkau perlukan untuk hidup. Kemudian  Allah  SWT mematikan kamu dan ditentukan kubur kamu di mana. Adakah patut engkau mendustakan firmanNya? Jika engkau tidak mendustakan terhadap Allah SWT, mengapakah engkau tidak merasa takut dan bimbangkan nasibmu dirimu sendiri di depan Allah SWT.

Wahai an-nafs! Jika engkau tahu semua pekara yang tersebut itu dan mengimankannya, mengapakah engkau sentiasa bertangguh untuk mengerjakan segala amal soleh padahal kematian itu sentiasa menunggu dan memerhati engkau. Mungkin juga ia akan menyambar engkau tanpa tangguh-tangguh lagi. Apakah faktor yang sentiasa menghalang engkau untuk bersegera berbuat amal soleh dan faktor apa pula yang sentiasa mendorong engkau sentiasa bertangguh-tangguh sahaja itu?

Celaka engkau ya an-nafs! Tidaklah patut kehidupan dunia ini memperdayakan engkau dan tidaklah patut engkau tidak boleh mentaati Allah SWT kerana tertipu oleh berbagai penipuan di dunia ini. Ambil beratlah urusan duniamu sendiri, kerana urusan-urusanmu itu tidak penting bagi orang lain. Janganlah sia-siakan masa hidupmu itu, kerana nafas-nafas kita ini adalah terhad keadaannya.

Celaka engkau ya an-nafs! Apakah yang sentiasa mendorong engkau bergelumbang dengan maksiat itu? Celaka engkau ya an-nafs! Berapa banyak janji yang engkau telah buat, tetapi telah engkau batalkan. Celaka engkau ya an-nafs! Mengapa engkau tidak mengambil pengajaran dari orang-orang yang mati sebelum sebelum engkau. Mengapa engkau tidak mahu melihat dan memerhatikan mereka. Fikirkanlah sebaik-baiknya nasihat ini ya an-nafs.  Terimalah nasihat itu. Sesungguhnya orang yang menolak nasihat baik, ia redha untuk masuk ke neraka. Padahal sebenarnya engkau tidak redha masuk ke neraka itu. Engkau juga tidak mahu menyimpan dan mengingatkan nasihat ini.  
  
15. Sejarah Ketokohan Hujjatul Islam dan Hujjatul  Tasawwuf, Imam Al-Ghazali

Sejarah ketokohan dan kemasyhuran Imam Al-Ghazali sebagai tokoh fuqaha dan tokoh tasawwuf/tariqah yang terkenal seharusnya menjadi pedoman kepada golongan yang menafikan kebenaran ilmu dan amalan tariqah/tasawwuf. Pada zaman awal kemunculannya, Al-Ghazali lebih dikenali sebagai tokoh fuqaha yang terkenal di kota Baghdad, sangat dihormati dan disanjungi oleh seluruh lapisan rakyat dan pemerintah sehingga beliau dikenali sebagai ‘Hujjatul Islam’ dan beliau mengajar di Madrasah An-Nazzamiyyah. Beliau sangat bijak, benar pandangannya, mempunyai peribadi yang menakjubkan, kuat ingatan, pandangan yang mendalam, mampu menyelami makna-makna/istilah-istilah ilmu dan kefahaman Islam dengan terperinci, sehingga gurunya Al-Juwaini menyifatkan beliau dengan ungkapan ‘Al-Ghazali adalah lautan (ilmu)  yang dalam’.

Al-Ghazali menjelaskan tentang sifat dirinya yang sentiasa rindukan ilmu dan dahagakan kepada kebenaran melalui kajian yang jauh dari taqlid (ikut-ikutan) terhadap pelbagai mazhab akidah. Kata beliau:
“Dari usia remaja, berumur sebelum dua puluh tahun  sehingga sekarang berusia lebih lima puluh tahun, aku menjalani gelombang lautan yang dalam dan mengharungi kesulitan dengan semangat keberanian bukannya sebagai pengecut atau penakut. Aku menjalani seluruh kegelapan, merintangi seluruh kemusykilan dan menceburkan diri dalam seluruh kesulitan. Aku meneliti akidah setiap kaum dan  menyelingkap seluruh rahsia mazhab setiap kaum untuk membezakan antara yang hak dan batil, yang mengikut sunnah dan bid’ah.”

Jelas beliau lagi:
“Aku tidak meninggalkan seorang ahli kebatinan melainkan aku suka mengetahui apa yang tersembunyi dalam batinnya.
Dan tidak meninggalkan seorang ahli zahir melainkan aku ingin mengetahui natijah dari hujah-hujah ilmu kalam.
Dan tidak meninggalkan seorang ahli falsafah melainkan aku suka mengetahui hakikat falsafahnya.
Dan tidak meninggalkan seorang ahli tasawwuf melainkan  aku tamak untuk mengetahui rahsia kesuciannya.
Dan tidak meninggalkan seorang ahli ibadat melainkan aku suka mengintai ke mana kembalinya hasil ibadatnya.”

Menurut Taqiyudin As-Subki bahawa Al-Ghazali menghasilkan lebih kurang  dua ratus karya, di antaranya ‘Yaqut At-Ta’ mil fi Tafsir At-Tanzil’ yang dikatakan mengandungi hampir empat puluh jilid. Beliau menghitung kitab-kitab yang dihasilkan oleh  tokoh yang masyhur  itu berjumlah lebih daripada lima puluh kitab. Az-Zubaidi menghitung  karya-karya beliau dalam syarahnya bagi Al-Ihya’’ adalah lebih dari tujuh puluh buah kitab. Dan Az-Zarkali menghitung kitab-kitab Al-Ghazali yang tercetak adalah sebanyak dua puluh tiga kitab. 

Orang ramai kagum dengan keindahan dan kesempurnaan perkataannya, kefasihan lidahnya, huraian ilmu syariat yang terperinci dan isyarat-isyaratnya yang halus. Beliau belajar dan mendalami ilmu agama dengan bersungguh-sungguh dan berijtihad sehingga menguasai bidang ilmu agama seperti ilmu usul, fiqh, mantiq, falsafah, kebatinan dan sebagainya serta bangkit berdebat dan mengalahkan golongan yang menyeleweng. Beliau banyak mengarang kitab-kitab dan meleburkan perselisihan di kalangan ummah untuk membezakan antara yang hak dan batil, yang mengikut sunnah dan bid’ah. Al-Ghazali tidak sama seperti ulama-ulama lain yang hanya sekadar menghafal apa yang diterima, mengulangi dan menukilnya, bahkan beliau adalah seorang alim yang aktif, ilmu yang diterimanya diteliti dan diuji sejauh mana kebenaran dan kebatilannya. Oleh itu adakalanya beliau menolak, merubah dan menjelaskan dan menghuraikan, sesungguhnya beliau adalah  ‘Tokoh Pembaharuan Kurun Ke 5’.

Demikianlah, Al-Ghazali sebagai tokoh agama yang mempunyai jiwa yang sentiasa rindukan ilmu dan dahagakan makrifah (kesempurnaan hati), tamak untuk mencapai kebenaran melalui kajian yang jauh dari taqlid (ikut-ikutan). Inilah yang berlaku di peringkat awal sejarah Imam Al-Ghazali, sebagai tokoh  fuqaha yang terkenal dan disanjung oleh segenap lapisan masyarakat dan pemerintah.  Malangnya, beliau sendiri berada di dalam dilema atau ‘kekeliruan berakidah’ di antara akal dengan longgokkan ilmu dan kefahaman Islam, atau jalan bermujahadah memerangi runtunan nafsu melalui ilmu dan amalan tasawwuf/tariqah. Beliau akhirnya membuat keputusan meninggalkan kota Baghdad menuju ke kota Damsyik untuk menjalani amalan beruzlah/bersuluk. Tarbiyyah ini memberikan pengaruh  besar dalam peralihan total yang merubah perjalanan hidupnya itu. Imam Al-Ghazali menjelaskan fakta ini dengan katanya;
“Pada permulaannya, aku adalah (merupakan) orang yang mengingkarkan (perkara-perkara yang berkait dengan) hal-hal orang-orang soleh dan maqam-maqam orang ‘ariffin, sehinggalah aku berdampingan (belajar) dari shaikhku iaitu Yusuf al-Nassaj. Shaikhku terus menerus menggalakkan aku bermujahadah memerangi nafsu sehinggalah aku dikurniakan pelbagai warid.”
     
Fakta ini juga menunjukkan bahawa kebanyakan ulama  terutamanya ulama fuqaha tidak mengenali secara pasti ilmu dan amalan tasawwuf/tariqah itu. Setelah Imam Al-Ghazali mendalami ilmu dan amalan tasawwuf/tariqah beliau benar-benar sedar bahawa ilmu dan amalan itu telah lumpuh kalaupun ia tidak mati. Kerana itulah maka beliau banyak mengarang kitab dan risalah mengenai tasawwuf/tariqah yang bertujuan menghidupkan semula ilmu yang telah mati itu.  Ihya’ ‘ulumal-Din menjelaskan kepada kita hasrat beliau yang sangat ingin menghidupkan semula ilmu yang telah mati itu pada zamannya itu, agar pada masa kemudiannya ilmu tersebut dapat difahami dan dihayati oleh masyarakat Islam.

Sejarah perjuangan Imam Al-Ghazali sebagai tokoh tasawwuf/tariqah  yang terkenal bermula setelah beliau di- bimbing oleh seorang  shaikh mursyid yang ummi, iaitu Shaikh Yusuf al-Nassaj. Beliau sanggup meninggalkan kota Baghdad yang memberikan jawatan, kemewahan dan kemasyhuran untuk menjalani  tarbiyyah keimanan  melalui amalan beruzlah/bersuluk  di Masjid Umawiy di kota Damsyik. Tempat Imam Al-Ghazali selalu beruzlah/bersuluk hingga sekarang ini di panggil Zawiyyah Ghazaliyyah. Kata Imam Al-Ghazali:
“Kemudian saya masuk ke Negeri Sham dan menetap di sana selama 3 tahun. Pekerjaan saya hanyalah beruzlah, riyadah dan bermujahdah. Berjuang sekuat tenaga melawan nafsu dan kemalasan beribadat. Berusaha membersih diri, mendidik akhlak dan membersih hati untuk berzikrullah, sebagaimana yang saya perolehi dari pengajian tariqah/tasawwuf. Saya beriktikaf terus menerus di dalam Masjid Damsyik. Sepanjang hari saya naik ke menaranya dan tinggal di sana, lalu saya tutupkan pintunya untuk diri saya sendiri.”

Kisah Imam Al-Ghazali bermujahadah di dalam suasana beruzlah/ bersuluk itu telah memberikan kesimpulan yang jelas bahawa amalan kerohanian untuk memerangi nafsu itu mestilah dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh membetulkan jiwa, hati atau aspek batin/rohani supaya sentiasa suci bersih dan dapat melahirkan akhlak yang mulia serta perbuatan yang baik dengan mudah tanpa dipaksa-paksa. Mesti mempunyai kemahuan yang sebenar iaitu keyakinan yang kental menguasai seluruh jiwa yang mendorong timbulnya keazaman yang penuh untuk melakukan sesuatu sehingga kehendak seseorang itu bukan pilihan jiwanya tetapi seolah-olah dipaksa semata-mata (timbul dorongan dari rasa rohani/zawq). Riyadah atau latihan amalan kerohanian adalah bertujuan semata-mata untuk membersihkan hati dari berbagai-bagai sifat yang tercela dan menghiasi hati dengan berbagai-bagai sifat terpuji.

Imam Al-Ghazali menegaskan tentang kedudukan dan kepentingan ilmu dan amalan tasawwuf/tariqah dalam Islam merupakan asas yang terpenting sebagai nyawa bagi tubuh badan manusia dengan katanya:
“Aku sesungguhnya tahu dengan yakin bahawa para ahli tasawwuf  itulah orang yang sebenar berjalan di jalan Allah Taala. Keindahan   cara hidup mereka tidak ada bandingnya. Jalan mereka itu adalah yang paling benar, akhlak mereka juga yang paling murni. Malah, jika dikumpulkan semua akal para cendiakawan, kebijaksanaan ahli falsafah dan pengetahuan alim ulama yang menyelami rahsia syariat dengan tujuan hendak mengubah sedikit cara hidup dan akhlak ahli tasawwuf dan diganti dengan sesuatu yang lebih baik, tidak akan dapat mereka berbuat demikian. Ini disebabkan oleh gerak dan diamnya ahli tasawwuf, sama ada zahir mahupun yang batin berpandukan cahaya yang terang dari misykat kenabian.”

Abdul Ghafir Ibn Isma’il, seorang imam di masjid Nisabur yang hidup sezaman dengan Imam Al-Ghazali menjelaskan perubahan tokoh agama itu setelah beliau menjalani ibadat bersuluk dengan katanya:
“Dan dia menempuh jalan zuhud dan ibadat, meninggalkan kemuliaan, membuang darjat yang dicapainya untuk menumpukan kepada amal ibadat untuk mencapai ketaqwaan dan bekalan Akhirat. Beliau meninggalkan apa yang ada pada dirinya dan bermujahadah memerangi runtunan nafsu, merubah akhlak dan memperbaiki budi pekerti. Lalu ianya dapat meredakan runtunan nafsu yang sentiasa menuntut kedudukan dan pangkat serta berakhlak dengan akhlak yang tercela. Maka berubahlah diri beliau kepada ketenangan jiwa, kemuliaan akhlak, berpakaian dengan pakaian orang-orang soleh, pendek angan-angan dan bersiap sedia untuk pergi ke tempat yang kekal.”

Imam Al-Ghazali menjelaskan tentang tujuan pengajaran beliau selepas menjalani amalan bersuluk adalah dengan uslub yang baru, niat yang baru dan tujuan yang baru yang jauh berbeza sekali dengan sebelumnya. Kata beliau:
“Aku tahu bahawa sekalipun aku kembali untuk menyebarkan ilmu maka aku tidak akan kembali. Ini adalah kerana aku akan kembali melakukan semula pekara yang telah berlalu. Pada zaman itu, aku menyebarkan ilmu untuk memperolehi kedudukan/pangkat. Aku menyerukan kepadanya dengan perkataan dan amalanku, dan menurut maksud dan niatku. Sebaliknya, sekarang aku menyeru kepada ilmu yang dengannya meninggalkan kedudukan/pangkat, dan dengannya diketahui jatuhnya kedudukan/pangkat.”

Seterusnya beliau menjelaskan dengan katanya:
“Dan aku  ingin memperbaiki diriku sendiri dan orang lain. Aku tidak tahu adakah aku  akan sampai kepada tujuanku, atau aku dibinasakan  maksudku? Akan tetapi aku percaya dengan yakin dan musyahadah (penyaksian)  bahawasanya tiada daya dan kekuatan melainkan dengan Allah Yang Maha Tinggi lagi Maha Agung. Bahawasanya aku tidak bergerak tetapi Dia yang menggerakkan aku. Aku tidak  beramal tetapi Dia yang menjadikan aku beramal. Maka aku memohon kepadaNya, agar mula-mula Dia memperbaiki aku, kemudian memperbaiki denganku. Memberi hidayat kepadaku kemudian memberi hidayat denganku. Agar memperlihatkan kepadaku kebenaran yang nyata dan mengurnia kepada aku untuk mengikutinya, dan memperlihatkan kepadaku kebatilan yang nyata dan mengurniakan aku untuk menjauhinya.”

16. Amalan  Beruzlah/Bersuluk  Selaras  Dengan Pendidikan  Moden  Berasrama Penuh

Nabi SAW beruzlah/bersuluk di gua Hira’ beberapa lamanya sehinggalah datangnya wahyu seperti yang diriwayatkan di dalam kitab Sahih al-Bukhari. Ia bukanlah seperti yang digambarkan oleh golongan ahli zahir seolah-olah para pengikut mazhab tasawwuf  melaksanakan amalan beruzlah/bersuluk di sepanjang tempoh hayatnya dan mengabaikan segala amal ibadat yang difardukan-Nya. Ini jelas menggambarkan kejahilan dan buta mata hati golongan ahli zahir yang tidak dapat meneliti kepentingan dan keutamaan melaksanakan amalan kerohanian  ini untuk mencapai kesempurnaan hati/akidah. Sesungguhnya  amalan kerohanian ini menjadi  fardu ‘ain bagi setiap individu muslim melaksanakannya. Oleh yang demikian maka nyatalah salahnya sesiapa yang menghukum bahawa amalan beruzlah/bersuluk itu amalan palsu. Mereka sentiasa membuat tuduhan liar dan memfitnah para pengikut mazhab tasawwuf  yang melaksanakan amalan itu adalah sesat dan bid’ah. Tiada gunanya disibukkan diri dengan berceramah atau membaca sejarah tentang amalan Nabi SAW beruzlah/bersuluk itu berulang-ulang kali sebagai cerita pelipur lara atau  ‘mental exercise’. Malangnya, mereka  tidak mampu meneliti dan memahami kepentingan dan keutamaan amalan ini sebagai amalan kerohanian untuk mencapai kesempurnaan hati/akidah.

Umat Islam perlu menerima hakikat bahawa amalan beruzlah/bersuluk Nabi SAW di Jabal Nur adalah jalan bermujahadah memerangi nafsu. Nafsu ini menjadi benteng teguh atau hijab antara manusia dengan Allah SWT. Menjadi penghalang kepada mereka untuk memperbanyakkan zikrullah atau memiliki kesempurnaan hati. Nafsu ini bersifat rohaniah/ghaib. Runtunan nafsu ini tidak dapat dikalahkan dengan mendengar ceramah agama  (akal), bacaan atau huraian kitab-kitab  agama (akal), melaksanakan ‘hisbah’, melakukan ‘mukholattoh’, berforum, berseminar, idea, pandangan, motivasi dan lain-lain aktiviti atau program. Ini adalah kerana dakwah atau program atau aktiviti yang dilaksanakan hanya berkisar pada akal atau bersifat lahiriah/alam benda. Oleh itu, jika aktiviti atau program ataupun dakwah yang dilaksanakan tidak berkait langsung dengan amalan zikrullah maka selagi itu ianya menjadi sia-sia dan tidak akan mampu memerangi runtunan nafsu dan membaiki penyakit hati.

Berdasarkan kepada tempoh yang lama di ambil oleh Nabi SAW mentarbiyyah  hati para sahabat r.a, ianya  jelas menggambarkan  aspek rohani itu amat kompleks (bersifat bolak-balik)  dan menjadi tempat perhatian-Nya iaitu menjadi titik tolak Allah SWT menerima atau menolak sesuatu amalan. Nabi SAW menumpukan tarbiyyah  hati para sahabat r.a di kota Makkah, kemudian baharulah melaksanakan segala amal soleh yang diperintahkan di kota Madinah. Para sahabat r.a menjelaskan kepada tabi’in tentang bentuk dakwah syiar Islam yang dilaksanakan oleh baginda itu dengan katanya:
“Kami pada zaman Rasulullah SAW, baginda SAW mengajar kami iman, kemudian mengajar kami Al-Quran (hukum-hukum yang terdapat di dalam Al-Quran) maka bertambahlah iman  kami dan akan sampai suatu zaman di mana orang ramai mempelajari (hukum-hukum yang terdapat di dalam Al-Quran) tanpa mempelajari iman.”

Demikianlah, amalan beruzlah/bersuluk yang dilaksanakan oleh Imam Al-Ghazali dan golongan tasawwuf adalah sama seperti yang dilaksanakan di dalam sistem pendidikan moden berasrama penuh dewasa kini. Dengan tujuan yang sama untuk menumpukan sepenuh perhatian kepada proses pembelajaran iaitu menjauhi gangguan dan kesibukan masyarakat luar supaya proses pembelajaran berjalan  dengan lancar dan sempurna. Sebenarnya,  jangkamasa beberapa tahun amalan beruzlah/bersuluk  Nabi SAW di Jabal Nur merupakan suatu tempoh masa yang singkat dan mampu juga dilaksanakan oleh setiap individu muslim dewasa kini untuk mencapai kesempurnan hati/akidah. Tempoh pembelajaran dalam sistem pendidikan moden yang menempatkan  para pelajar di asrama penuh juga memerlukan tempoh masa selama 5 tahun sebelum menduduki peperiksaan SPM. Begitu juga, Imam Al-Ghazali mengambil masa selama 3 tahun melaksanakan amalan beruzlah/bersuluk di Masjid Umawiy, di kota Damsyik (Syam) dan selama 8 tahun di Baitul Maqdis bermujahadah membersih hijab hati untuk mencapai kesempurnaan hati/akidah.

Oleh sebab itulah, kita di zaman dunia serba  moden dan manusia sentiasa cenderung ke arah materialistik, kita sanggup bertungkus lumus di dalam pendidikan ilmu sekular yang memerlukan tempoh 11 tahun pengajian untuk mendapat sijil SPM  atau tempoh 16 tahun pengajian untuk mendapat segolong ijazah (termasuk 5 tahun pengajian di menara gading) yang diyakini oleh semua pihak akan menjamin peluang kehidupan atau pekerjaan yang lebih baik bagi setiap individu. Sebaliknya, bagi golongan yang yakin dan bercita-cita besar untuk mencapai kebahagiaan yang sebenar dan darjat yang tinggi di Akhirat, mereka juga sanggup berjuang dengan semangat yang kental bermujahadah dengan amalan beruzlah/bersuluk untuk membersihkan hijab hati untuk mencapai ‘mardhatillah’ di dunia dan Akhirat.

Contoh orang yang telah sempurna menjalani jalan suluk itu ialah seperti Imam Al-Ghazali. Ini dapat kita ketahui dari perkataan yang diucapkan oleh beliau sendiri. Beliau, antara lain menyebutkan:
“Aku meninggalkan Baghdad menuju ke Naisabur pada bulan Zulkaedah tahun 488 Hijrah. Ini bermakna aku telah beruzlah/bersuluk sebelas tahun lamanya.”

Imam Al-Ghazali pergi ke Naisabur kerana diperintahkan oleh wazir dari Dinasti Saljuq yang berkuasa pada masa itu iaitu Nazzam al-Malik, supaya beliau membasmikan satu penyelewengan ajaran agama yang sedang berlaku di sana. Beliau merasakan setelah beruzlah/bersuluk selama sebelas tahun itu barulah dirinya layak dan sesuai menjalankan tugas dakwah. 

Didasarkan kepada pengalaman bersuluknya (selama 11 tahun) itu, maka Imam Al-Ghazali menyimpulkan bahawa kesempurnaan hati (makrifah kepada Allah SWT) tidak dapat dicapai dengan melonggokkan  ilmu kalam pada akal . Kata beliau:
“Maka makrifah (kenal) tentang Allah SWT berbagai sifat-Nya, perbuatan-Nya tidak akan tercapai menerusi (belajar) ilmu kalam sahaja (kecuali dengan jalan bersuluk), bahkan seolah-olah ilmu kalam itu menghalangnya.” 
 
Sebab itu tokoh ulama khalaf yang terkenal, Imam Shafi’i yang pernah melalui kaedah tarbiyyah keimanan dengan jalan beruzlah/bersuluk menyebutkan:
“Sesiapa yang mahu Allah SWT bukakan pintu hatinya dan diberi ilmu (secara laduni atau dhawqi) maka wajiblah ia bersuluk dan menyedikitkan makanan dan tidak bercampur dengan orang bodoh dan setengah orang alim yang tidak ada keinsafan serta tidak ada adab.”

Jelaslah kepada kita bahawa riyadah atau latihan amalan berterusan berzikrullah dan bermujahadah melawan nafsu (bersuluk) adalah amalan biasa dan menyeluruh di kalangan angkatan umat Islam di zaman yang awal itu. Mereka memahami bahawa kesempurnaan hati/akidah atau makrifah terhadap sifat-sifat Allah dan af’al-Nya  tidak dapat dicapai dengan mendengar dan ta’lim (belajar) semata-mata, bahkan ianya menjadi hijab pada hati tanpa kita sedari. Inilah yang disifatkan oleh Imam Shafi’i sebagai golongan yang bodoh dan tidak mempunyai keinsafan kerana  mengabaikan amalan beruzlah/bersuluk walaupun pada zahirnya mereka berilmu (ulama ahli zahir).

Berdasarkan kepada fakta-fakta di atas, tarbiyyah keimanan melalui amalan beruzlah/bersuluk adalah sama seperti sistem pendidikan moden berasrama penuh atau maahad tahfiz, iaitu mengasingkan para pelajar supaya jauh  dari kesibukan atau gangguan masyarakat  untuk mencapai kejayaan cemerlang dalam pendidikan atau menjadi hafiz Al-Quran. Kaedah tarbiyyah sebegini  hanyalah untuk mengasingkan para pelajar dari kesibukan atau gangguan masyarakat dalam suatu tempoh masa yang tertentu untuk menumpukan kepada riyadah atau latihan kerohanian  (memperbanyakkan zikrullah dan bermujahadah). Ianya bukanlah bertujuan mengasingkan diri daripada masyarakat di sepanjang hayat dan mengabaikan segala amal ibadat yang difardukan. Oleh kerana aspek hati dan nafsu bersifat rohaniah/ghaib,  maka sudah tentu jalan bermujahadah membersihkan aspek-aspek itu dari sifat-sifat yang keji dan menghiasinya dengan sifat-sifat terpuji adalah jauh lebih rumit dan sukar, berbanding dengan pendidikan ilmu sekular yang hanya perlu melonggokkan ilmu-ilmu itu supaya bersarang pada akal semata-mata!

Oleh yang demikian, tujuan utama menjalani amalan beruzlah/bersuluk di dalam suatu tempoh masa tertentu adalah untuk memerangi nafsu supaya terbuka hijab hati. Demikianlah ilmu dan amalan zikrullah (tariqah) yang dihayati di zaman awal Islam segala-galanya masih utuh, lengkap dan unggul meskipun istilah tasawwuf/tariqah itu lahir selepas zaman salafussoleh. Maka Nabi SAW menjadi model utama dalam kehidupan para pengikut mazhab tasawwuf/rohani. Nabi SAW menjadi rujukan utama dalam berbagai-bagai masalah ilmu dan amalan tasawwuf/tariqah. Al-Quran telah menyaksikan hakikat keadaan mereka itu seperti firman Allah SWT:
 لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَن كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيراً
Maksudnya:
“Sesungguhnya telah ada pada diri Rasulullah (SAW) itu ciri tauladan yang baik bagi mu (iaitu) bagi orang yang meng- harapkan (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak berzikrullah (sepanjang masa).”     
                                             (Surah al - Ahzab: Ayat 21)

Golongan yang memiliki kesempurnaan hati/akidah   (darjat ihsan) akan dapat diterjemahkan dengan merasai keagungan dan kebesaran Allah SWT. Golongan ini sentiasa memiliki rasa kehambaan (akhlak) yang sangat kuat dan terpuji. Di antaranya rasa takut dan harap, sentiasa bertaubat, zuhud, malu terhadap Allah, sabar, sentiasa bersyukur, ikhlas, tawakkal,  muhabbah, redha, menunaikan amanah, pemurah, warak, meninggalkan khianat, menyebarkan salam, baik amalan, menjaga hak, cintakan akhirat, khuatirkan hisab di akhirat, merendah diri, tidak menyakiti orang, berfikir dan muhasabah, mengharap akan sampai kepada Allah SWT, takutkan Allah SWT, membuang lintasan-lintasan akal yang buruk, sedikit angan-angan dunia, insaf diri, baik sangka, sabar terhadap bala atau ujian Allah,  jiwanya hidup dan bersemangat, pengorbanannya luar biasa, kegigihannya luar biasa, kebaikan dan kebajikan- nya banyak dan sebagainya lagi. 
    
Manifestasi dari pencapaian kesempurnaan hati/akidah  ini juga akan terhindarlah dari perbuatan-perbuatan yang tercela seperti sombong, riyak, sum’ah, pemarah, hasad, tamak, bakhil, dengki, ego, dendam, rasuah, bacul, pengecut, tipu daya, khianat, mengikut hawa nafsu pada tiap-tiap yang mendorong syahwat, terlalu cintakan kebendaan dan duniawi, tenung nasib, mendengar atau menonton pekara yang melalaikan, mudah melakukan zina, membuang bayi luar nikah, menggugurkan kandungan anak luar nikah, meminum arak, suka berjudi, sentiasa cenderung ke arah maksiat dan meninggalkan taubat, menghina orang lain, suka bertegang leher dan sebagainya.

Amalan qiyamullail yang berat itu sudah pasti  hanya mampu  dilakukan oleh golongan yang pernah menjalani riyadah atau latihan bermujahadah memerangi nafsu di dalam suasana beruzlah/bersuluk.  Ini jelas dengan apa yang digambarkan oleh Imam Al-Ghazali tentang  kesungguhan perjuangan beliau bermujahadah di dalam suasana beruzlah/bersuluk  dengan berjuang sekuat tenaga melawan nafsu dan kemalasan beribadat untuk mencapai kesempurnaan hati. Beliau juga berusaha membersih diri, mendidik akhlak dan membersih hati supaya mampu memperbanyakkan zikrullah.  Oleh itu, orang yang bermujahadah memerangi nafsu ini mesti ada kemahuan yang sebenar iaitu keyakinan yang kental mendorong timbulnya keazaman yang penuh untuk melawan runtunan nafsu dan membaiki penyakit-penyakit hati. Demikianlah, di dalam kehidupan seharian selepas menghabiskan diri dengan amalan bermujahadah (beruzlah/bersuluk),  seharusnya pula  mereka mampu berzikrullah terus menerus (zikrul-qalb)  dan berqiyamullail supaya hatinya sentiasa suci bersih dan dapat mengekalkan sifat taqwa  dengan mudah tanpa dipaksa-paksa.


17. Golongan Tasawwuf  Tanpa  Menjalani  Tarbiyyah Dengan  Amalan Bersuluk dan Berterusan Berzikrullah

Golongan ini mengaku diri mereka sebagai golongan tasawwuf tetapi mengabaikan berzikrullah bersungguh-sungguh dan bermujahadah memerangi nafsu di dalam suasana beruzlah/bersuluk. Golongan ini menjalani tarbiyyah hanya sekadar menumpukan kepada pemahaman atau hujah-hujah  bacaan ilmu tasawwuf oleh para muallim (pengajar/guru) di majlis bacaan kitab-kitab atau ceramah agama selepas solat fardu. Kitab-kitab karangan tokoh-tokoh tasawwuf terkenal seperti Imam Al-Ghazali, Shaikh Abd Qadir al-Jailani, Ibn ‘Ata-illah dan sebaginya sentiasa menjadi tumpuan dan pemerhatian golongan ini di dalam hujah-hujah atau penghuraian  yang tiada penghujungnya.

Tanpa mereka sedari, ilmu tasawwuf yang tertulis dalam kitab-kitab tasawwuf dikira tergolong ke dalam ilmu zahir, kerana ia boleh difahami dengan membaca dan mempelajari dari seseorang muallim (pengajar/guru). Oleh itu, dapat kita simpulkan bahawa yang tergolong ke dalam aspek ilmu dan amalan batin/rohani ialah apa yang berkaitan dengan hakikat penghayatannya (amalan kerohanian) sahaja. Sebagai misal, Allah SWT itu disebutkan dalam kitab tauhid bersifat wujud, berkuasa, berkehendak, berilmu dan sebagainya. Semua maklumat tersebut adalah zahir sifatnya. Aspek hatinya ialah bagaimana perasaan seseorang itu ketika ia benar-benar menghayati maklumat-maklumat tentang berbagai-bagai sifat Allah SWT itu setelah hijab hati dibersihkan dan penyakit-penyakit  hati dapat dipulihkan melalui amalan beruzlah/bersuluk. Begitulah juga berbagai-bagai sifat mazmumah (tercela) dan sifat mahmudah (terpuji) yang dihuraikan dalam kitab-kitab tasawwuf itu merupakan aspek zahir dari ilmu dan amalan batin/rohani. Aspek batin/rohaninya ialah rasa dalam penghayatannya yang sebenar atau akhlak yang dicetuskan dari dorongan sifat-sifat tersebut yang terhasil melalui jalan bermujahadah memerangi nafsu dan amalan berterusan berzikrullah.
    
Golongan ini terus khayal dan leka dengan pelbagai hujah-hujah yang tiada penghujungnya seperti ‘wartawan sufi’ atau ‘broker sufi’, hebat dengan hujah-hujah dan penghuraian terhadap kitab-kitab tasawwuf yang dianggapkan sebagai ‘ilmu ladunni’. Inilah bentuk tarbiyyah ilmu tasawwuf yang berlaku di kalangan kebanyakan para pengikut mazhab tasawwuf dewasa kini tetapi mereka tidak pernah menjalani mujahadah memerangi nafsu dan latihan berzikrullah terus menerus lantas menjadikan hati mereka terus terhijab. Mereka tidak memahami dan menerima hakikat bahawa prinsip utama tarbiyyah ilmu dan amalan tasawwuf/tariqah  adalah amalan memper- banyakkan zikrullah dan bermujahadah memerangi nafsu di dalam suasana beruzlah/bersuluk. Oleh itu,  golongan ini tidak akan mampu berqiyamullail di dalam kehidupan seharian akibat tidak pernah ditarbiyyahkan dengan jalan bermujahadah memerangi nafsu. 

Nafsu itulah yang sentiasa menjadi penghalang kepada manusia untuk melaksanakan amalan yang berat (qiyamullail) yang menjadi roh kekuatan agama. Sebaliknya, memadailah bagi golongan ini sekadar melaksanakan ‘zikir peribadi’ yang hanya menumpukan kepada pelaksanaan amalan zikir yang ditentukan di waktu pagi dan petang semata-mata mengikut aliran tariqah masing-masing iaitu sekadar bersambil lewa berzikrullah, tanpa mengambil kira perintah Allah SWT ke atas umat-Nya supaya melaksanakan amalan berzikrullah terus menerus. Begitu juga dengan pelaksanaan amalan qiyamullail yang tidak pernah diberi perhatian khusus oleh mereka iaitu sebagai amalan kerohanian yang utama untuk mencapai kesempurnaan hati.

Para muallim (guru/pengajar) mazhab ini ibarat doktor yang mengajar tentang penyakit kencing manis kepada pesakit tetapi mereka sendiri tidak mengetahui bagaimana cara merawat penyakit itu. Mereka tidak memahami dan menerima hakikat tentang penjelasan oleh Imam Al-Ghazali bahawa ilmu tasawwuf/tariqah itu adalah ilmu rasa (zawq/rasa rohani) yang dicapai di dalam amalan beruzlah/bersuluk. Inilah golongan pengkagum kepada hujah-hujah ilmu tasawwuf yang tiada noktah untuk dilonggokkan pada akal, tanpa menyedarinya padanannya iaitu alam rohaniah/ghaib yang tidak mampu dilihat atau difahami oleh akal. Mereka mempersulitkan diri dengan berusaha mentafsir dan menghuraikan ilmu tasawwuf  dengan hujah-hujah yang mendalam (berbelit-belit) seolah-olah ingin menyentuh dengan tangan mereka sendiri qudrah Allah SWT yang Maha Kuasa. Demikianlah, kebanyakan umat Islam dewasa kini tidak dapat memahami dan meng- amalkan ilmu dan amalan tasawwuf/tariqah yang sebenar-sebenarnya. Kerana kejahilan mereka itulah mereka menganggap diri mereka itu sebagai ahli tasawwuf yang sebenar-benarnya.

Shaikh Abd Wahab al-Sya'rani (w. 973 H.) seorang tokoh tasawwuf yang terkenal menjelaskan tentang kegagalan bentuk tarbiyyah keimanan golongan yang mengabaikan amalan memperbanyakkan zikrullah dan bermujahadah memerangi nafsu (bersuluk) dengan katanya:
"Tidaklah memadai tarbiyyah ilmu dan amalan tasawwuf/tariqah ini sekadar mendengar kisah-kisah dan pengalaman tokoh-tokoh tasawwuf tanpa dia sendiri melalui (merasai) makam-makam kerohanian (darjat hati). Dengan menceritakan kisah-kisah atau ungkapan kerohanian yang luar biasa tokoh-tokoh tersebut seolah-olah mereka sendiri mengalaminya. Ini merupakan pengkhianatan dan kemunafikan di dalam tarbiyyah ilmu dan amalan tasawwuf/tariqah. Kemudian dia akan menghafal, misalnya 'Risalah al-Qusyairi' atau beberapa pengetahuan tokoh-tokoh tasawwuf iaitu sekadar ilmu yang berlegar pada akal (berteori). Mereka ini hanya penghafal ilmu bukannya meniti dengan jalan bermujahadah memerangi nafsu."

Kata Arif billah,
“Maha Suci Allah SWT menghijab para ulama itu dengan ilmu mereka sendiri (ilmu kalam).”
 
18. Golongan Tasawwuf Tanpa Mengerjakan Amal Soleh

Golongan ini sentiasa mengabaikan atau menafikan kewajipan melaksanakan segala amalan soleh yang diperintahkan-Nya. Mereka berbangga dengan pelbagai hujah-hujah ilmu tasawwuf yang lebih dikenali sebagai pelbagai teori hakikat dan makrifah. Golongan ini  terus terjerumus ke dalam medan perdebatan tentang pelbagai teori yang sama sekali tidak ada dalam agama dan tidak dipersetujui oleh tokoh-tokoh tasawwuf Islam. Mereka mengarahkan kajian atau perdebatan mereka seiring dengan pemikiran golongan ahli falsafah atau ahli batiniah, bukannya melalui ilmu dan amalan zikrullah (tariqah) yang berasaskan kepada amalan bermujahadah memerangi nafsu. Mereka juga memusatkan perhatian kepada pelbagai masalahnya dan menyelami pendapat-pendapat yang aneh kerana jiwa manusia sentiasa cenderung kepada pekara yang pelik-pelik. 

Isu pengabaian atau kekeliruan terhadap dua aspek utama agama, iaitu amal ibadat/syariat dan amalan sentiasa berzikrullah/akidah yang tidak boleh dipisahkan samasekali  telah dijelaskan oleh tokoh Islam yang terkenal di kurun kedua Hijrah, Imam Malik bin Anas rhm. Beliau telah menegaskan perkara ini dengan berkata;
“Sesiapa yang beramal ibadat tanpa tasawwuf/zikrullah, sesungguhnya ia telah menjadi fasik dan sesiapa bertasawwuf tanpa beramal ibadat, sesungguhnya ia telah menjadi zindik  (penyeleweng agama) dan sesiapa yang telah menggabungkan  antara tasawwuf/zikrullah dan amal ibadat, sesungguhnya ia telah mancapai hakikat (kebenaran).”

Hujjatul Islam dan Hujjatul Tasawwuf yang terkenal, al-Imam Al-Ghazali menjelaskan tentang penyimpangan golongan yang mengabaikan syariat Allah SWT dan sunnah Nabi SAW dengan katanya;
“Ketahuilah bahawa penempuh jalan Allah SWT sangat sedikit jumlahnya, tetapi yang mengakuinya adalah banyak sekali. Kami akan memperkenalkan dua tanda kepada anda. Pertama, semua tindakan ikhtiarnya ditimbang dengan timbangan syarak. Sebab tidak mungkin yang menempuh jalan ini kecuali setelah mempraktikkan apa yang disyariatkan. Tidak sampai ke tahap itu kecuali  orang yang mengajarkan sejumlah amalan sunnah. Kerana itu, bagaimana mungkin akan sampai ke peringkat tersebut bagi orang yang mengabaikan amalan-amalan fardu.”

Shaikh Abdul Wahab al-Sya’rani menegaskan tentang ilmu tasawwuf yang memiliki pengaruh dan posisi di dalam batas-batas syariat Islam yang zahir dengan katanya:
“Orang yang mengelokkan pengamalannya akan tahu bahawa tidak ada satu pun ilmu dan amalan tasawwuf/tariqah yang terkeluar dari batas-batas syariat. Bagaimana boleh terkeluar, sedangkan syariat itu sendiri merupakan anak tangga bagi mereka untuk menuju ke hadrat Allah SWT.”

Kata Arif billah:
“Jika kamu melihat seseorang yang boleh terbang di angkasa dan boleh berjalan di atas air, namun dia melakukan sesuatu yang menyimpang dari syarak, maka ketahuilah bahawa dia adalah syaitan.”

Seorang tokoh tasawwuf yang terkenal, Shaikh Sahl al-Tausari berkata:
“Prinsip jalan kami ada tujuh, iaitu bertumpu pada Al-Quran, mengikuti Rasul, memakan yang halal, mencegah yang menyakitkan, menghindari kemaksiatan, selalu bertaubat dan menyampaikan hak.”   

19.  Ajaran Sesat

Apabila isu ajaran sesat kerap kali dihebohkan di media masa, maka perkara utama yang sentiasa terlintas pada pemikiran orang ramai adalah berkaitan dengan kumpulan/pengikut  ajaran tariqah. Isu ajaran sesat inilah yang sentiasa bermain di kepala umat Islam apabila dibicarakan ilmu dan amalan tasawwuf/tariqah. Betapa kerapnya dihebohkan isu ini maka semakin meneballah kebimbangan masyarakat Islam untuk mempelajari ilmu dan amalan zikrullah (tariqah),  dan sentiasa membuat kesimpulan bahawa kesemua aliran tariqah itu lebih mirip kepada ajaran sesat.

Penyelewengan demi penyelewengan yang berlaku itu bukanlah menjadi alasan kita untuk terus menolak amalan ini kerana Allah SWT telah mewajibkan kita mempelajari dan mengamalkan ilmu dan amalan zikrullah (tariqah), dan ianya jelas sebagai amalan kerohanian yang lahir bersama dengan kelahiran agama Islam. Sebenarnya,  segelintir penyelewengan dari pengamal amalan tariqah itu  bukanlah bermakna keseluruhan golongan tasawwuf  atau aliran tariqah itu menyeleweng dari ajaran Islam yang sebenar. Demikianlah juga, jika kita menolak ilmu dan amalan ini, sudah pasti kita juga tidak akan mampu  berzikrullah terus menerus dan tergolong dalam golongan yang sesat. Inilah amanah Allah SWT (roh/hati) yang tidak mampu dipikul oleh makhuk lain seperti langit, bumi dan gunung-ganang kerana bimbang akan dikhianatinya tetapi dipikulkan amanah itu oleh manusia seperti yang disebutkan oleh Allah SWT dalam firman-Nya:

Maksudnya:
     “Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan amat bodoh.”
                                                                 (Surah al – Ahzab: Ayat 72)
       
Adalah tidak wajar apabila disebut sahaja  ilmu dan amalan  tariqah (zikrullah), kita terus mengaitkan amalan ini dengan ajaran ‘Guru Yahya’, ajaran ‘Ayah Pin’, ajaran ‘Rasul Melayu’, ajaran kalimat sakti, ajaran budi suci, golongan anti Hadis dan pelbagai aliran atau fahaman ataupun kumpulan yang menyeleweng dari syariat yang dilabelkan dengan nama tasawwuf/ tariqah. 

Sebahagian dari amalan golongan ini seperti nikah batin, solat batin, meninggalkan syariat Islam atau amal soleh yang difardukan, mempertikaikan kedudukan Al-Quran dan hadis Nabi SAW, menghina peribadi Nabi SAW  dan sebagainya adalah nyata bertentangan dengan sunnah Nabi SAW dan perintah Allah SWT.  Sesetengah ajaran sesat itu juga mendakwa bahawa amalan tariqah mereka itu di ambil terus dari Nabi SAW. Dalam amalan dan pelaksanaannya, kebiasaannya pemimpin ajaran itu biasanya menokok tambah bentuk amalan berzikrullah dan bersuluk yang diasaskan dari tariqah yang mu’tabar (boleh diterima pakai). Ada juga setengah-tengah kumpulan itu berzikir di bilik khas dalam keadaan bercampur antara lelaki dan perempuan yang  bukan muhrim dan sebagainya tanpa memahami bahawa tarbiyyah ilmu tariqah adalah berasaskan kepada mujahadah memerangi nafsu dan memperbanyakkan zikrullah.

Pada peringkat awal ini juga, para pengikut dijanjikan dengan pelbagai kelebihan dan keistimewaan, seperti dijamin masuk syurga, diampunkan dosa dengan cara menebusnya melalui bayaran tertentu, terselamat dari soal jawab di dalam kubur dan sebagainya. Mereka berselindung dengan menggunakan nama tariqah yang masyhur seperti Tariqah Nasyabandiyyah, Tariqah Shaikh Saman, Tariqah Ahmadiyyah dan sebagainya. Guru tersebut memainkan peranan untuk memesongkan pemikiran para pengikutnya sehingga menafikan kewajipan berpuasa di bulan Ramadan atau melakukan ibadat itu dengan hanya dengan niat, menafikan kewajipan mendirikan solat fardu, menafikan kewajipan berzakat atau zakat memadai dengan mengeluarkan zakat kepada ketua atau guru, tidak perlu mengerjakan ibadat haji di kota Makkah atau cukup sekadar dengan membayar sejumlah wang yang tertentu kepada guru sebagai  ganti, dan boleh mengerjakan ibadat haji di tempat lain selain kota Makkah. Kebiasaannya, pengikut ajaran sesat ini tidak berpandukan kepada kitab-kitab tasawwuf yang dikarang oleh tokoh-tokohnya yang terkenal seperti Shaikh al-Junaid, Shaikh Abd. Qadir al-Jilani, Imam Al-Ghazali, Ibn Arabi, Ibn Khaldun dan sebagainya. Mereka menghayati agama hanya sekadar berpegang kepada ‘kata tok guru’, ‘kata ustaz’, dan sebagainya atau yang didengar dari seorang ke seorang, bukannya dirujuk atau dibaca dalam kitab-kitab yang mu’tabar. Oleh itu, maka banyaklah berlaku kekhilafan dan salah faham agama di kalangan umat Islam dewasa kini.

Kita harus menerima hakikat bahawa apa jua bidang ilmu dan amalan Islam hari ini telah dicemari dengan pelbagai kesalahan atau penyelewengan. Terlalu malang bagi umat Islam hari ini, apabila menolak dengan membuta tuli terhadap ilmu dan amalan tasawwuf/tariqah  kerana tidak ada ilmu dan amalan lain yang mampu mentarbiyyahkan kita supaya mampu  berterusan berzikrullah. Tidak adil masyarakat mengaitkan ajaran sesat dengan amalan tariqah semata-mata. Penyelewengan besar juga berlaku dalam  aspek akidah tanpa disedari oleh kebanyakan umat Islam dewasa kini sehingga munculnya beberapa mazhab akidah ahli zahir yang  diasaskan oleh hujah-hujah ilmu kalam. Malangnya, tanpa disedari mereka telah menafikan dan menolak  pelaksanaan  memperbanyakkan zikrullah (zikrul-qalb)  yang diperintahkan di dalam Al-Quran,  sebagai amalan yang biasa dan menyeluruh di kalangan angkatan umat Islam di zaman yang awal untuk mencapai kesempurnaan hati/akidah. Penyelewengan juga berlaku dalam ilmu hadis sehingga adanya hadis maudu’ dan kumpulan anti-hadis. Begitu juga dalam ilmu tafsir yang mana adanya tafsir Israiliyyat, penyelewengan tafsir dari kaedah bahasa Arab, tafsir mengikut nafsu sendiri atau pengampu pemerintah. Aliran-aliran fikrah Islam tidak terkecuali dari perpecahan disebabkan penyelewengan dalam pentafsiran jihad dan dakwah.

Oleh kerana yang menyuarakan isu ini adalah para ulama dari mazhab ahli zahir yang menjadi pegawai agama seperti mufti, pensyarah/pendidik,  pendakwah dan sebagainya,  maka ini merupakan peluang yang sebaik-baiknya bagi mereka untuk terus memfitnah dan menakutkan orang ramai supaya menjauhi ilmu dan amalan tasawwuf/tariqah. Seharusnya,  para ulama/pegawai agama itu perlu mengeluarkan suatu garis panduan yang jelas bagi menyelaraskan aktiviti ilmu dan amalan tasawwuf/tariqah  memandangkan ianya adalah satu aspek agama yang amat penting dan bukannya terus menerus memfitnah dan menakutkan orang ramai supaya menjauhi amalan ini. Golongan ulama sebegini disifatkan oleh Imam Al-Ghazali sebagai ‘ulama kaku’, mereka kehilangan unsur penting dalam dirinya, iaitu ‘unsur kerohanian yang ghaib’ menjadi penghalang kepada mereka untuk memahami rahsia di sebalik ilmu dan amalan tasawwuf/tariqah.


********************************************************************************

Salasilah Tariqah Ahmadiah (Linggi, Negeri Sembilan)

Shaikh Ahmad Ibn Idriss al-Hassani (kota Fes, Morocco)
Shaikh Ibrahim Ar-Rasyid
Shaikh Muhammad bin Ahmad Ad-Dandrawih
Shaikh Muhammad Said bin Jamaluddin (1876 - 1926)
(Linggi, Negeri Sembilan)
Shaikh Abd Samad Abdullah
Shaikh Abdullah bin Muhammad Said
Shaikh Ahmad bin Muhammad Said
Shaikh Haji Maarof Abdullah, Cengkau, Negeri Sembilan

Fahaman Ahmadiah /Ajaran Qadiani  (India)

Diasaskan oleh Mirza Ghulam Ahmad. Lahir  di Qadian, Punjab, India pada 13 Februari 1835. Meninggal dunia pada 26 Mei 1908. Menjadi pengasas kepada gerakan keagamaan Ahmadiah dan mengaku dirinya sebagai nabi dan rasul yang mendapat wahyu dari Allah SWT. Keputusan muktamar Akedemi Fiqh Islam di Jeddah pada Disember 1985 menetapkan bahawa fahaman Ahmadiah yang mempercayai Mirza Ghulam Ahmad sebagai nabi sesudah Nabi SAW adalah murtad.